Tag Archives: Nazeera Sardi

Bukti Mawar Rashid dan Elvina Mohamad KALIS KASIH

Kehilangan kedua ibu bapa tersayang secara serentak dan sekaligus menjadi yatim piatu sememangnya merupakan dugaan paling berat untuk diterima dan memerlukan kesabaran yang amat tinggi. Disusuli pula dengan masalah rumahtangga yang berantakan dan kehilangan kedua anak yang disayangi. Itulah yang dilalui oleh Mawar Rashid menerusi lakonannya dalam drama Samarinda Kalis Kasih, yang turut dibintangi oleh Elvina Mohamad, Amar Baharin, Syazwan Zulkifly, Nazeera Sardi, Amyza Aznan, Azri Iskandar, Rosnah Johari, dan Iduerra Matilda dalam drama Samarinda Kalis Kasih.

Kalis Kasih arahan saudara Nazir Jamaludin yang mengandungi 15 episod ini diterbitkan oleh Z K Creative Production Sdn Bhd. Drama yang bertemakan kekeluargaan dan pengorbanan ini bakal menemui penonton semua pada setiap Isnin hingga Rabu bermula 2 April, pada pukul 10.00 malam.

Drama ini mengisahkan tentang dua orang sepupu yang sebaya tetapi berbeza karakter dan latar belakang iaitu Amanda dan Dania. Amanda (lakonan Mawar Rashid) dibesarkan di bandar dan sudah biasa dengan kesenangan, manakala Dania, yang dilakonakan oleh Elvina Mohamad, dibesarkan di kampung dan hidup dalam kesederhanaan. Takdir seakan ingin menduga mereka berdua apabila ibu bapa Amanda lemas ketika beriadah di sungai. Amanda terpaksa meninggalkan kehidupan bandarnya dan berpindah ke kampung untuk tinggal bersama keluarga Dania.

Seperti yang anda jangkakan seperti cerita-cerita melayu yang lain, semestinya Amanda tidak tahan tinggal di kampung. Oleh itu, Amanda belajar bersungguh-sungguh dan dapat sekolah di sebuah sekolah berasrama penuh. Setelah berjaya, Amanda bekerja di bandar dan berkahwin dengan Khair, lakonan Amar Bahrain. Pada masa sama, Dania pula telah menjalinkan hubungan dengan Bard (Syazwan Zulkifli), seorang jejaka kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Hubungannya dengan Bard tidak disenangi oleh kedua-dua ibu bapa Dania, Pak Kudin dan Mak Zauyah.

Setelah beberapa bulan berlalu, Amanda melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakan Iris. Khabar gembira ini menimbulkan keterujaan Mak Zauyah yang ketika itu tidak sihat. Dia ingin menyediakan air akar kayu untuk Amanda. Namun, tanpa diduga, Mak Zauyah telah tergelincir di dapur dan meragut nyawanya.

Setelah enam tahun berlalu, Dania akhirnya bertunang dengan Bard. Syarikat audit Amanda dan Khair semakin maju dan ini membuatkan mereka terlalu sibuk sehingga tidak dapat menguruskan anaknya Iris. Amanda meminta bantuan Dania untuk menjadi pengasuh Iris. Pada masa sama, Amanda juga sedang mengandungkan anak kedua. Dania teruja apabila dipelawa untuk menjadi pengasuh Iris di samping menjaga rumah Amanda dan Khair.

Puan Halena, ibu Khair pula senang hati melihat rumah tangga anaknya semakin terurus semenjak kehadiran Dania di rumah Amanda. Pada ketika itu juga, pertunangan Dania dengan Bard telah diputuskan oleh Pak Kudin apabila Bard dilihat menjalinkan hubungan sulit bersama wanita lain. Walaupun pertunangan Dania terputus, kehidupan Dania tidak terjejas kerana Dania sedang bahagia bersama Iris.

Namun, kebahagiaan keluarga ini hanyalah sementara apabila mereka diduga dengan Amanda yang keguguran anak keduanya dan kematian Iris. Ini membuatkan hubungan Amanda dan Dania semakin renggang. Apakah yang telah berlaku di dalam keluarga ini?

Dapatkah mereka merasakan kemanisan keluarga bahagia sekali lagi seperti dahulu kala? Ikuti kisah pergolakkan rumah tangga Amanda dan krisis hubungan Dania ini dalam drama Samarinda Kalis Kasih setiap hari Isnin hingga Rabu bermula 2 April, pukul 10.00 malam, di TV3.

Gandingan Sulung FATIYA LATIFF & FATTAH AMIN Dalam Drama “BENCINTA’

BENCINTA_PIC_4aMenyusuli “Tabir Zulaikha”, saksikan drama bersiri terbaharu, “Bencinta” terbitan Zeel Production yang menampilkan barisan pelakon popular tanah air iaitu Fatiya Latiff, Fattah Amin, Bella Dally, Erwin Dawson, Nazeera Sardi, Dato’ Eizlan Yusoff dan Amy Mastura bermula 31 Mac 2015, setiap hari Selasa hingga Khamis, pukul 10.00 malam di TV3.

Drama bersiri 15 episod ini ialah arahan Shuhaimi Lua dan nukilan skrip oleh Mufid Suhaimi mengisahkan tentang Nabil (Fattah Amin) yang menjadi anak yatim piatu selepas ibunya meninggal dunia pada usia 10 tahun. Mak saudaranya, Maimunah (Sabrina Ali) telah menghantar Nabil ke rumah anak yatim kerana menganggapnya sebagai seorang yang sial. Di sana, Nabil berkawan rapat dengan Aishah (Bella Dally) dan Ikmal (Azri). Sifat kepimpinan Nabil terserlah sejak kecil.

BENCINTA_PIC_13aSelepas setahun, Nabil menjadi anak angkat kepada Majid (Dato’ Eizlan Yusof) dan Maria (Amy Mastura) yang tidak dikurniakan cahaya mata setelah sekian lama berkahwin. Walaupun hanya anak angkat, Nabil ditatang seperti minyak yang penuh oleh Maria. Majid pula sering membawa Nabil ke pejabatnya kerana mahu mendidiknya sebagai waris syarikatnya sejak usia muda lagi.

Tidak lama kemudian, Maria telah mengandung. Malangnya, Maria meninggal dunia selepas melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan Nabila (Fatiya Latiff). Maria telah meninggalkan amanat kepada Nabil supaya menjaga Nabila dan mengahwini Nabila apabila mereka berdua dewasa nanti.

Nabil menjaga Nabila dengan penuh kasih sayang. Namun, sikap Nabil yang terlalu mengongkong telah menyebabkan Nabila mula memberontak dan bencikan Nabil. Lalu, Nabila yang mendahagakan kebebasan telah membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Nabil tidak bersetuju tapi dia terpaksa akur kerana Majid telah memberikan kelepasan kepada Nabila.

BENCINTA_PIC_9aNabila mengambil jurusan perniagaan kerana dia mahu mengambil alih perniagaan ayahnya dari jatuh ke tangan Nabil. Nabila telah bercinta dengan Adam (Erwin Dawson) namun mereka terpaksa berpisah apabila Adam dipanggil pulang oleh keluarganya selepas tamat pengajian. Nabila dan Adam berjanji akan jumpa di Malaysia dan tidak akan putus hubungan.

Nabil berjumpa semula dengan Aishah dan Ikmal. Aishah masih memendam perasaan terhadap Nabil. Aishah mengambil peluang memenangi hati Nabil selepas berjaya mendapat jawatan sebagai pembantu peribadi kepada Nabil. Kemunculan Natasya (Nazeera Sardi) sebagai klien Nabil telah menggugat perasaan Aishah. Natasya seorang wanita korporat yang lincah, tidak segan silu menggoda Nabil walaupun dalam urusan rasmi.

Selepas tamat pengajian, Nabila pulang dengan tekad dan azam baharu. Suasana di rumah sudah berbeza kerana Nabil yang lebih berkuasa. Nabil yang mengatur semua urusan memandangkan Majid sudah uzur. Nabila hanya bersabar dengan Nabil demi menjaga hati ayahnya. Kebencian Nabila terhadap Nabil bertambah apabila hanya diberikan jawatan biasa dalam syarikat ayahnya.

Poster BencintaPertemuan semula Adam dan Nabila membibit semula cinta mereka. Nabila sering pulang lewat. Majid mula risau dan mahu Nabil mengawal cara hidup Nabila. Majid ingin menyatukan Nabil dan Nabila. Nabila terima Nabil dengan berat hati kerana tidak ingin syarikat keluarganya menjadi milik mutlak Nabil sekiranya dia tidak berkahwin dengan Nabil.

Selepas berkahwin, Nabila masih berjumpa dengan Adam tanpa menghiraukan perasaan suaminya. Nabil telah menyiasat tentang Adam. Akhirnya, Nabil menunjukkan bukti bahawa Adam telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Walaupun begitu, Nabila tetap bersikap dingin terhadap Nabil malah dia berpihak kepada Adam yang terpaksa berkahwin demi menyelamatkan syarikat ayahnya.

Nabil dan Nabila sering bertengkar pasal Adam. Nabila pula menyerang Nabil kerana Natasya sering mendampingi Nabil. Suatu hari, Nabila yang tidak dapat mengawal kemarahannya telah mengatakan syarikat tidak memerlukan Nabil kerana dia boleh uruskan sendiri. Oleh kerana tercabar dengan kenyataan Nabila, Nabil telah meletak jawatan dan menghilangkan diri.

Apakah Nabila akan bahagia selepas Nabil mengundurkan diri? Apakah yang akan berlaku seterusnya? Saksikan drama bersiri terbaharu ini menerusi slot Samarinda lakonan Fatiya Latiff (Nabila), Fattah Amin (Nabil), Bella Dally (Aishah), Erwin Dawson (Adam), Nazeera Sardi (Natasya), Dato’ Eizlan Yusof (Datuk Majid) dan Amy Mastura (Datin Maria) bermula 31 Mac 2015, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10.00 malam di TV3.

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan drama bersiri ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.