Tag Archives: Izzy Reef

Kemunculan Semula Nasha Aziz Di Layar Perak, Dengan Gandingan Mantap Azira Shafinaz, Zul Ariffin Dalam ‘Talbis Iblis’

Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31, Kabir Bhatia kembali dengan sentuhan terbaru menerusi filem genre seram Talbis Iblis, terbitan oleh gabungan penerbit hebat tanah air, Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment bermula 20 Oktober ini di seluruh pawagam Malaysia. Terdahulu, karya ini menjadi filem kedua dari Malaysia yang mengadakan Tayangan Perdana Dunia dan di senarai pendek  di Far East Film Festival  Ke-24 di Udine, Itali pada April lalu. Selain itu, filem ini turut mengadakan tayangan perdana di Bucheon International Fantastic Film Festival 2022 ke-26 dan Neuchâtel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21.

‘Talbis Iblis’ yang membawa maksud tipu daya serta perangkap yang di buat oleh iblis untuk menyesatkan manusia, cukup tepat menggambarkan tentang subjek utama yang diangkat dalam filem ini. Ia mengisahkan tentang seorang gadis, Hajar yang dihantar ke satu tempat jauh dari ibu kota bagi melahirkan bayinya secara rahsia. Seorang bidan, Mak Ju telah menjaga Hajar sebelum dan selepas bersalin, namun hakikatnya mempunyai agenda tersendiri.

Hari ini berlangsungnya Sidang Media Filem Talbis Iblis bagi melancarkan treler, poster dan memperkenalkan barisan pelakon secara rasmi. Setiap adegan babak telah dijayakan oleh para pelakon hebat tempatan seperti Azira Shafinaz, Nasha Aziz, Zul Ariffin, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah. Ini juga merupakan kemunculan semula di layar perak oleh pelakon popular dan pemenang Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke 17 menerusi filem seram thriller saspens, Trauma (2004) iaitu Nasha Aziz.

Menurut Penerbit Eksekutif Filem & Wakil Infinitus Gold Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, “Filem Talbis Iblis mempunyai kekuatan tersendiri dengan menggabungkan semua aspek seperti pengarah yang hebat, pelakon yang cemerlang dan cerita yang berbeza. Seperti umum tahu, penonton tempatan sering dihidangkan dengan pelbagai filem seram dari barat, termasuklah dari negara Thailand, Indonesia dan Jepun. Jadi kami sebagai penerbit ingin mempersembahkan sesuatu yang unik dengan mengangkat budaya serta kepercayaan Melayu, termasuklah isu sosial yang amat dekat dengan masyarakat kita, di samping menonjolkan adegan serta makhluk seram ke dalam filem khusus buat peminat naskhah seram di luar sana.”

Penerbit Eksekutif & Wakil Jazzy Pictures (M) Sdn Bhd, Joanne Goh menyatakan, “Penglibatan Jazzy Pictures (M) dalam filem Talbis Iblis selaku penerbit merupakan satu pengalaman baik buat kami kerana berpeluang bekerjasama dengan tenaga kreatif, para pelakon serta kru produksi yang hebat. Tambah mengujakan filem ini telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa sebelum tayangan rasminya di Malaysia. Justeru, kami harap ia mampu menjadi pemangkin buat karya-karya tempatan lain untuk dipamerkan kepada dunia. Kami juga menjanjikan filem ini mampu memberi kepuasan kepada penonton semasa menontonnya di layar perak kelak.”

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad mengulas tentang kerjasama menghasilkan filem ini, ia memberi ruang buat Astro Shaw untuk mengukuhkan lagi hubungan baik dengan penerbit-penerbit tempatan dengan bergabung idea untuk menghasilkan sebuah karya yang mantap. “Industri filem tempatan dilihat dalam prestasi dan momentum positif sekarang ini. Kehadiran Talbis Iblis pada Oktober hadapan adalah masa yang tepat untuk memeriahkan lagi pawagam dengan menawarkan genre berbeza berbanding filem-filem yang sedia ada di layar perak sekarang kepada penonton. Menariknya, Talbis Iblis membawakan subjek cerita yang amat dekat dengan penonton Malaysia serta diarahkan oleh pengarah cukup berkaliber yang sentiasa berjaya menyentuh perasaan penontonnya menerusi sentuhan magisnya. Jadi, nantikan kehadiran filem ini yang mampu memberikan nilai tontonan berbeza kepada penonton.”

A Next Star Production Sdn Bhd, Megan Fong berkata, “Kami rasa amat teruja filem Talbis Iblis kini bersedia untuk temui penonton tidak lama lagi. Meskipun proses pos produksi filem ini dilakukan ketika dalam fasa pandemik Covid-19, namun ia berjaya disempurnakan. Ia membuktikan gabungan usaha sama bakat-bakat kreatif tempatan mampu menghasilkan sebuah karya terbaik untuk industri filem Malaysia.”

General Manager of MM2 Entertainment, Cik Angelin Ong berkata “Menerusi filem seram Talbis Iblis, penonton Malaysia dapat menyaksikan sebuah lagi filem yang mampu menyentuh perasaan dengan elemen seram, drama, berdebar, sedih dan banyak lagi. Kami rasa berbesar hati berpeluang bekerjasama sekali lagi dengan pasukan yang jayakan filem Sangkar dan Kabir Bhatia.”

OST bagi filem Talbis Iblis bertajuk ‘Harapan Penyambung Mimpi’ nyanyian Indah Ruhaila, hasil lirik oleh Habsah Hassan dan komposer Heidi Moru dan Lo Shi Seng.

Nantikan filem seram Talbis Iblis di pawagam seluruh tanah air bermula 20 Oktober depan. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.

Filem Redha

Apabila membicarakan tentang austim, sememangnya diakui tidak ramai masyarakat di negara ini yang mengetahui secara lebih mendalam mengenainya. Malah, terdapat segelintir masyarakat yang sering memberi persepsi yang buruk terhadap individu serta keluarga yang berhadapan dengan masalah autism ini.

IMG_0135

Bagi memberi gambaran yang lebih jelas tentang autism, maka syarikat produksi Current Pictures Sdn. Bhd. mengambil inisiatif dengan menerbitkan sebuah filem berjudul Redha yang memberi focus kepada penceritaan tentang ibu bapa yang membesarkan anak yang menghidap autism.

Berdasarkan inspirasi dari kisah sebenar, Redha memaparkan tentang hidup pasangan suami isteri, Alina dan Razlan menjadi terumbang-ambing dalam menghadapi realiti perjuangan sebenar untuk membesarkan seorang anak Istimewa selepas mendapati bahawa anak mereka Danial menghidap autism.Ketidaksanggupan Razlan untuk menerima kebenaran menyebabkan kedinginan dalam keluarga, tetapi ketabahan Alina dan naluri seorang ibu membantu mereka dalam melalui detik yang sukar untuk membesarkan Danial. Dibantu adik dan teman rapatnya, mereka telah menemui cara khusus untuk membantu Danial, sehinggalah satu kemalangan tragis menyebabkan keluarga ini terpaksa dibina semula.

IMG_0462

Bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 14 April 2016, filem yang diarahkan oleh Tunku Mona Riza ini menampilkan barisan pelakon seperti Namron, June Lojong, Harith Haziq, Izzy Reef, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Ruminah Sidek dan Susan Lankester.Bercerita lebih lanjut mengenai pembikinan filem ini, inspirasi untuk filem Redha datang apabila Tunku Mona Riza bertemu dengan seorang rakan lama yang memiliki seorang anak autistik. Apabila menyedari bahawa kesedaran autism masih kecil dalam kalangan masyarakat, Tunku Mona mengangkat cabaran bagi dirinya untuk mengetahui dengan lebih lagi mengenai autism dan paling utama bagaimana kesannya terhadap keluarga di Malaysia, yang memberi elemen kemuncak penceritaan yang memang tersedia untuk diberitahu.

IMG_0378

Dari sebuah premis yang mudah, kisah ini berkembang menjadi banyak lapisan, dipenuhi dengan inspirasi, kejujuran dan kebenaran, ianya sebuah kisah universal. Filem Redha ini, bukan sahaja mengenai autism, tetapi ia turut berkisar mengenai keluarga, ia mengenai masyarakat, ia mengenai kita semua.

IMG_0488

Selain itu, sesuatu yang menarik tentang filem ini juga apabila lagu runut bunyi (OST) Redha berjudul Abah turut dinyanyikan oleh Umar Hasfizal, pemuda berusia 18 tahun yang merupakan seorang anak autism. Lagu Abah ini dihasilkan oleh komposer terkenal tanah air iaitu Monoloque.