Tag Archives: JS Pictures

JANNA NICK Sertai ANGKATAN TENTERA MALAYSIA!

Tidak mahu lagi terpalit dengan sebarang kontroversi, Janna Nick nekad untuk menukar kerjayanya daripada seorang artis popular untuk menjadi seorang tentera! Macam tak percaya, tetapi semuanya memang betul! Sememangnya Janna telah membuat permohonan untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia tetapi sekadar tuntutan watak di dalam drama terbaharu terbitan JS Pictures Sdn. Bhd iaitu Leftenan Zana yang bakal bersiaran hari ini, 8 Februari!

Drama arahan Azman Hj. Yahaya  ini mengisahkan mengenai impian Zana (Janna Nick) yang bercita-cita mahu menjadi anggota tentera tetapi cita-citanya itu tidak direstui bapanya. Zana adalah anak perempuan bongsu Mejar (B) Rahmat (Hairie Othman).  Sejak kecil, Zana sangat rapat dan manja dengan bapanya sehinggakan dia ingin menjadi seorang askar seperti Rahmat. Malangnya, Rahmat tidak suka dan tidak akan membenarkan Zana untuk menyertai bidang ketenteraan. Rahmat lebih mengharapkan Zaidi, anak lelaki sulungnya untuk menyambung legasinya tetapi Zaidi tidak berminat.

Walaupun dihalang, Zana tekad untuk meneruskan cita-citanya dan dalam diam telah membuat permohonan secara online untuk menjadi anggota tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Zana telah terpilih untuk menjalani ujian saringan dan akhirnya berjaya diterima sebagai pelatih ATM dan perlu menjalani latihan di Melaka. Pada mulanya, Zana berbohong mengatakan bahawa dia diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Namun, di saat akhir Zana berterus terang kepada Rahmat dan ibunya, Mah.

Walaupun marah, Rahmat tetap menghantar Zana ke kem untuk latihan. Rahmat pasti Zana tidak akan bertahan lama di sana. Ujian Zana bermula dan ternyata apa yang dikatakan oleh bapanya tentang kepayahan di kem, semuanya benar. Selain Sarjan Qamar (Sheila Rusly) yang menggerunkan, Zana tertekan dengan pelbagai latihan yang memenatkan fizikal dan mental. Di kem juga Zana turut dibuli oleh Raz (Tunku Hanis) yang membencinya. Sehinggalah suatu hari, Zana tekad membuat keputusan untuk melarikan diri daripada kem.

Adakah Zana akan terus berputus asa dan akhirnya mengaku kalah pada bapanya? Ikuti perjalanan Zana dalam mengharungi cabaran untuk bergelar seorang anggota tentera yang dilakonkan oleh Janna Nick, Sheila Rusly, Redza Rosli, Tunku Hanis, Hairie Othman dan ramai lagi ini setiap hari Rabu hingga Jumaat, jam 9.00 malam.

Drama Dekatkan Jarak Kita capai 9 juta penonton

Drama bersiri ‘Dekatkan Jarak Kita’ yang telah bersiaran selama 15 episod di slot Samarinda terbukti mendapat tempat di hati penonton seluruh negara. Menurut Nielsen Malaysia, Dekatkan Jarak Kita yang membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Ayda Jebat, Syafiq Kyle, Wan Sharmila, Nadia Brian, Catriona Ross dan Azhan Rani telah meraih ratings terkumpul sebanyak 9 juta penonton sepanjang drama itu bersiaran.

Selain di hadapan kaca televisyen, drama Dekatkan Jarak Kita juga telah menjadi perbualan hangat di media sosial melalui tanda pagar #DekatkanJarakKita sehingga telah menjadi sohor kini (trending) nombor satu untuk setiap episod. Selain itu, Dekatkan Jarak Kita telah mencatatkan lebih 80,000 tontonan di portal video tonton dalam masa sebulan.

Dekatkan Jarak Kita adalah sebuah drama  bersiri 15 episod bertemakan kekeluargaan dan kasih sayang yang diterbitkan oleh JS Pictures Sdn. Bhd di bawah arahan saudara Azman Hj. Yahya @ Jinggo. Drama ini mengisahkan sepasang kembar tidak seiras, Tashriq dan Sofea yang tinggal bersama ibu mereka, Umi Khadijah setelah kematian ayah mereka akibat serangan sakit jantung. Tuan Kamil, sahabat lama keluarga itu muncul dalam kehidupan mereka dengan niat untuk membantu Umi Khadijah dalam menjalani kehidupannya. Tidak lama setelah kemunculannya itu, Umi Khadijah dan Tuan Kamil berkahwin. Walau bagaimanapun, Umi Khadijah tidak mengetahui bahawa Tuan Kamil mempunyai agendanya yang tersendiri iaitu untuk merampas harta Umi Khadijah kerana Tuan Kamil sebenarnya telah muflis. Namun, setelah kehilangan Sofea, keluarganya digemparkan apabila Alyssa, yang mirip dengan Sofea kembali untuk menuntut keadilan untuk Sofea dan memperbetul keadaan keluarga itu.

Dekatkan Jarak Kita telah bersiaran pada setiap Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam di TV3 dalam slot Samarinda daripada 21 November 2017 sehingga 25 Disember 2017. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan youtube TV3 iaitu @TV3Malaysia.