Tag Archives: Mimi Lana

Bulan Bintang Melancarkan Pertunjukan Fesyen “Sedekad Menyinar” Sempena Ulang Tahun Ke-10

Bulan Bintang telah menganjurkan pertunjukan fesyen bertema “Sedekad Menyinar” pada 2 Februari 2025 di KL Convention Center, Kuala Lumpur bagi meraikan ulang tahun ke-10 jenama fesyen tersebut. Pertunjukan ini menampilkan koleksi raya “ready-to-wear” (RTW) yang komprehensif untuk seisi keluarga.

Koleksi terbaru ini merangkumi baju melayu dengan tiga pilihan potongan – Slim Fit, Tailored Fit dan Traditional Fit – yang direka menggunakan kain yang lembut, ringan dan sejuk. Sebagai jenama yang mengutamakan inklusiviti, Bulan Bintang menawarkan saiz sehingga 8XL dengan pelbagai pilihan kurta. Untuk wanita dan kanak-kanak pula, koleksi pakaian raya sedondon ditawarkan dalam lebih 70 pilihan warna.

Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, menyatakan rasa syukur atas perkembangan pesat jenama tersebut selama sedekad dalam pasaran yang kompetitif. Beliau mengatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil sokongan rakyat Malaysia dan komitmen syarikat dalam penambahbaikan kualiti serta khidmat pelanggan.

Pertunjukan fesyen ini diserikan dengan kehadiran barisan selebriti ternama seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Johan Ghazali dan Hannah Delisha. Turut hadir sebagai duta istimewa ialah Zahiril Adzim, Ain Edruce, Zahirah MacWilson, Aiman Hakim Ridza, Mimi Lana, Dato’ Ramli MS, Dato’ Jalaluddin Hassan, Joey Daud, Zamarul Hisham, Sabri Yunus dan Angeline Tan.

Pandangan Para Duta Jenam

Datuk Rosyam Nor, sebagai selebriti kelas A, memilih Bulan Bintang kerana tertarik dengan perkembangan jenama ini selama 10 tahun. “Bulan Bintang bukan sekadar terkenal seluruh Malaysia, tapi saya tertarik dengan usaha penambahbaikan selama 10 tahun ini. Tahun ini pula, Bulan Bintang memperkenalkan koleksi baharu yang lebih berkualiti, design modern dan klasik yang tidak menjejaskan nilai baju melayu,” kata beliau.

Shukri Yahaya, yang telah berkhidmat sebagai Duta Senior selama 5 tahun, memuji idea-idea kreatif dan asli Bulan Bintang. Beliau menekankan komitmen jenama dalam perkhidmatan pelanggan yang beroperasi 24/7.

Datuk Remy Ishak, yang kini memasuki tahun kedua sebagai duta, berkongsi bahawa beliau amat selektif dalam pemilihan jenama yang diwakilinya. “Sebelum saya setuju dengan Bulan Bintang, team mereka perlu hantar semua sample produk untuk saya teliti dahulu kualitinya dan saya nak tahu apa inisiatif mereka untuk memasarkan baju melayu ni,” jelas beliau.

Nadhir dan Mierul, dua personaliti yang dipilih menjadi duta jenama, berkongsi pandangan unik mereka tentang kerjasama dengan Bulan Bintang. Menurut mereka, pemilihan untuk menjadi duta Bulan Bintang adalah keputusan yang tepat kerana jenama ini sentiasa menghasilkan karya yang unik dan berbeza setiap tahun. “Beza Bulan Bintang dengan jenama lain adalah pada karya yang unik setiap tahun. Taklah mengulang benda sama je setiap tahun. Fabric yang digunakan pun bertukar setiap tahun, pilihan warna, cutting, inklusiviti sentiasa ditambah baik setiap tahun. Karya Bulan Bintang ni fresh, modern, nafas baru tapi masih original baju melayu, tak merepek,” jelas mereka.

Syafiq Kyle, yang dikenali sebagai muka ‘rare’ dalam arena duta jenama fesyen, menyatakan kekagumannya terhadap skala kerja Bulan Bintang dan komitmen mereka kepada pembeli. “Takdelah orang cakap ‘founder je yang kaya beli kereta’ kan? Bulan Bintang bagi berpuluh buah kereta pada pembeli! Sampai RM10 juta dibelanjakan untuk hadiah tahun ni,” tambah beliau.

Johan Ghazali, sebagai satu-satunya fighter dalam barisan duta, menjelaskan kepentingan baju melayu dalam kerjayanya sebagai wakil Malaysia di arena antarabangsa. “Setiap kali saya ada fight, saya mewakili negara saya, Malaysia. Secara tak langsung, saya akan mempromosikan negara dan budaya orang Malaysia di luar sana sampai ke US,” ujar beliau.

Hannah Delisha, yang mewakili Bulan Bintang Sisters, memuji evolusi koleksi raya tahun ini yang lebih segar dan kontemporari. “Design Bulan Bintang Sisters tahun ini dibuat untuk tak limitkan untuk dipakai pada hari raya je, sesuai untuk pelbagai majlis. Selain itu, design yang sama akan ada juga pilihan untuk ‘kids’ atau kanak-kanak dan warna yang ditawarkan semuanya ada padanan warna untuk baju melayu,” jelasnya.

Hadiah dan Promosi Istimewa

Sempena ulang tahun ke-10, Bulan Bintang menawarkan hadiah-hadiah bernilai RM10 juta melalui kolaborasi dengan pelbagai jenama terkemuka. Antaranya termasuk 1kg jongkong emas dari GB Gold, tiket penerbangan percuma setahun dari AirAsia, wang tunai RM150,000 dari Hausboom, pakej haji dan umrah dari Tabung Haji dan Kahf, serta 120,000 voucher dari Tealive.

Turut diumumkan adalah pemenang pertandingan Bulan Bintang Next Top Model yang menampilkan finalis dalam lingkungan umur 40 hingga 70 tahun dari kalangan orang awam. Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 melalui undian juri dan penonton yang hadir.

Koleksi Raya Sedekad Menyinar boleh didapati di 15 butik rasmi Bulan Bintang seluruh negara dan platform TikTok sebagai rakan kerjasama strategik. Penghantaran seluruh Malaysia diuruskan oleh Ninjavan selaku rakan logistik rasmi. Azzim mensasarkan jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian untuk kempen kali ini.

Slot Akasia ‘Bukan Cinta Aku’

Janna Nick pilih Baim Wong? Bukankah Baim dah beristeri? Sampai hati pula Janna menolak cinta Syafiq Kyle, jejaka yang sedang hangat di pasaran ini. Memang betul Janna pilih Baim Wong tetapi hanyalah di dalam drama terbaharu 20 episod yang menggandingkan mereka bertiga di slot Akasia iaitu Bukan Cinta Aku mulai 5 Jun ini. Selain Janna Nick, Baim Wong dan Syafiq Kyle, drama ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Mimi Lana, Daler Yusuf, Datuk Eizlan Yusof, Datin Seri Maria Farida, Marisa Yasmin, Eyka Farhana, Dini Schatzmann dan ramai lagi.

Drama terbitan Rumah Karya Citra arahan Ejump Mohd ini mengisahkan Rania (Janna Nick), baru sahaja selesai pengajiannya dan kembali ke pangkuan keluarganya yang menetap di Florence, Itali. Rania telah jatuh cinta dengan Arjuna (Baim Wong), pemandu keluarganya. Kesungguhan Arjuna yang sering memberi kata-kata nasihat membuatkan Rania jatuh hati pada Arjuna. Walaupun pada awalnya, Arjuna tidak berani untuk membalas cinta Rania kerana dia sudah banyak terhutang budi dengan keluarga Rania. Namun perasaan cinta itu tidak mampu dinafikannya dan mereka cuba menyembunyikan percintaan mereka supaya tidak diketahui oleh ibu bapa Rania.

Suatu hari, Rania sekeluarga perlu pulang ke Malaysia kerana perniagaan bapanya mengalami masalah di sana. Arjuna juga dibawa pulang kerana ibu Rania merasakan Arjuna sudah banyak berjasa dan menjaga Rania sepanjang mereka di Itali. Berita itu menggembirakan Rania kerana dia tidak akan terpisah dengan Arjuna. Ibu bapa Rania sudah ada rancangan lain untuk Rania. Mereka ingin menjodohkan Rania dengan Tengku Isma (Syafiq Kyle), anak kenalan mereka. Setelah mengetahui rancangan ibu bapanya untuk menjodohkannya dengan Tengku Isma, Rania membuat keputusan untuk bertemu Tengku Isma. Rania lega apabila Tengku Isma mengatakan bahawa dia juga tidak sukakan keputusan keluarganya kerana dia sudah punya kekasih.

Rania membuat perjanjian dengan Tengku Isma supaya mereka mengikut sahaja kehendak keluarga buat sementara waktu tetapi tiada komitmen antara mereka. Mereka boleh meneruskan hubungan dengan pasangan masing-masing dan Tengku Isma bersetuju. Malangnya, perhubungan antara Rania dan Arjuna akhirnya diketahui oleh ibu bapa Rania. Mereka kecewa kerana Rania mengkhianati kepercayaan mereka.

Rania telah dikurung dan Arjuna hilang entah ke mana kerana dihalau oleh ibu bapa Rania. Pernikahan antara Rania dan Tengku Isma dipercepatkan. Walaupun sudah bernikah, Rania tidak mengizinkan Tengku Isma untuk menyentuhnya. Tengku Isma tetap melayani Rania dengan baik, memenuhi segala permintaan Rania tetapi dia tidak mampu membuatkan Rania untuk menerimanya.

Masihkah ada peluang buat Tengku Isma untuk memiliki cinta Rania? Jangan lupa ikuti perjalanan cinta penuh liku di antara Rania, Arjuna dan Tengku Isma ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di TV3 dan juga portal video tonton! Ikuti laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda!