Tag Archives: Normah Damanhuri

Filem SUAMIKU, ENCIK PERFECT 10

Stills_000037

Bagi membuka tirai tahun 2015, Astro Shaw dan Global Station bakal menampilkan sebuah filem terbaru berjudul ‘SUAMIKU, ENCIK PERFECT 10!’ (“SEP10”) yang akan menemui para penonton di layar perak pada 22 Januari 2015. Satu majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media diadakan di Golden Screen Cinema (GSC), Pavilion, Kuala Lumpur yang telah dihadiri oleh ramai penggiat industri perfileman tanah air selain selebriti terkenal.

Filem yang diadaptasi dari novel ‘Suamiku, Encik Perfect 10!’ ini telah mendapat sentuhan dari pengarah berkaliber, Mohamed Feroz Abdul Kader dan nukilan skripnya pula oleh PGR’s Team, Sako Jr dan Chinta Nadeesha. Kemunculan filem bergenre romantik drama ini menggabungkan barisan pelakon mantap seperti Aaron Aziz, Lisa Surihani, Syazwan Zulkifly, Raja Ilya, Normah Damanhuri, Jasmin Hamid dan Jehan Miskin.

Stills_000072

Filem ini merupakan gandingan kedua Aaron Aziz dan Lisa Surihani, selepas filem blokbuster, “Ombak Rindu” yang ditayangkan pada tahun 2011 dan juga menamatkan penantian buat peminat Aaron Aziz yang merindukan lakonan beliau dalam filem bergenre romantis di layar perak.

Padat dengan lakonan mantap dan dendangan lagu yang cukup merdu, filem ini dijangka dapat menghilangkan dahaga penonton tempatan yang merindukan filem romantis lagi membelai jiwa. Sebuah lagu gandingan hebat Dato’ Siti Nurhaliza dan penyanyi dari seberang, Cakra Khan bertajuk “Seluruh Cinta” telah dipilih menjadi lagu tema filem SEP10. Menariknya lagi, kedua-duanya sanggup hadir memeriahkan Malam Tayangan Perdana bagi menghiburkan tetamu undangan dengan lagu terbaru mereka ini. Selain itu, lagu ciptaan Aepul Roza dan nyanyian Drama Band, “Cubaan” turut mewarnai filem romantis ini sebagai latar muzik bagi beberapa babak.

Stills_000063

Sinopsis Pendek

Aleeya Azmeen (Lisa Surihani) dan Zarief Danial (Aaron Aziz) bertemu di dalam kapal terbang ketika dalam perjalanan pulang dari London ke Malaysia. Pertolongan ikhlas Zarief bagi meringankan beban Aleeya telah membibitkan rasa cinta di antara mereka berdua. Keegoan Aleeya menghalang cinta Zarief untuk terus berputik walaupun mereka ditakdirkan bersama. Mungkinkah kemesraan mereka akan berkekalan selamanya atau bersifat sementara?

Sinopsis Lengkap

Kisah Suamiku, Encik Perfect 10! bermula apabila satu pertemuan yang tidak diduga di antara seorang pelajar perubatan iaitu Aleeya Azmeen dan Zarief Danial, seorang ahli perniagaan ketika mereka sama-sama dalam penerbangan pulang dari Heathrow, London ke KLIA, Malaysia. Pertemuan itu akhirnya membawa mereka menjadi pasangan suami isteri. Namun, perkahwinan itu hanya lakonan semata-mata bagi mengaburi mata keluarga Aleeya dari mengetahui tentang kisah sebenar yang disimpannya.

Konflik Cinta Imran Dalam ‘Kasih Berbisik’

Kasih Berbisik (1)

Sambutan ulang tahun TV3 yang ke 30 diteruskan lagi dengan siaran drama eksklusif ‘Kasih Berbisik’. Lebih unik, drama bersiri 13 episod ini merupakan kerjasama antara TV3, Primeworks Studio dan Media Corp. (Singapura) yang menggandingkan pelakon – pelakon dari 3 negara iaitu Malaysia (Remy Ishak, Keith Foo, Tasha Shilla, Normah Damanhuri), Singapura (Nurul Aini, Nick Mikhail) dan Indonesia (Demmy Febriana) buat julung kalinya.

Berlatarkan kehijauan Malaysia, kota metropolitan Singapura, dan Bali yang eksotik, Kasih Berbisik yang diarahkan oleh Jamal Khan akan disiarkan bermula 1 Oktober 2014 menerusi TV3 dan Media Corp. Di TV3, siri drama ini disiarkan pada setiap hari Rabu pukul 9.00 malam manakala di Media Corp. pula disiarkan pada 9.30 malam.

Poster Kasih Berbisik

Kisahnya bermula di Bali, Indonesia apabila Imran (Remy Ishak), seorang arkitek mengikut kawan baiknya, Andi (Nick Mikhail) ke Bali untuk mencari idea baharu serta peluang kerjasama di sana. Andi, seorang juru gambar profesional tertarik dengan keindahan seni pulau itu termasuk wanita dan seni tariannya. Andi obses dengan kelembutan dan gemalai tari Sulastri (Demmy Febriana). Pertama kali melihat Sulastri, Imran juga terkesima dengan keindahan dan kehalusan seni tari yang dipersembahkan.

Ketika itu, Sulastri berhadapan dengan konflik cinta apabila kekasihnya, Dharma (Keith Foo) didakwa atas tuduhan jenayah rasuah dan bakal dipenjarakan. Dharma berasa kesal dan berjanji akan berubah sebaik dibebaskan. Dia juga bersumpah akan kembali mendapatkan cinta Sulastri.

Kasih Berbisik (5)

Imran dan Andi mula rapat dengan Sulastri. Cinta telah hadir antara Imran dan Sulastri. Sebenarnya Imran telah berkahwin dengan Nora (Nurul Aini) di Singapura. Mereka berdua bahagia walaupun tidak dikurniakan anak. Imran tidak mahu mengkhianati Nora tetapi dia tidak dapat melupakan Sulastri. Akhirnya, Imran berkahwin dengan Sulastri di Bali tanpa memberitahu Nora.

5 tahun telah berlalu. Imran menyimpan rapi rahsia daripada Nora dan Sulastri. Kehadiran Eka, puteri mereka semakin mengikat kasih sayang antara Imran dan Sulastri. Malangnya, kematian tragis Sulastri telah mencetuskan huru hara dalam hidup Imran. Imran tertekan dan membawa Eka pulang ke Singapura.

Kasih Berbisik (2)

Nora kecewa dengan penjelasan Imran dan tidak menyangka Imran akan mengkhianatinya. Nora mula menjauhkan diri dan berubah menjadi seorang yang panas baran. Imran pula menjadi murung selepas kematian Sulastri. Lebih merumitkan keadaan lagi apabila Imran terlibat dalam kemalangan dan mengalami trauma. Imran telah dibawa balik ke Perlis oleh ibunya, Mak Jah (Normah Damanhuri) untuk merawat. Nora hanya akur kerana dia juga mahu masa untuk bersendiri.

Di Perlis, sepupu Imran, Tina (Tasha Shilla) yang belajar dalam jurusan perubatan mengambil kesempatan ini untuk membuktikan cintanya kepada Imran. Bekas teman lelaki Sulastri, Dharma yang sudah dibebaskan, berdendam dengan Imran dan akan melakukan apa sahaja untuk memusnahkan hidupnya. Andi pula bertemu dengan Lily yang wajahnya persis Sulastri. Apakah misteri kematian Sulastri bakal terungkai? Apakah kesudahan bagi kemelut rumah tangga Imran dan Nora?

Kasih Berbisik (4)

Saksikan Kasih Berbisik pada setiap hari Rabu pukul 9.00 malam bermula 1 Oktober ini di TV3. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.

Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan drama ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.