Tag Archives: Ikhram Juhari

Filem Jiwa 8 Belas Bakal Temui Penonton Di Pawagam Pada 18 Januari 2024

Bertempat di TGV One Utama, Petaling Jaya telah berlangsungnya Malam Gala Tayangan Perdana Filem Jiwa 8 Belas yang membariskan gandingan pelakon baru dan berpengalaman seperti Sohpia Albarakbah, Shah Hazvee, Izuan Razali, A. Galak, Kanda Khairul, Faha Azhar, Dato Jalaluddin Hassan, Ikhram Juhari, Akim Nordin, Aman Graseka, Arif Mex, Acap S dan Datuk Fauziah Nawi.

Filem ‘Jiwa 8 Belas’ mengisahkan pasangan rakan karib, yang kemudiannya bertukar menjadi tragedi gara-gara terperangkap dalam sekumpulan penjahat yang memperdagangkan wanita ke Thailand. Kesan kegiatan haram mencetuskan masalah social tanpa kawalan menjebak anak muda sehingga melampaui batas sehingga melahirkan anak luar nikah.

Pengalaman pahit sepasang suami isteri apabila diculik oleh sekumpulan penjenayah pemerdagangan manusia membibitkan dendam yang membara dalam jiwa orang tua yang kehilangan anak tersayang sehingga sanggup pula mengambil tindakan di luar perundangan sehingga membunuh pelaku tersebut.
Filem arahan sutradara S. Baldev Singh ini diterbitkan oleh White Merpati Entertainment Sdn Bhd serta diedarkan oleh Sri Saheb Production Sdn Bhd akan mula ditayangkan pada 18 Januari ini selepas tayangan awal filem tersebut tertangguh dan tertunda akibat pandemik Covid-19 yang lalu.

SINOPSIS :
Filem ini mengisahkan tentang dua orang anak muda yang berkawan baik iaitu Isyq (Shah Hazvee) dan Fatien (Sohpia Albarakbah) dalam perjalanan ke negara Thailand. Dalam diam Isyq simpan perasaan terhadap Fatien namun gadis cantik tersebut menjalinkan hubungan cinta bersama Edd (Ikhram Juhari). Dalam perjalanan tersebut, mereka mengalami kemalangan jalan raya akibat terlanggar lori di hadapan.
Kerana motor Isyq hancur dan tak boleh digunakan lagi, mereka berdua ambil keputusan untuk berjalan kaki saja menuju ke pekan berdekatan di kawasan tersebut untuk dapatkan bekalan makanan dan rawatan dengan menumpang kereta yang melalui jalan tersebut.

Pemilik kereta tersebut yang dikenali sebagai Mat Kitam (Izuan Razali) mula menunjukkan sikap yang tidak baik kepada mereka berdua sehinggakan perasaan takut menghantui apabila Fatien ternampak senjata api di bawah tempat duduk Mat Kitam yang rupa-rupanya adalah ketua geng pemerdagangan manusia.

Apakah yang bakal berlaku kepada pasangan tersebut ? Saksikan filem yang bakal ditayangkan pada 18 Januari ini di panggung berdekatan dengan anda.

Drama Kau Cipta Kasih Di Slot Samarinda TV3

Khadijah, Idris, Ramlah dan Hasnah, empat adik-beradik membesar tanpa kasih sayang daripada kedua-dua orang tua yang melepaskan tanggungjawab mendidik dan menjadi teladan kepada anak – anak. Namun, mereka tidak mudah menyerah dan sentiasa berusaha untuk mencapai kebahagiaan.

Terbaharu di slot Samarinda, drama bersiri 15 episod adaptasi novel ‘Kau Cipta Kasih’ karya Azilah Wahab  menemui penonton TV3 bermula 13 Januari 2022, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam.

Kau Cipta Kasih merupakan terbitan Ansar Creative Media Sdn Bhd, diarahkan oleh Nazir Jamaludin, nukilan skrip oleh Azlina Din dan Azilah Wahab serta menampilkan pelakon – pelakon popular Malaysia seperti Nazim Othman, Uyaina Arshad, Nafiz Muaz, Fify Azmi,  Amanda Amry, Sherie Merlis, Sahronizam, Marissa Yasmin, Dilla Ahmad, Norlia Ghani, Mustapha Kamal, Ikhram Juhari, Nynaa Harizal dan  Izuan Razali.

Ia mengisahkan Samad (Sahronizam) dan Sabariah (Sherie Merlis) yang disatukan atas paksaan keluarga mereka. Perkahwinan paksa ini telah memudaratkan hubungan Sabariah dengan Samad. Sabariah membenci anak-anaknya kerana dia tidak mencintai Samad yang sering mengasarinya.

Idris (Nafiz Muaz) dilahirkan dengan kecacatan di kaki. Dia dibenci dan tidak diakui sebagai anak oleh Samad dan Sabariah. Dia dibesarkan oleh Opah Piah dan Atuk Mat setelah dibuang oleh ibu bapa sendiri. Walaupun kaki tempang, Idris diajar berdikari dan bekerja sejak kecil. Dia seorang yang rajin bekerja, taat pada agama dan hormat kepada orang tua. Opah Piah telah menghadiahkan tanah ladang dan tapak rumah pusaka kepadanya.

Ramlah (Fify Azmi) seorang yang sangat bijak dan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara atas bantuan Idris. Dia amat menyayangi Khadijah, kakak sulung kepada empat beradik ini yang menjaganya sejak kecil. Ramlah tidak pernah berputus harapan untuk merasa bahagia bersama ibu, ayah serta adik-beradiknya.

Hasnah (Amanda Amry), anak bongsu kepada pasangan Sabariah dan Samad sangat naif dan percaya bahawa Samad menyayanginya. Hasnah juga manja dengan Khadijah dan menganggapnya sebagai ibu. Ketika di Tingkatan 5, Hasnah bercinta dengan  rakan sekampungnya dan berkeras mahu berkahwin dengannya selepas SPM walaupun mendapat tentangan daripada Samad. Sabariah pula bersetuju dengan perkahwinan Hasnah kerana sudah tidak mahu menanggung anaknya itu.

Khadijah (Uyaina Arshad), anak sulung kepada Samad dan Sabariah sanggup berkorban dengan menggalas tanggungjawab menjaga adik-adiknya ketika usia masih muda. Khadijah sering menjadi mangsa kemarahan ibunya. Akibat satu kejadian, Khadijah telah dihalau keluar oleh ibunya walaupun Khadijah telah memberitahu apa yang sebenarnya telah berlaku. Khadijah melarikan diri dan terjumpa dengan Afiq (Nazim Othman), anak kepada seorang usahawan yang berjaya. Sejak itu, perjalanan hidup Khadijah mula berubah. Adakah Khadijah, Idris, Ramlah dan Hasnah dapat menemui kebahagiaan selepas dihujani dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam hidup mereka?

Jangan ketinggalan untuk terus menyaksikan Kau Cipta Kasih, satu kisah penuh emosi, sebuah realiti kehidupan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, 10.00 malam menerusi slot Samarinda di TV3.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.