Tag Archives: NADIN AMIZAH

LATIHAN PESTAPORA MALAYSIA 2025 GEGARKAN BUKIT JALIL BERSAMA ARTIS SERANTAU

KUALA LUMPUR, 27 JULAI 2025Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi mencipta sejarah apabila dimeriahkan dengan puluhan ribu peminat sempena Latihan Pestapora Malaysia 2025, sebuah festival muzik mega hasil kerjasama dua gergasi hiburan serantau, Hitman Solutions dan Boss Creator.

Lebih 25,000 peminat membanjiri stadium bagi menyaksikan gabungan lebih 25 artis popular dari Malaysia dan Indonesia dalam acara yang berlangsung penuh warna-warni malam tadi. Festival ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi menjadi simbol kesatuan budaya dua negara serumpun dalam suasana muzik, ekspresi dan semangat komuniti.

Acara ini merupakan edisi ‘pemanasan’ menjelang Pestapora Jakarta 2025 yang akan berlangsung pada 5–7 September nanti. Menariknya, edisi Malaysia ini menampilkan pentas ganda — “Main Stage” dan “Hingar Bingar” — dengan penampilan istimewa seperti Sheila On 7, Pamungkas, .Feast, Nadin Amizah, Bittersweet, Dolla, Bunkface, Hindia, Yonnyboii dan ramai lagi.

Kehadiran Sheila On 7 menjadi detik paling dinanti, apabila band legenda dari Yogyakarta itu muncul semula di pentas Malaysia selepas lebih satu dekad. Lagu-lagu ikonik seperti Dan, Sephia dan Melompat Lebih Tinggi membuatkan seluruh stadium menyanyi bersama dengan penuh emosi.

Menurut En. Rohit Rampal, CEO Hitman Solutions, kejayaan festival ini membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah kepada festival bertaraf antarabangsa. Sementara itu, En. Kiki Ucup, pengasas Boss Creator turut menyifatkan festival ini sebagai satu gerakan budaya yang membina komuniti.

Apa yang membezakan Latihan Pestapora Malaysia 2025 ialah penekanan kepada rasa lokal — dari vendor makanan tempatan, aktiviti interaktif, hinggalah ruang bergambar yang mesra semua peringkat umur. Ia adalah gabungan sempurna antara “vibe” serantau dengan keunikan Malaysia.

Penganjur turut menyatakan komitmen untuk menjadikan acara ini sebagai festival tahunan, seterusnya memperluaskan kolaborasi seni merentas sempadan.

Acara ini turut disokong oleh Tourism Malaysia, Universal Music Malaysia, serta media rasmi seperti ERA, Sinar, Hitz, Mix, Syok, dan rakan strategik seperti Tapau, Batik Air, Book Cabin, Sunway Putra Hotel dan D’Mart Travel Tour.

SHEILA ON 7, NADIN AMIZAH & ALVN GEGAR STADIUM NASIONAL UNTUK LATIHAN PESTAPORA MALAYSIA 2025

KUALA LUMPUR, 5 JUN 2025 – Fenomena muzik Sheila On 7 kembali menggoncang Malaysia! Kumpulan legenda dari Indonesia ini bakal mengepalai Latihan Pestapora Malaysia 2025, festival muzik rentas negara yang kini beralih ke lokasi baharu — Stadium Nasional Bukit Jalil — pada 26 Julai 2025.

Perpindahan ke stadium ikonik ini menandakan peningkatan skala festival yang dinanti ramai. Ia turut menampilkan barisan artis Fasa 2 termasuk penyanyi indie pujaan ramai Nadin Amizah dan DJ elektronik progresif ALVN, melengkapkan lineup yang menjanjikan malam penuh magis dan nostalgia.

Menurut Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, “Sheila On 7 bukan sekadar band, mereka adalah suara satu generasi. Persembahan mereka di Stadium Nasional bakal mencipta momen bersejarah untuk festival muzik di Malaysia.”

Sementara itu, Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator berkata, “Pestapora adalah lambang semangat komuniti muzik Nusantara. Membawa semangat itu ke Malaysia bersama Sheila On 7, Nadin Amizah dan ALVN adalah bukti hubungan erat antara dua negara.”

Festival ini dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator, pasukan di sebalik kejayaan Pestapora di Jakarta. Ia juga membariskan artis-artis hebat dari Fasa 1 seperti .Feast, Hindia, Pamungkas, Feel Koplo, Bittersweet, Bunkface, DOLLA dan ramai lagi — menjadikan festival ini medan sebenar pertemuan dua budaya muzik terbesar rantau ini.

🎫 Tiket Fasa 2 akan mula dijual pada 9 Jun 2025 jam 12 tengah hari di www.latihanpestaporamalaysia.com. Penjualan Fasa 1 sebelum ini telah mendapat sambutan luar biasa walaupun barisan artis belum diumumkan sepenuhnya.

💥 KATEGORI TIKET FASA 2:

  • Rockzone (Free Standing) – RM299
  • GA (Free Standing) – RM249
  • CAT 1 (Tempat Duduk Bernombor) – RM399 (Kategori Baharu)
  • CAT 2 (Tempat Duduk Bernombor) – RM189 (Kategori Baharu)

Latihan Pestapora Malaysia 2025 disokong oleh rakan-rakan media dan jenama termasuk ERA, HITZ, SINAR, MIX, THR GEGAR, SYOK, World of Buzz, Lobak Merah, Batik Air, BookCabin, Sunway Putra Hotel, Universal Music Malaysia dan Tapao Fest.

NADIN AMIZAH BAWA ‘MALAM MENDENGAR’ DARI JAKARTA KE KUALA LUMPUR

Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal mengadakan persembahan eksklusif, ‘Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’, bagi memenuhi permintaan tinggi peminatnya di Malaysia.

Persembahan istimewa ini akan berlangsung pada 16 Mei 2025, jam 8 malam, di Zepp Kuala Lumpur. Setelah kejayaan besar acara ‘Malam Mendengar’ di Jakarta, kini Nadin membawa konsep unik ini ke pentas Malaysia, menjadikannya satu acara yang wajib dihadiri oleh para peminatnya.

Menurut Nadin, ‘Malam Mendengar’ bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah pengalaman mendalam yang membolehkannya berhubung lebih dekat dengan peminat melalui muzik dan lirik yang penuh emosi serta makna.

“Saya sangat gembira dan terharu, tetapi pada masa yang sama berasa gementar untuk memenuhi ekspektasi peminat di Malaysia. Saya mahu memastikan pengalaman ini menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan,” kata Nadin.

Lebih istimewa, persembahan kali ini bakal menampilkan susunan muzik yang lebih segar dengan gubahan muzik orkestra buat pertama kalinya. Ini memberi sentuhan baru kepada lagu-lagu yang telah menjadi kegemaran ramai dan memperlihatkan evolusi Nadin sebagai seorang artis.

“Saya berharap peminat di Malaysia dapat meluangkan waktu untuk menyaksikan persembahan ini dan menjadi saksi kepada perkembangan saya sebagai pemuzik sejak kali pertama berkunjung ke Malaysia,” tambahnya.

Penganjur dari Renjana Idea, Siti Azlina, turut berkongsi keterujaan dalam membawa ‘Malam Mendengar’ ke Malaysia.

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu perjalanan emosi dan pengalaman muzik yang mendalam. Kami percaya susunan muzik baharu ini akan memberikan sesuatu yang lebih istimewa kepada penonton serta membolehkan mereka melihat sisi berbeza Nadin Amizah,” katanya.

Nadin Amizah sememangnya bukan nama asing di Malaysia. Lagu-lagunya yang puitis dan penuh emosi sering menjadi siulan peminat muzik indie dan alternatif. ‘Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ kali ini bukan sahaja membawa nostalgia tetapi juga memberikan dimensi baharu kepada karya-karyanya yang semakin matang.

Tiket untuk persembahan ini telah mula dijual sejak 12 Februari 2025 dan boleh didapati di www.golive-asia.com. Harga tiket adalah seperti berikut:

  • Tawa – RM658
  • Sorak Sorai – RM258
  • Sorai – RM238
  • Kekal – RM248
  • Bunga Tidur – RM178
  • Tambahan RM298 untuk sesi Meet & Greet

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam istimewa ini dan menyaksikan keunikan persembahan Nadin Amizah secara langsung di Kuala Lumpur!