Tag Archives: Nicholas Saputra

MELLY GOESLAW RAIKAN KEMUNCAK NOSTALGIA DI “ADA APA DENGAN MELLY…? PROM NITE” DI AXIATA ARENA

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2025 — Axiata Arena bergema dengan sorakan, nyanyian, dan air mata kenangan apabila Melly Goeslaw kembali menghidupkan nostalgia menerusi malam kemuncak “Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite”, sebuah konsert yang melengkapkan trilogi perjalanan emosi dan muzik selepas siri “Back To School” dan “Malam Graduasi” sebelum ini.

Lebih daripada sekadar konsert, Prom Nite adalah pesta cinta dan kenangan yang dihadiri ribuan peminat dari pelbagai generasi yang pernah membesar dengan lagu-lagu Melly. Malam penuh magis itu bermula tepat jam 8.30 malam, diiringi orkestra dan susunan muzik indah arahan Anto Hoed — pasangan seni dan hidup Melly yang setia di sisi sejak awal karier beliau.

Melly memulakan malam dengan lagu ikonik “Ku Bahagia” dalam versi orkestra penuh yang menyentuh hati. Disusuli rentetan lagu-lagu seperti “Ingin Mencintai dan Dicintai”, “Sampai Kumenutup Mata”, “Jika”, “Gantung” dan “Cinta Sejati” — setiap bait lirik dan melodi membawa penonton menyusuri semula lorong-lorong memori yang telah dilalui bersama karya beliau selama lebih dua dekad.

Konsert ini turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa Aina Abdul yang membawa nafas baharu dalam beberapa segmen lagu, serta kemunculan dua ikon filem “Ada Apa Dengan Cinta”, Nicholas Saputra dan Dhinda Ghania. Persembahan istimewa Dinda dengan lagu “Jangan Pernah Berubah” dan “Bunda” menyentuh jiwa, manakala penampilan Nicholas membacakan puisi klasik AADC mengundang sorakan gemuruh.

Segmen medley istimewa yang menggabungkan “Janji Manis”, “Betapa Kucinta Padamu” dan “Isabella” pula menjadi bukti bahawa Melly tidak sekadar meraikan muzik sendiri, tetapi juga memberi penghormatan kepada legenda muzik tanah air seperti Aishah, Dato’ Siti Nurhaliza dan Search.

Menjelang penutup, suasana bertukar menjadi pesta dengan lagu-lagu rancak seperti “Let’s Dance Together”, “Hey Ladies”, “Party Time” dan “I Just Wanna Say” yang membuatkan seluruh Axiata Arena berdansa, sebelum ditamatkan secara simbolik dengan lagu penutup “Demikianlah” — seolah-olah menandakan akhir sebuah perjalanan, namun membuka ruang buat permulaan baharu.

Konsert “Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite” adalah bukti betapa karya Melly Goeslaw telah menjadi sebahagian daripada jiwa dan sejarah muzik serantau. Seperti yang dinyatakan oleh penganjur, Iman Tang dari Icon Entertainment: “Ini bukan malam terakhir, tetapi malam pertama untuk kita semua menggamit semula dua dekad kenangan dan kasih yang abadi.”

Satu malam yang tidak akan dilupakan — bukan sahaja oleh peminat setia, tetapi oleh sejarah muzik Malaysia dan Indonesia yang telah disatukan dalam cinta dan lagu.

FILEM DAIN ISKANDAR SAID ‘INTERCHANGE’ Ke Festival Filem LOCARNO

Filem pengarah Dain Iskandar Said Interchange mendapat pengiktirafan antarabangsa selepas Festival Filem Locarno yang berpengkalan di Switzerland menjemput filem ini untuk ditayangkan di festival yang berprestij itu.

Selain Nandita dan Dain Said, rombongan Malaysia juga akan diiringi pelakon Shaheizy Sam, Iedil Putra, pengarah fotografi Jordan Chiam (Terbaik Dari Langit) dan pengarah muzik Luka Kuncevic (Polis Evo). Pelakon Indonesia Nicholas Saputra dan Prisia Nasution yang turut membintangi filem tersebut juga turut diundang ke festival tersebut.Interchange akan ditayangkan pada 5 Ogos 2016 di Piazza Grande yang mampu memuatkan seramai 8,000 penonton pada satu masa di ruang terbuka dan ditayangkan di layar gergasi (26×14 meter) untuk tatapan seluruh pengunjung yang hadir ke festival tersebut.

Piazza Grande

Festival Filem Locarno diwujudkan sejak tahun 1946 dan pernah menampilkan pengarah-pengarah terkemuka seperti Claude Chabrol, Stanley Kubrick, Miloš Forman, Béla Tarr, Chen Kaige, Alexandr Sokurov, Jim Jarmusch, Spike Lee, Ang Lee, Claire Denis, Kim Ki-Duk, Abbas Kiarostami dan ramai lagi.Filem kedua Dain Said yang menemui penonton di pawagam bakal ditayangkan pada awal 2017. Ia diterbitkan oleh Apparat dan dibiayai oleh Sonneratia Capital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Filem Nasional (FINAS). Interchange juga diterbitkan bersama penerbit Indonesia, Cinesurya.

Film seram supernatural ini menggabungkan pelakon-pelakon hebat Malaysia dan Indonesia seperti Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Prisia Nasution, Iedil Putra, Nadiya Nissa, Alvin Wong dan Chew Kin Wah. 

Teaser filem Interchange sudah pun boleh dicapai secara dalam talian bermula Khamis, 12 Mei 2016.

SINOPSIS FILEM

DETEKTIF MAN (SHAHEIZY SAM), bersama rakannya ADAM (IEDIL PUTRA), seorang jurufoto forensik, terlibat di dalam satu kes pembunuh bersiri yang amat mengerikan sehingga ianya memberi igauan serta kesan amat mendalam kepada Adam. Sejak dari peristiwa tersebut, Adam mula menyendiri dan menghindari dunia nyata dengan mengambil foto dari beranda apartmennya. Dari lensa kamera beliau, Adam mengintip IVA (PRISIA NASUTION), seorang wanita misteri berasal dari Borneo yang baru sahaja berpindah ke apartment bertentangan. Tatkala itu, mulalah Adam diselinap masuk ke dalam dunia penuh misteri Iva. Pada masa yang sama, Man berjaya memecah kebuntuan kes-kes pembunuhan yang berlaku. Akhirnya, mulalah konflik dengan pelbagai kejadian-kejadian mistik, ngeri dan kepercayaan dahulukala yang mula menghantui mereka.