Tag Archives: Rahmad Mega

Festival Muzik Vit’s – Konsert Telan Kaset 90’an

Buat julung kalinya, jenama mi segera popular Malaysia, Vit’s, berganding bahu dengan Persatuan Karyawan Malaysia untuk menganjurkan sebuah acara yang menggemparkan industri hiburan tanah air. Festival Muzik Vit’s yang bertajuk “Konsert Telan Kaset 90’an” bakal berlangsung pada 12 dan 13 Oktober 2024 di Padang Timur, Petaling Jaya. Acara ini menjanjikan pengalaman unik yang menggabungkan nostalgia muzik era 90-an dengan pesta makanan berasaskan mi.

Pengunjung akan dihiburkan oleh persembahan 17 penyanyi terkenal era 90-an, termasuk nama-nama besar seperti Rahmad Mega, Kool, Ady Wow, dan ramai lagi. Festival ini akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 11:30 malam, memenuhi hari dengan pelbagai aktiviti menarik. Selain persembahan muzik, lebih 80 gerai makanan akan menyajikan pelbagai hidangan berasaskan mi, menjadikannya syurga bagi peminat makanan.

Tujuan utama acara ini bukan sekadar hiburan semata-mata. Ia juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu artis senior dan karyawan yang memerlukan, selaras dengan misi Persatuan Karyawan Malaysia. Tiket berharga RM45 seorang boleh dibeli melalui laman web Ticket2u.com.my bermula 16 Ogos 2024.

Festival ini juga menawarkan pelbagai aktiviti tambahan seperti pertandingan karaoke dan hadiah istimewa untuk pengunjung yang berpakaian mengikut konsep 90-an. Dengan sokongan pelbagai penaja termasuk MBPJ, Storm Truperz Campers, Suria FM, dan banyak lagi, Festival Muzik Vit’s menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi pengunjung dari semua peringkat umur.

Acara ini bukan sahaja meraikan muzik dan makanan, tetapi juga menjadi platform untuk menghargai sumbangan artis era 90-an sambil membantu mereka yang memerlukan dalam industri. Ia merupakan gabungan sempurna antara nostalgia, hiburan, dan amal, menjadikannya acara yang tidak boleh dilepaskan oleh peminat muzik dan makanan di Malaysia.

Jelajah 90 Suria Memang Cantik KAK ELL bakal gegarkan Aman Central, Alor Setar Kedah Sabtu Ini

Persembahan pembukaan daripada pemenang pertandingan Busker 90 Suria, kumpulan ‘The Bujangs’ telah mencuri tumpuan lebih 3,000 pengunjung Jelajah 90 Suria Memang Cantik KAK ELL yang diadakan di Kuantan City Mall, Pahang baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, persembahan dari barisan artis popular seperti Ella, Hatta Junction, Liza Hanim, Amelina, Ara Johari, Yonnyboii, Insomniacks, Amir Masdi, Wawa Shazwa, Ahmad Syafiq, Farra Ahmad, Hakim Khan dan Aiman Zaidi turut mendapat tepukan gemuruh daripada para peminat yang berada di lokasi.

Menurut pengurus besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, beliau meluahkan rasa gembira atas sambutan luar biasa daripada warga kuantan buat Jelajah 90 Suria Memang Cantik KAK ELL sekaligus mengharapkan sambutan yang hebat berterusan di lokasi jelajah seterusnya di Aman Central, Alor Setar Kedah pada 13 Ogos (Sabtu) ini.

“Untuk lokasi seterusnya di Aman Central, Alor Setar Kedah pada 13 Ogos ini (sabtu) tentunya kami berharap dapat menghiburkan peminat dan pendengar di utara tanah air dengan menampilkan barisan penyampai Suria serta artis popular seperti Poey Sting, Rahmad Mega, Alim Kris, Safura ,Haqiem Rusli, Afieq Shazwan, Tajul , Dolla, Yonnyboii, Wawa Shazwa, Ahmad Syafiq, Farra Ahmad, Hakim Khan, Syeera Aziz dan Aiman Zaidi” katanya. 

Pengunjung juga berpeluang menangi hadiah cabutan bertuah seperti  Motosikal Modenas MR 3, Basikal lipat Dahon Dream 6, Set barangan elektrik juga Pakej percutian 2 Hari 1 Malam tajaan Majoriti (Refleksi Tanpa Prejudis) dan langganan Majoriti selama setahun!  Caranya mudah sahaja dengan hanya membeli ‘Barangan Eksklusif Suria’ yang dijual di Booth ‘KEDAI SURIA’ sepanjang konsert berlangsung dengan minima pembelian sebanyak RM 50. 

Juga jangan lepaskan peluang untuk beramah mesra dan memenangi wang tunai yang lumayan dengan menyertai cabutan bertuah bersama KAK ELL! 

HIJRAHKAN LAGUKU, JOURNEY BACK TO HIM

TV AlHijrah memperkukuhkan kedudukan stesennya sebagai agen penyebar dakwah di platform penyiaran dengan membawakan sebuah program pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti TV berjudul Hijrahkan Laguku.Pertaruhan berani ini dibuat setelah melihat kepada keperluan metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Keluarga Malaysia, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak.

Hijrahkan Laguku adalah rancangan pertandingan hiburan Islamik yang menampilkan gabungan lapan orang penyanyi lama-baru dalam industri hiburan tanah air yang akan menyampaikan mesej dakwah menerusi lirik lagu yang digubah hingga akhirnya salah seorang daripada mereka bergelar juara pertandingan.Bercerita mengenai buah tangan terbaru TV AlHijrah ini, Namanzee Harris selaku Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah berkata Hijrahkan Laguku bakal menjadi fenomena yang mampu membentuk masyarakat serta mencetuskan natijah untuk pembangunan jiwa ummah.

“Simbiosis kukuh di antara manusia dan seni muzik tidak dapat dinafikan. Manusia secara fitrah mudah tertarik kepada bunyi-bunyian yang menyenangkan, lirik lagu yang mempesona serta seni persembahan yang memberi kedamaian.

“Rancangan Hijrahkan Laguku mempunyai kekuatan untuk memenuhi kehendak jiwa manusia yang sukakan kepada muzik. Kita tambah elemen hiburan Islamik serta wasilah dakwah kontemporari yang bertujuan menghubungkan penonton setia stesen ini dengan Allah SWT.

Hijrahkan Laguku akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 20 November akan datang.Mengangkat tema Journey Back To Him, Hijrahkan Laguku akan disertai oleh Dato Nash Lefthanded, Iwan Shahman, Mark Adam, Pangeran Adam (PG Adam), Zaf VE, Shahir Zawawi, Zack Kool dan Rahmad Mega. Pemilihan artis yang menyertai pertandingan reality TV ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria. Antara yang utama adalah kisah penghijrahan mereka yang unik serta mampu mendorong penonton untuk menjadi khalifah Allah yang terbaik di muka bumi ini. Turut diambil kira adalah bakat, aura, karisma serta kekuatan mereka dalam bidang nyanyian.

Maklumat lanjut serta perkembangan terkini rancangan Hijrahkan Laguku boleh didapati di laman sesawang TV AlHijrah, laman media sosial TV AlHijrah, portal HBIT.my serta portal Alhijrahnews.com