Tag Archives: mymall

KUSKOP SASAR RM5 JUTA MENERUSI KEMPEN  MARI BELI LOKAL RAMADAN RAYA 2025 MYMALL 

KUALA LUMPUR, 17 Mac – MARI BELI LOKAL ini adalah antara inisiatif   Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang giat memperkasakan usahawan tempatan dan koperasi. Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 di bawah platform MyMall bermula 1 Mac hingga 30 April ini menyasarkan RM5 juta hasil jualan berbanding RM2.5 juta tahun 2024. Penganjuran kempen kali ini turut melibatkan jualan produk-produk daripada artis tempatan iaitu sambal dan pakaian serta produk dari jenama terkenal seperti Kasurysh, Lima Waktu, Elrah Exclusive, Primavalet, The Makan Shoppe, Beubon, Shasya Habib dan Aris Burger.

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah merasmikan Majlis Peluncuran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 pada 17 Mac 2025 di Dewan ODEON, Kuala Lumpur.  Kali ini KUSKOP telah memilih ODEON, Kuala Lumpur yang dimiliki oleh UDA Holdings, agensi di bawah KUSKOP sebagai lokasi perasmian. 

Beliau berkata, peluncuran Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2025 ini bertujuan untuk menarik sokongan orang ramai terhadap produk tempatan yang dikeluarkan oleh usahawan-usahawan Malaysia. 

Usahawan tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dijemput untuk menyertai platform jualan digital MyMall dengan mendaftarkan perniagaan di www.mymallmalaysia.my atau e-mel kepada contact@mymallmalaysia.my.  Orang ramai yang berminat untuk membeli kelengkapan Ramadan dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri boleh membuat pesanan terus melalui platform tersebut.

Pada majlis yang sama, YB Datuk Ewon Benedick juga turut menyempurnakan sesi penyampaian anugerah Top Sales Kempen Mari Beli Lokal Ramadan Raya 2024, Top Sales Kempen Mari Beli Lokal Year End Sales 2024 dan anugerah Rising Star Merchant.

Kempen ini merupakan inisiatif Kementerian dalam memberi sokongan terhadap produk serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan dan secara tidak langsung membantu proses pendigitalan PMKS di negara ini.

KUSKOP terus komited dalam membantu pembangunan usahawan dan koperasi dengan pelbagai inisiatif terkini dan berimpak tinggi. Langkah ini bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Kempen Mari Beli Lokal – Ramadan Raya 2024 Kembali Lagi

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan RM2.5 juta hasil jualan usahawan tempatan melalui Kempen Mari Beli Lokal — Ramadan & Raya Tahun 2024. KUSKOP memperkenalkan kempen Mari Beli Lokal – Ramadan & Raya untuk kali kedua susulan kejayaan kempen tersebut pada tahun 2023 yang meraih nilai jualan sehingga RM2.5 juta. Seperti tahun 2023, kempen Mari Beli Lokal – Ramadan & Raya turut dikuasakan oleh platform digital tanpa caj iaitu MyMall.

Hampir 500 usahawan dijangka akan menyertai Kempen Mari Beli Lokal – Ramadan & Raya pada kali ini yang menawarkan pelbagai produk seperti pes masakan segera, produk runcit, pakaian raya dan kuih raya. Kempen ini juga disertai jenama-jenama terkenal seperti Lima Waktu, Bulan Bintang, Shasya Habib, Primavalet, Bunga, Nur Aisyah, Ola Oli, V3, SKNN, Qi Rahman dan Agarbomb.

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, sebagaimana pelaksanaan pada tahun 2023, Kempen Mari Beli Lokal Ramadan & Raya ini bertujuan menarik sokongan orang ramai kepada produk tempatan yang dikeluarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di negara ini. Melalui adaptasi jualan dalam talian dengan menggunakan platform MyMall, secara langsung inisiatif ini membantu proses pendigitalan PMKS dan koperasi di Malaysia.

Usahawan dan koperasi tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dijemput untuk menyertai platform jualan digital MyMall dengan mendaftarkan peniagaan mereka di www.mymallmalaysia.my. Manakala bagi yang berminat mendapatkan kelengkapan Ramadan dan Raya sepertj makanan, pakaian, perhiasan dan pelbagai keperluan lain boleh membuat pesanan menerusi www.mymallmalaysia.my atau aplikasi MyMall 2.0 yang boleh dimuat turun di Playstore atau AppStore.

Selain menyediakan platform @-dagang tanpa Caj, MyMall turut menawarkan akses terhadap pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan dan pemasaran kepada usahawan dan koperasi tempatan. KUSKOP terus komited dalam membantu pembangunan usahawan dan koperasi dengan pelbagai inisiatif terkini dan berimpak tinggi. Langkah ini bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.