Tag Archives: Nina Iskandar

SKANDARL BEAUTY MEMBUAT PENAMPILAN RASMI DI MALAYSIA: PRODUK KECANTIKAN DARI HATI WANITA UNTUK WANITA

Kuala Lumpur, 24 April 2025 — SKANDARL Beauty, jenama kecantikan yang lahir daripada pengalaman peribadi dan semangat seorang wanita, dengan bangga mengumumkan pelancaran rasminya di Malaysia hari ini. Diasaskan oleh pelakon dan usahawan terkenal, Nina Iskandar, SKANDARL memperkenalkan produk sulungnya — Serum Bibir Berwarna SKANDARL Beauty — produk penjagaan kecantikan yang bukan sahaja memperindah, malah merawat dan menyuburkan bibir secara semula jadi.

Pelancaran ini membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar produk kecantikan—ia mewakili sebuah perjalanan peribadi. Sebagai seorang ibu, wanita bekerjaya, dan insan yang pernah merasa kewalahan serta kehilangan arah, Nina mencipta SKANDARL sebagai peringatan bahawa mencintai diri sendiri tidak perlu ditonjolkan secara berlebihan—ia boleh bermula dengan sesuatu sekecil sapuan penjagaan bibir.

“SKANDARL adalah hadiah kecil dari hati saya untuk semua wanita yang mungkin terlupa betapa cantiknya diri mereka sebenarnya. Saya juga pernah berada di posisi yang sama. Saya berharap serum ini menjadi langkah kecil dalam membantu kita semua merasa yakin kembali—secara perlahan dan lembut,” kata Nina Iskandar, pelakon selebriti dan pengasas SKANDARL Beauty.

Diperkaya dengan ekstrak tumbuhan berkhasiat, peptida kolagen, Vitamin E, dan perlindungan SPF, Serum Bibir Berwarna SKANDARL Beauty bukan sekadar mempercantikkan — ia melindungi, merawat, menyuburkan dan mengembalikan seri bibir sepanjang hari.

Diformulasikan untuk semua peringkat umur dan gaya hidup, serum bibir ini sangat sesuai untuk mereka yang mengalami masalah bibir kering, pigmentasi, atau kusam—termasuk bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk rutin solekan lengkap, atau yang lebih menggemari penampilan minimal dengan khasiat penjagaan. Ia boleh digunakan pada siang atau malam, memberikan warna lembut yang menyesuaikan dengan pH bibir, sambil memberikan rawatan mendalam. Ini adalah produk penjagaan kulit – bukan sekadar solekan.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Tetamu Kehormat, Yang Mulia Tuan Mohd Aizul Hakim Pehin Dato Haji Suyoi, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Malaysia. Kehadiran beliau membawa makna yang amat besar bagi Nina Iskandar dan pasukannya, melambangkan kebanggaan negara dan sokongan merentasi sempadan untuk usahawan Brunei.

“Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam atas kehadiran dan sokongan mereka hari ini. Ia sangat bermakna buat saya,” ucap Nina dalam ucapan alu-aluannya.

“Kepada penaja-penaja utama kami — Bakeo Events & Entertainment, St Giles Boulevard Hotel, Bakeo Energy Services, Istech Services, Cha Aroi Company dan semua yang telah menyumbang dalam apa jua cara — terima kasih dari lubuk hati saya yang paling dalam.”

KEJAYAAN & HALA TUJU JENAMA:

Pelancaran awal SKANDARL pada bulan Mac telah mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan 80% daripada inventori terjual dalam masa sebulan selepas pelancarannya di Brunei — petunjuk jelas terhadap permintaan pasaran yang kukuh.

Melangkah ke hadapan, SKANDARL sedang merancang untuk mengembangkan rangkaian produk kecantikan asas, dengan pelancaran produk baharu dijadualkan pada akhir tahun 2025. Sebagai jenama Asia Tenggara yang berbangga dengan asal-usulnya, SKANDARL berhasrat untuk memperluaskan kehadirannya di peringkat global.

Serum bibir ini sesuai untuk semua peringkat umur, terutamanya bagi mereka yang mengalami masalah bibir kering, gelap, atau kusam. Ia boleh digunakan pada siang atau malam hari, dengan aplikasi yang mudah namun memberikan penjagaan berkesan dan menyerlahkan kecantikan semula jadi.

Sementara laman web rasmi kami masih dalam pembangunan, pelanggan boleh membeli Serum Bibir Berwarna SKANDARL Beauty melalui platform media sosial rasmi kami. Untuk maklumat lanjut atau untuk membuat pesanan, sila ikuti kami di Instagram @skandarlbeauty & TikTok: @skandarlbeauty.ent atau hubungi kami melalui e-mel di hello@skandarl.com.

Festival Gegar Gempak Raya 2019

Festival Gegar Gempak Raya 2019 bakal dibuka kepada umum dan beroperasi selama 72 jam tanpa henti mulai awal pagi Jumaat , (00:01pagi 24/05/2019 dan dijangka berakhir pada tengah malam Ahad, (26/05/2019) . Festival edisi sulung ini juga bakal mencipta rekod tersendiri didalam ‘Malaysia Book of Record’ dalam usaha untuk memecahkan rekod sedia ada bagi ‘Largest Food-truck Gathering’ dimana sebanyak 150 pengusaha trak makanan akan dikumpulkan. Fiesta trak makanan ini akan berkampung di MAEPS selama 3 hari dan bakal beroperasi dari jam 4 petang sehingga 5 pagi.

Festival Gegar Gempak Raya 2019 yang julung kali dianjurkan oleh Aisy Azka Event Mangement Services bagi memenuhi  permintaan pengunjung yang ingin mencari keperluan untuk sambutan lebaran kelak.Sementara itu konsep yang dibawakan sempena festival ini merupakan konsep beramal sambil berniaga serta mesra ibadah disamping memberi manafaat kepada pengunjung dan peniaga. Pihak penganjur juga tidak lupa untuk menyediakan kemudahan untuk orang ramai menunaikan solat terawikh secara berjemaah sebelum kembali dengan aktiviti beli-belah persiapan lebaran.

Antara kelainan yang bakal diadakan bagi menarik minat pengunjung adalah seperti aktiviti  ‘Kongsi Kebahagiaan’ – program rewang memasak bubur lambuk, menganyam ketupat dan memasak rendang. Selain itu turut diadakan nanti berbuka puasa ‘piknik’  dan acara Jom Sahur  yang dibawakan khas bersama VIP dan penaja makanan; Arabic Kitchen. Selain itu turut diadakan nanti sesi  jualan kilat yang bakal diadakan setiap 4 jam serta program pentas yang bakal di acarakan oleh hos terkenal Vivieanna Abdullah yang juga lebih mesra dengan panggilan Kak Vie.

Seramai 45 selebriti tempatan akan turut serta dalam festival kali ini. Setiap selebriti akan diberikan tapak (booth) yang ditempatkan di setiap barisan bersama usahawan yang lain bagi mempromosikan produk-produk jualan mereka. Antara selebriti yang bakal bersama di sepanjang festival berlansung seperti Achey Bocey, Alif Satar, Angah Raja Lawak, Ariff Aziz, Arja Lee, Ashraf Muslim, Ayu Damit, Badrul Muhayat, Black Hanifah, Danny X-Factor, Deja Moss, Elyana, Erni Zakrie, Ezzaty Abdullah, Herieyanto Hassan, Hazan Scan, Izzue Islam, Kapten Mohd Nor, Maria Tunku Sabri, Maznah Zulkifli, Nabil Ahmad, Nina Fazurina, Nina Iskandar, Nizam Rahman, Noraniza Idris, Putra Amaris, Qazem Nor,Rashid Jaafar, Reyhana, Riezman Khuzaimi, Roslan Syah, Rozita Che Wan, S. Mariam, Shafiqcute, Sharnaaz Ahmad, Siti Fairus, Syamel, Syed Ali, Zain Saidin, Zaiton Sameon, Zazly Baginda, Zoey Rahman, Faye Khusyairi dan Risteena.

Sehingga majlis pelancaran ini, sebanyak 90 peratus dari jumlah keseluruhan tapak jualan telah berjaya dijual. Usahawan yang masih tercari-cari tapak untuk berniaga adalah dipelawa dengan harga tawaran diantara RM2700 hingga RM3500.

CELEBRITY

1. ZAIN SAIDIN
2. ROZITA CHE WAN
3. RASHID JAAFAR
4. KAPTEN MOHD NOR
5. HAZAN SCAN
6. SHARNAAZ AHMAD
7. NINA FAZURINA
8. SYED ALI
9. ZAZLY BAGINDA
10. HARIEYANTO HASSAN
11. MAZNAH ZULKIFLI
12. QAZEM NOR
13. SITI FAIRUS
14. S.MARIAM
15. NINA ISKANDAR
16. AYU DAMIT
17. REYHANA
18. DEJA MOSS
20. IZZUE ISLAM
21. ASHRAF MUSLIM
22. RIEZMAN KHUZAIMI
23. ERNIE ZAKRIE
24. SYAMEL
25. NORANIZA IDRIS
26. SHAFIQCUTE
27. ZULIN AZIZ
28. NABIL
29. ALIF SATAR
30. MARIA TUNKU SABRI
31. EZZATY ABDULLAH
32. PUTRA AMARIS
33. ELYANA
34. BADRUL MUHAYAT
35. ARIFF AZIZ
36. ACHEY
37. ZAITON SAMEON
38. NIZAM RAHMAN
39.ARJA LEE
40. DANNY X-FACTOR
41. BLACK HANIFAH
42. ZOEY RAHMAN
43. ROSLAN SYAH

Untuk sebarang pertanyaan serta maklumat lanjut, sila hubungi:

Encik Anuar Mohd Azmi

Pengarah Urusan,

Aisy Azka Event Management Services

Tel: 03-80517500 / 014- 3208557

Slot Akasia TV3 – Jika Itu Takdirku

Jika Itu Takdirku

Drama bersiri yang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 berjaya mencipta fenomena dengan meraih kadar tontonan mencecah 3 juta penonton dan juga hangat diperkatakan di laman sosial sepanjang siaran. Selepas ‘Ariana Rose’ yang melabuhkan tirai pada 13 Februari ini, nantikan drama bersiri terbaru yang berjudul JIKA ITU TAKDIRKU lakonan Intan Ladyana, Shah Iskandar, Shukri Yahaya, Nina Iskandar, Arash Mohd, Jasmin Hamid, Azwan Kombos bermula 17 Februari 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam.

Drama bersiri 24 episod terbitan MIG Production Sdn Bhd ini diarahkan oleh Eoon Shuhaini dengan nukilan skrip oleh panel MIG. JIKA ITU TAKDIRKU mengisahkan tentang Hakimi (Shah Iskandar) yang disahkan menghidap amnesia selepas kemalangan jalan raya pada enam tahun yang lepas. Hakimi sangat rapat dengan Dr. Hamza (Arash Mohd) yang merawatnya. Suatu hari, apabila Dr Hamza menjemput Hakimi makan malam di rumahnya, Hakimi tertarik dengan gambar anak Dr Hamza iaitu Umairah (Intan Ladyana) yang juga seorang doktor.

Walaupun Hakimi tidak mempunyai sebarang ingatan tentang Umairah, namun dia telah jatuh cinta dan bertindak untuk melamarnya sebagai isteri. Dr Hamza dan isterinya, Puan Zainah menerima baik lamaran Hakimi. Umairah bingung dengan tindakan Hakimi kerana hakikatnya mereka berdua mempunyai kisah silam yang telah meninggalkan sejarah hitam dalam hidup Umairah. Umairah tidak pasti jika Hakimi hanya mahu mempermainkannya atau mempunyai muslihat lain. Kisah silam itu juga telah menyebabkan Umairah menjadi seorang yang pendiam dan pintu hatinya sukar terbuka untuk mempercayai cinta lagi.

Akhirnya, Umairah bersetuju kerana dia masih menyayangi Hakimi dan mereka telah ditakdirkan bersama selepas musibah yang terjadi pada 7 tahun lepas. Umairah sering terganggu dengan kenangan pahit dan menjauhkan diri daripada Hakimi. Hakimi tidak pernah berputus asa untuk memikat hati Umairah dan memberi ruang kepada Umairah untuk menyesuaikan diri dan mencintainya seperti pasangan suami isterinya.

Hakimi terserempak dengan Azri (Shukri Yahaya), seorang kawan lama yang cuba memberitahu hubungan Hakimi dan Umairah pada masa lalu. Hakimi bertanya kepada Umairah. Umairah enggan memberikan sebarang jawapan sehingga Hakimi mula menggeledah barang-barang lama Umairah. Umairah bengang dengan tindakan Hakimi dan dia telah bertindak keluar dari rumah apabila Hakimi memaksanya menceritakan hal yang sebenar.

Hakimi merayu supaya Umairah memaafkannya dan memberikan peluang untuk menebus kembali penderitaan yang dialami oleh Umairah. Hakimi juga meminta bantuan Umairah supaya mengingatkan kisah silam mereka dan memulakan hidup baharu dengannya. Umairah terlalu takut untuk berterus terang kerana bimbang Hakimi akan berubah fikiran selepas mengetahui hal yang sebenar. Selepas melihat kesungguhan Hakimi, akhirnya Umairah mengalah dan bersetuju untuk memulakan hidup baharu bersama-sama Hakimi.

Selepas 2 bulan, Hakimi gembira apabila Umairah telah mengandung. Bekas teman wanita Hakimi, Qistina (Nina Iskandar) kembali menagih cinta dan berusaha untuk memerangkap Hakimi. Kali ini, hati Umairah dilukai lagi dan dia menjadi pasrah dengan Hakimi yang kembali dengan perangai lama yang suka berpoya-poya. Masih ada peluang buat Hakimi dan Umairah?

Segalanya bakal terjawab dalam JIKA ITU TAKDIRKU yang akan disiarkan mulai 17 Februari 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 7.00 malam di TV3. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang drama tersebut, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.