Tag Archives: Raja Ilya

Filem SUAMIKU, ENCIK PERFECT 10

Stills_000037

Bagi membuka tirai tahun 2015, Astro Shaw dan Global Station bakal menampilkan sebuah filem terbaru berjudul ‘SUAMIKU, ENCIK PERFECT 10!’ (“SEP10”) yang akan menemui para penonton di layar perak pada 22 Januari 2015. Satu majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media diadakan di Golden Screen Cinema (GSC), Pavilion, Kuala Lumpur yang telah dihadiri oleh ramai penggiat industri perfileman tanah air selain selebriti terkenal.

Filem yang diadaptasi dari novel ‘Suamiku, Encik Perfect 10!’ ini telah mendapat sentuhan dari pengarah berkaliber, Mohamed Feroz Abdul Kader dan nukilan skripnya pula oleh PGR’s Team, Sako Jr dan Chinta Nadeesha. Kemunculan filem bergenre romantik drama ini menggabungkan barisan pelakon mantap seperti Aaron Aziz, Lisa Surihani, Syazwan Zulkifly, Raja Ilya, Normah Damanhuri, Jasmin Hamid dan Jehan Miskin.

Stills_000072

Filem ini merupakan gandingan kedua Aaron Aziz dan Lisa Surihani, selepas filem blokbuster, “Ombak Rindu” yang ditayangkan pada tahun 2011 dan juga menamatkan penantian buat peminat Aaron Aziz yang merindukan lakonan beliau dalam filem bergenre romantis di layar perak.

Padat dengan lakonan mantap dan dendangan lagu yang cukup merdu, filem ini dijangka dapat menghilangkan dahaga penonton tempatan yang merindukan filem romantis lagi membelai jiwa. Sebuah lagu gandingan hebat Dato’ Siti Nurhaliza dan penyanyi dari seberang, Cakra Khan bertajuk “Seluruh Cinta” telah dipilih menjadi lagu tema filem SEP10. Menariknya lagi, kedua-duanya sanggup hadir memeriahkan Malam Tayangan Perdana bagi menghiburkan tetamu undangan dengan lagu terbaru mereka ini. Selain itu, lagu ciptaan Aepul Roza dan nyanyian Drama Band, “Cubaan” turut mewarnai filem romantis ini sebagai latar muzik bagi beberapa babak.

Stills_000063

Sinopsis Pendek

Aleeya Azmeen (Lisa Surihani) dan Zarief Danial (Aaron Aziz) bertemu di dalam kapal terbang ketika dalam perjalanan pulang dari London ke Malaysia. Pertolongan ikhlas Zarief bagi meringankan beban Aleeya telah membibitkan rasa cinta di antara mereka berdua. Keegoan Aleeya menghalang cinta Zarief untuk terus berputik walaupun mereka ditakdirkan bersama. Mungkinkah kemesraan mereka akan berkekalan selamanya atau bersifat sementara?

Sinopsis Lengkap

Kisah Suamiku, Encik Perfect 10! bermula apabila satu pertemuan yang tidak diduga di antara seorang pelajar perubatan iaitu Aleeya Azmeen dan Zarief Danial, seorang ahli perniagaan ketika mereka sama-sama dalam penerbangan pulang dari Heathrow, London ke KLIA, Malaysia. Pertemuan itu akhirnya membawa mereka menjadi pasangan suami isteri. Namun, perkahwinan itu hanya lakonan semata-mata bagi mengaburi mata keluarga Aleeya dari mengetahui tentang kisah sebenar yang disimpannya.

Drama ‘SELUDUP’ Di Astro Prima Mulai 4 Disember Ini

 

Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn Bhd bersama barisan pelakon drama siri SELUDUP

Ditunjangi pelakon-pelakon hebat seperti Pekin Ibrahim, Tiz Zaqyah, Nam Ron, Raja Ilya dan Syafie Naswip, drama ‘SELUDUP’ yang dinanti-nantikan oleh peminat drama televisyen tempatan dijadualkan untuk menemui penonton pada setiap hari Khamis, jam 9.30 malam di Astro Prima bermula 4 Disember dan di saluran Maya HD pada setiap Sabtu jam 6.00 petang bermula 6 Disember 2014.

Dengan formula baru dan mesej berat tentang gejala penyeludupan haram di Malaysia, Jehan Miskin sebagai produser, pengarah dan pelakon telah berjaya menghasilkan satu naskhah yang segar dan tidak pernah ditonton sebelum ini di kaca televisyen. Drama 13 episod ini juga pasti tambah menarik dengan garapan kisah cinta antara watak dua pelakon utamanya, Pekin dan Tiz.

“Astro sentiasa prihatin dengan kehendak penonton yang dahagakan hiburan berkualiti tinggi pada setiap masa dan ‘SELUDUP’ mempunyai kesemua formula yang kami anggap sesuai dan menarik untuk tatapan peminat setia drama tempatan. Saya percaya naskhah terbaru Jehan ini bakal diminati ramai dan mesej yang ditampilkan juga akan berjaya disampaikan dengan baik kepada masyarakat Malaysia” kata Cik Farah Zainul, Pengurus Saluran Astro Prima di tayangan perdana drama tersebut di TGV One Utama, Kuala Lumpur.

SeludupKeyartFA_Low Res

Ia berkisar tentang watak bernama Amran (Pekin) yang merupakan seorang nelayan dan usahawan muda yang berjaya di Teluk Permata, sebuah perkampungan nelayan di Pantai Barat Malaysia. Amran mendapat tahu bahawa sekumpulan penyeludup diketuai oleh Tam (Nam Ron) dan dibantu oleh adik perempuannya, Rina (Raja Ilya) sedang mengupah nelayan kampung untuk menyeludup minuman keras, rokok, dan manusia ke dalam negara. Walau berdepan pelbagai jenis bahaya dan mengancam bukan sahaja dirinya malah keluarga dan Yasmin (Tiz Zaqyah), teman wanitanya, dia bertekad untuk menghalang gejala ini, dan menyelamatkan kampungnya sebelum lebih ramai rakan-rakannya dan penduduk kampung menjadi mangsa.

Menurut Jehan, “SELUDUP berniat bukan sahaja untuk menghiburkan tetapi juga memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang gejala penyeludupan khususnya rokok seludup serta kesan negatifnya terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Banyak sungguh cabaran yang saya hadapi untuk menghasilkan drama ini namun berkat kesungguhan kesemua pelakon dan krew produksi, kami berjaya melakukannya. Saya percaya drama ini akan membuka lembaran baru dalam industri drama televisyen negara. Saya berharap rakyat Malaysia akan menonton drama SELUDUP ini dan terus menyokong karya-karya tempatan yang bermutu tinggi”.

Tayangan perdana tersebut dihadiri para pelakon yang kesemuanya diriaskan di dalam persalinan Sacoor Brothers, krew produksi, wakil-wakil daripada Astro, penaja, media dan pihak-pihak yang telah terlibat sama ada secara langsung atau tidak di dalam pembikinan drama tersebut. ‘Seludup’ dilancarkan oleh Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn. Bhd.

Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Seludup’, sila layari laman FB Seludup di www.facebook.com/seludup

 

Afieqah Dan Andika Pemenang Peraduan #masukdramaseludup

Pemenang-pemenang #masukdramaseludup. Dari kiri- Mohd Andika bin Abdul Halim, 25 dan Nur Afieqah binti Zulkarnain, 20

Pencarian bakat baru drama ‘Seludup’ telahpun berakhir dengan pengumuman dua pemenang peraduan #masukdramaseludup yang dibuat hari ini.  Mohd Andika bin Abdul Halim (25 tahun) dan Nur Afieqah binti Zulkarnain (20 tahun) yang masing-masing berasal dari Johor dan Kuala Lumpur telahpun berjaya mengungguli pertandingan tersebut dan akan berpeluang berganding dengan nama-nama besar industri hiburan negara seperti Pekin Ibrahim, Tiz Zaqyah, Namron, Syafie Naswip dan Raja Ilya. Turut membintangi drama bersiri 13 episod ini adalah Jehan Miskin, yang juga bertindak sebagai penerbit eksekutif dan pengarah.

Dilancarkan oleh Astro Malaysia dan Mastermind Group Sdn. Bhd., drama sarat aksi dan cinta ini berkisar tentang kegiatan perdagangan barangan haram seperti rokok seludup, dadah dan pemerdagangan manusia yang menjejaskan pendapatan, keselamatan dan kualiti hidup masyarakat Malaysia. Produksi ini telah memilih daerah Pantai Pengkalan Balak di Masjid Tanah, Melaka sebagai lokasi dan kini di dalam fasa kedua penggambaran.

Menurut Jehan, “Pencarian bakat ini dimulakan sejak 25 Jun 2014 dan ia telah menerima sambutan di luar jangkaan dengan kiriman lebih 130 penyertaan melalui video yang dimuat turun di laman Facebook ‘Seludup’.  Dua pemenang yang dipilih ini adalah yang terbaik di antara mereka”.

“Berdasarkan karekter mereka, saya telah menulis dua watak sampingan di dalam ‘Seludup’ yang bakal dilakonkan oleh dua bakat baru ini. Tujuan kami bukan sahaja untuk mencipta kelainan dan memberikan lebih impak kepada ‘Seludup’, tetapi juga untuk memeriahkan lagi suasana industri hiburan tanahair” ulas Jehan lagi.

Mohd Andika yang merupakan seorang pekerja restoran berkata “Saya amat berterima kasih kepada para juri yang telah memilih saya dan saya percaya saingan adalah sangat sengit. Peluang ini akan saya gunakan sepenuhnya untuk mencapai impian saya menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya”. Perasaan gembiranya turut dikongsi Nur Afieqah, seorang pelajar yang menyifatkan peraduan ini sebagai usaha yang sangat unik untuk mendedahkan bakat baru dengan realiti sebenar kerjaya lakonan.

Selain peluang keemasan untuk berlakon di dalam drama ‘Seludup’, pemenang-pemenang juga akan menerima hadiah bernilai sehingga RM15,000.

Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Seludup’ dan peraduan #masukdramaseludup termasuk terma dan syarat, sila layari laman FB Seludup di www.facebook.com/seludup

‘SELUDUP’ Paparkan Isu Perdagangan Haram Barangan

DSC09606

Astro Prima (Saluran 105) dan Mastermind Group Sdn Bhd memperkenalkan drama bersiri tiga belas episod, Seludup, yang dijangka akan ditayangkan menjelang hujung tahun ini. Tayangan serentak HD juga boleh ditonton di Astro Maya HD (Saluran 135).

Drama penuh aksi yang bakal memulakan penggambaran pada pertengahan Julai ini mendalami isu perdagangan haram barangan seludup di negara ini. Siri ini adalah hasil idea seorang ikon serba boleh industri televisyen, Jehan Miskin, yang merupakan Penerbit Eksekutif Mastermind Group Sdn Bhd.

10338516_474981792605323_1755390823372530956_o

Seludup diilhamkan daripada kesedaran yang semakin meningkat di kalangan masyarakat mengenai perdagangan haram barangan seludup, tiruan dan cetak rompak yang telah menjadi isu sosio-ekonomi di negara ini dan menjejaskan pendapatan, keselamatan dan kualiti hidup masyarakat. Drama ini berlatar belakangkan situasi ekonomi semasa di mana naratifnya menceritakan tentang kesungguhan seorang lelaki biasa dalam mencegah jenayah daripada mengancam keamanan kampungnya. Skripnya berkisar tentang protagonis iaitu Amran – seorang lelaki muda daripada sebuah perkampungan nelayan kecil dan usahanya menentang sindiket penyeludupan yang menggunakan nelayan di kampung tersebut untuk menyeludup barangan melalui perairannya.

Produksi Seludup ini dibarisi para pelakon terkenal dengan peneraju utamanya, Pekin Ibrahim dan Tiz Zaqyah memegang peranan sebagai Amran dan Yasmin, menghidupkan watak-watak yang mencabar tersebut. Pelakon-pelakon lain yang diumumkan pada hari Rabu termasuklah Namron, Raja Ilya dan Syafie Naswip. Jehan Miskin yang merupakan penerbit drama ini turut memainkan peranan sebagai pelakon pembantu.

10294964_474982289271940_6395933005115740673_o

“Saya berterima kasih kepada Astro kerana bersetuju membawakan konsep baru ini ke dalam produksi TV tempatan. Di Mastermind Group, kami komited dalam membawakan kandungan berkualiti yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mempunyai mesej-mesej sosial yang berguna buat para penonton. Dengan penerbitan Seludup, kami lebih bersungguh-sungguh dalam menyampaikan hiburan di samping menjalankan tanggungjawab sosial dengan membangkitkan isu-isu sosio-ekonomi serius yang telah menjadi kebimbangan di negara ini,” kata Jehan Miskin.

Laporan-laporan terbaru di media menunjukkan bahawa peningkatan dalam permintaan pengguna terhadap barangan tiruan telah menjadikan perniagaan ini sangat menguntungkan. Walaupun ramai pengguna yang menyatakan mereka membeli barangan haram kerana kurang kemampuan, kebanyakannya tidak menyedari bahawa mereka turut terlibat di dalam aktiviti jenayah yang boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat dan ekonomi. Gambaran yang lebih besar biasanya tidak disedari pengguna yang membeli barangan tersebut di pasaran. Permulaan siri ini merupakan usaha yang serius dalam menekankan keburukan pasaran perdagangan haram di semua peringkat supaya pengguna boleh membuat keputusan yang lebih baik bagi diri masing-masing.

Step-by-Step Facebook Contest copy

Untuk mendekati dan mewujudkan rasa teruja di kalangan penonton bagi siri drama akan datang ini, Mastermind Production turut mengumumkan pelancaran peraduan #masukdramaseludup untuk memberikan peluang sekali seumur hidup kepada seorang pemenang lelaki dan seorang pemenang wanita untuk tampil di dalam sebuah drama, di samping beberapa hadiah menarik lain bernilai hingga RM6,000 setiap satu. Peraduan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, dari 18 hingga 35 tahun. “Disebabkan drama ini menampilkan konsep yang baru kepada penonton, kami ingin membawakan cara yang berlainan untuk berhubung dengan penonton sebelum ia ditayangkan lagi. Peraduan ini sangat mudah – peserta hanya perlu menekan ‘like’ pada laman Facebook kami, muat naik video terbaik mereka membaca skrip pendek, kongsi video tersebut bersama rakan-rakan mereka untuk mengumpul ‘like’. Lebih banyak ‘like’ yang mereka dapatkan, lebih tinggi peluang mereka untuk memenangi pengalaman ini,” jelas Jehan.

10405640_476694002434102_6104037888248866780_n

Untuk maklumat lanjut mengenai peraduan #masukdramaseludup, sila layari dan daftar penyertaan di laman FB Seludup: www.facebook.com/seludup

Video Sidang Media – http://youtu.be/NOd-D66pmNU

Facebook – https://www.facebook.com/Seludup

Instagram – http://instagram.com/seludup

Uji Bakat –  Bit.ly/Seludup