Tag Archives: Ryzal Jaafar

RM 30,000 Milik ZULIN AZIZ Dalam Perang Bibir

Menampilkan 24 artis popular Malaysia sebagai contender yang menggayakan semula lagu-lagu hits dari carta lagu tempatan dan antarabangsa, program hiburan popular TV9, Perang Bibir telah meraikan Zulin Aziz sebagai juara di episod akhir yang disiarkan pada 18 Mei 2017.

Dikenali dengan perwatakannya yang lucu, ceria dan happy go lucky, Zulin Aziz telah membawa pulang sebuah trofi, hadiah wang tunai sebanyak RM 30,000 dan baucar penginapan 3 hari 2 malam tajaan Swiss Garden Beach Resort Kuantan.

Perang Bibir Final menyaksikan persaingan sengit antara Zulin Aziz, Neera Azizi dan Ryzal Jaafar. Masing – masing mempunyai kekuatan dan tarikan tersendiri, persembahan lip sync mereka sangat menghiburkan sepanjang satu jam program bersiaran.

Zulin Aziz, Neera Azizi dan Ryzal Jaafar telah diberikan tiga cabaran iaitu persembahan lip sync secara berduet dengan artis pilihan, lip game ‘Whisper Challenge’ dan persembahan lip sync secara solo dengan lagu pilihan sendiri. Para penonton juga dihiburkan dengan persembahan istimewa ‘Yellow Claw” oleh Raja Lip Sync, Ucop dan ‘Bintang Hati’ daripada Amy Mastura.

Persembahan mereka ditentukan oleh penilaian markah daripada juri jemputan iaitu Amy Mastura dan Raja Lip Sync, Ucop sebanyak 50% dan 50% daripada sorakan atau jeritan penonton studio. Dalam segmen pertama, Zulin Aziz menampilkan Ain Sufia dalam persembahan lagu Ayda Jebat ‘Nakal, Nakal, Nakal’. Walaupun dikerumuni kumpulan penari, Zulin Aziz masih berjaya menjadi tumpuan mata penonton dan menerima komen positif daripada Amy Mastura dan Ucop.

Neera Azizi yang diberikan lagu Cindai telah memilih Mustaqim Bahadon sebagai pasangan duet dalam persembahannya. Neera Azizi perlu lebih teliti dalam gerakan bibir dan juga menjaga ekspresi muka semasa nada tinggi, malah dia juga harus berinteraksi dengan penonton.

Ryzal Jaafar telah beraksi dengan artis jemputannya, Syazwan Zulkifly menerusi lagu rancak, ‘Party Rock Anthem’. Amy Mastura memberikan komen bahawa Ryzal perlu menonjol dalam kalangan penari dan bukan menjadi bayang. Ucop turut mengingatkan Ryzal untuk mengutamakan lip sync kerana perkara itu yang menjadi penentuan dalam pertandingan ini. Zulin Aziz telah mendahului sebanyak 82 markah manakala Neera (73 markah) dan Ryzal (67 markah) di segmen pertama itu.

Seterusnya, Zulin, Neera dan Ryzal perlu meneka perkataan yang dibisik oleh Amy Mastura dan Ucop dengan memakai fon kepala yang telah dipasang muzik yang kuat dalam lip game – Whisper Challenge. Neera telah disingkir awal dan gagal meraih sebarang markah. Sekali lagi, Zulin menjadi pemenang dan meraih 25 markah manakala Ryzal mendapat 10 markah dalam segmen kedua itu.

Raja Lip Sync Ucop dan Amy Mastura tampil sebagai juri

Para penonton terus dihiburkan dengan persembahan lip sync solo daripada Zulin Aziz, Neera Azizi dan Ryzal Jaafar di segmen terakhir. Lagu hits Beyonce, ‘Listen’ menjadi pilihan Zulin Aziz, Neera Azizi mempertaruhkan lagu popular Lady Gaga, ‘Bad Romance’ dan Ryzal Jaafar pula memilih lagu Projektor Band, ‘Sudah Ku Tahu’.

Zulin Aziz berjaya memukau penonton walaupun hadir tanpa penari dan penggunaan props di pentas. Neera Azizi pula dapat menguasai pentas dengan baik selepas mengambil kira tentang nasihat daripada Amy Mastura dan Ucop. Persembahan Ryzal Jaafar juga menerima pujian daripada para juri apabila berjaya menepati kriteria lip sync dan pandai mengawal emosi dalam melodi lagu.

Akhirnya, Perang Bibir 2017 melabuhkan tirainya dengan pengumuman Zulin Aziz sebagai juara. Beliau tidak menjangka kemenangan tersebut. Semasa pusingan kelayakan, Zulin hanya dapat mengumpul enam peminat tetapi beliau bersyukur dengan rezekinya sehingga mara ke episod akhir. Zulin Aziz mendedikasikan kepada keluarga dan kelab peminatnya yang sentiasa menyokong dan membakar semangat sepanjang penglibatan dalam industri seni.

Sidang produksi Perang Bibir 2017 diketuai oleh Nazatul Fariz Mohd Aziz sebagai penerbit eksekutif serta Daniel Chan, Saidatul Akmar Mohd Shah dan Ahmad Azahari Mohamad Ali sebagai penerbit. Program ini dihoskan oleh Sherry Alhadad dan Dennis Yin telah bersiaran selama 12 episod di TV9. Anda masih boleh menontonnya menerusi portal video Nombor Satu Malaysia, www.tonton.com.my. Di youtube TV9Malaysia pula, pelbagai klip menarik disebalik tabir turut dipaparkan.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv9.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, youtube dan Instagram TV9 iaitu @TV9Malaysia. Gunakan hash tag #PerangBibir untuk menghangatkan perbualan tentang program ini di laman media sosial.

 

“Aku Pilih Kamu” Isi Slot Samarinda Bermula 3 Disember

“Aku Pilih Kamu” Isi Slot Samarinda Bermula 3 Disember | Di hari pernikahan, hatinya berkata, dengan nama Allah, dia tetap akan memilih Rizman, iaitu abang angkat yang terlalu membenci dirinya untuk menjadi imamnya. Demi Allah, Qasya tetap dengan pilihannya itu walaupun perlu berdepan dengan kebencian dari suaminya sendiri mahupun keluarga angkatnya.

Menyusuli “Dhia Sofea”, nantikan drama bersiri baharu “Aku Pilih Kamu” lakonan Hafidz Roshdi (Rizman), Dayana Roza (Qasya Azara), Fazreen Rafi (Adam), Ryzal Jaafar (Farouk), Elizad Sharifuddin (Nadiya), Sasqia (Isabel), Zila Bakarin (Datin Rosnaida), Arash Mohd. (Dato’ Mizal), dan Rahhim Omar (Tan Sri Zainal), setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam, bermula pada 3 Disember 2015. Drama bersiri 15 episod arahan oleh Zul Huzaimy Marzuki ini merupakan hasil nukilan skrip oleh Rozie Rashid.

Hidup Qasya Azara berubah dalam sekelip mata selepas ibu kandungnya meninggal dunia. Ayahnya, Zainal seorang pengusaha eksport import jarang berada di rumah kerana urusan perniagaan di luar negara. Qasya yang baru berumur 12 tahun terpaksa berpisah dengan kakaknya kerana Zainal tidak mampu menjaga kedua-duanya. Kakak Qasya telah dihantar ke kampung untuk dijaga oleh nenek mereka.

Selepas Zainal berkahwin semula, Qasya tinggal bersama ibu tiri dan adik tirinya yang selalu menderanya sehingga dia dihalau dari rumah oleh ibu tirinya. Qasya membuat keputusan untuk tidak balik ke rumahnya lagi.

Dia kemudian dijadikan anak angkat oleh Dato’ Mizal dan Datin Rosnaida. Walaupun dikasihi oleh Dato’ Mizal serta anak pertama mereka Adam, Qasya membesar dengan penuh kebencian daripada ibu angkatnya serta dua lagi abang angkatnya iaitu Farouk dan Rizman. Penghinaan, cercaan dan kekasaran daripada Datin Rosnaida, Farouk dan Rizman terhadap Qasya hampir berlaku setiap hari.

Namun kesakitan yang dirasai terubat dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Adam dan ayah angkatnya, yang mana perkara itu tidak ada di rumah ayah kandungnya. Layanan-layanan itu dihadapi oleh Qasya sehinggalah mereka meningkat dewasa.

Dato’ Mizal mengarahkan Qasya dan Rizman menikah dengan alasan supaya Qasya mampu merubah Rizman. Dengan modal harta dan jaminan untuk melepaskan Rizman yang ditangkap kerana dadah, keputusan Dato’ Mizal dituruti oleh ahli keluarganya. Dalam hati Qasya tetap berkata, itu jodohnya, dengan nama Allah dia berjanji suami yang membencinya itu akan tetap menjadi pilihannya.

Poster Aku Pilih Kamu

Perkahwinan itu membuatkan hati Adam terluka. Adam yang sememangnya memasang niat ingin bernikah dengan Qasya sangat kecewa dan membuat keputusan untuk meninggalkan rumah dan merantau mencari kekuatan diri. Rizman tetap tidak dapat menerima Qasya kerana firasatnya Qasya bernikah dengan Rizman supaya dengan mudah dapat menguasai harta Dato’ Mizal.

Perkenalan keluarga Dato’ Mizal dan Tan Sri Zainal membawa kepada pernikahan Farouk dengan Nadiya. Sejak itu, Isabel, anak tiri kepada Tan Sri Zainal mula rapat dengan Datin Rosnaida. Datin Rosnaida sangat sukakan Isabel berbanding Nadiya kerana Isabel mempunyai perangai yang mirip dengannya yang moden dan gilakan wang. Datin Rosnaida yang sememangnya membencikan Qasya mencari jalan untuk memutuskan hubungan Qasya dan Rizman. Dia telah berpakat dengan Isabel untuk memerangkap Rizman.

Qasya sedih melihat pernikahan suaminya dengan wanita lain. Hidup bermadu sangat menyakitkannya, diseksa perasaannya saban hari oleh Rizman dan Isabel. Sebenarnya Qasya maklum yang Tan Sri Zainal ialah ayah kandungnya, tetapi dia mendiamkan perkara itu kerana Tan Sri Zainal tidak pernah mencarinya.

Qasya terima sahaja setiap perlakuan Isabel dan Nadiya walaupun sentiasa menyakitinya kerana dia tahu mereka berdua ialah saudara kandung dan saudara tirinya. Dia tabah menghadapi semua dugaan demi janjinya dengan nama Allah supaya Rizman menjadi suami mithali tercapai. Demi Allah, Rizmanlah pilihan pertama hatinya. Bagaimanakah Qasya mengatasi rintangan dan cabaran yang hadir dalam hidupnya? Saksikan “Aku Pilih Kamu” menerusi slot Samarinda TV3 pada setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam bermula 3 Disember 2015.

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan drama bersiri ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

HYPPTV Lancar Tiga Pakej Nilai Terbaharu

HYPPTV Lancar Tiga Pakej Nilai Terbaharu | Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan IPTV yang pernah memenangi anugerah, HyppTV hari ini melancarkan tiga (3) Pakej Nilai terbaharu untuk pelanggan-pelanggannya di acara HyppCarnival yang berlangsung di Paradigm Mall.

HYPPTV Lancar Tiga Pakej Nilai Terbaharu | Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan IPTV yang pernah memenangi anugerah, HyppTV hari ini melancarkan tiga (3) Pakej Nilai terbaharu untuk pelanggan-pelanggannya di acara HyppCarnival yang berlangsung di Paradigm Mall. Tiga pakej nilai tersebut adalah:

  • HyppTV Jumbo Pack – pakej terbaharu untuk seisi keluarga yang menampilkan saluran Hiburan, Berita, Kanak-kanak, Sukan dan Gaya Hidup terbaik daripada HyppTV pada harga menarik iaitu RM60 sebulan.
  • HyppTV Aneka Pack dan HyppTV Varnam Pack – dua (2) pakej vernakular khusus untuk penonton berbangsa Melayu dan India pada harga terbaik RM30 sebulan. Pakej-pakej ini adalah penambahan kepada pakej sedia ada iaitu Ruby Pack untuk penonton berbangsa Cina.

Mengulas mengenai penawaran pek nilai terbaharu daripada HyppTV, Jeremy Kung, Naib Presiden Eksekutif, New Media, TM berkata, “Sambutan memberangsangkan yang kami terima untuk pakej-pakej sebelum ini adalah bukti bahawa pelanggan-pelanggan kami inginkan pilihan yang ringkas dan berbaloi apabila memilih kandungan hiburan mereka. Dengan Jumbo Pack, kami mempertingkatkan formula tersebut dengan memberi kepada mereka hanya yang terbaik bukan sahaja untuk saluran Hiburan, Berita, Kanak-kanak dan Gaya Hidup, malah juga penawaran kandungan Sukan premium terbaik kami. Semua ini dengan hanya RM60 iaitu penjimatan sebanyak RM270 sebulan. Kini anda bukan sahaja boleh menikmati program-program bertaraf antarabangsa buat pertama kali dan secara eksklusifnya seperti The House of Cards, Extant, Gotham atau Grimm malah juga acara-acara sukan secara langsung seperti Liga Juara-Juara UEFA atau Liga Perdana Inggeris Barclays.”

_MG_8905

Aneka Pack membawakan buat peminat hiburan Berbahasa Melayu dengan pelbagai saluran termasuk filem, drama, gaya hidup dan animasi. Dengan pakej ini, peminat boleh menonton drama-drama seperti ‘Permainan Cinta’, ‘BIB’, ‘Cinta Si Egois’, ‘Selipar Jepun dan Stiletto Merah’ dan ‘Tu Dia’. Pakej ini lebih tertumpu kepada saluran-saluran tempatan seperti HyppSensasi, Dunia Sinema, Hypp Variasi, Al Hijrah On Demand, Astro Oasis dan termasuklah Discovery Kids, Sony Max dan Channel M bagi kepelbagaian pakej salurannya.

Untuk Varnam Pack, ini merupakan julung kalinya HyppTV menghimpunkan program hiburan berbahasa Hindi dan Tamil yang berkualiti tinggi, jadi pelanggan-pelanggan kami yang meminati Shah Rukh Khan, Salman Khan dan filem-filem blockbuster Bollywood boleh mendapat manfaat daripada penawaran ini. HyppTV Varnam Pack menawarkan saluran premium India seperti Sony Max, Bindass Play, UTV Bindass, Astro Vanavil, Makkal TV, Jaya Max, UTV Movies dan juga Discovery Kids.

_MG_9183

Manakala HyppTV Jumbo Pack menghimpunkan saluran-saluran seperti Warner TV, Universal Channel, Cinema World, RTL CBS Entertainment, BBC Knowledge, CBeebies, Nick Jr, HyppSports, MUTV, Astro SuperSports dan banyak lagi.

sports-pack

Tambah Jeremy, “Selain terus memberikan fleksibiliti kepada pelanggan-pelanggan kami untuk membayar hanya untuk saluran-saluran yang ingin mereka tonton menerusi pilihan ala carte, pakej–pakej ini adalah cara terbaik buat mereka yang semakin prihatin dengan kenaikan kos untuk memenuhi keperluan hiburan di kediaman mereka dengan nilai penjimatan terbaik. Dengan Ja-Jumbo Deal oleh TM, pelanggan jalur lebar berkelajuan tinggi boleh menikmati lebih penjimatan dan menaik taraf kelajuan jalur lebar dengan cara mendaftar HyppTV Jumbo Pack. Selain itu, mereka boleh menonton rancangan-rancangan kegemaran mereka ketika berada di luar rumah menerusi aplikasi HyppTV Everywhere, yang boleh dimuat turun daripada AppStore atau PlayStore.”

aneka-pack

Bukan itu sahaja. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi, TM turut memperkenalkan promosi terbaharunya, iaitu “Ja-Jumbo Deal”. Melalui promosi ini yang berlangsung bermula 15 Januari sehingga 15 April 2015, pelanggan yang mendaftar untuk HyppTV Jumbo Pack yang terbaharu, boleh menikmati naik taraf kelajuan jalur lebar mereka sehingga 20Mbps dengan harga istimewa dan eksklusif! Selain itu, pelanggan baru UniFi dan Streamyx 4 & 8 Mbps juga akan dapat menikmati satu (1) bulan tontonan secara PERCUMA untuk semua saluran premium di HyppTV.

jumbo-pack

Bagi meraikan pelancaran pakej-pakej terbaru ini, HyppTV bersama rakan kongsi kandungannya menganjurkan HyppCarnival yang penuh aktiviti-aktiviti ceria untuk menarik peminat-peminat cilik dengan penampilan Teletubbies, Dora the Explorer dan Diego buat julung kalinya di Malaysia, persembahan daripada penyanyi Indonesia Citra Scholastika, kemunculan para pelakon “Ah Boys to Men” dari Singapura, selebriti-selebriti tempatan seperti Nora Danish, Faizal Hussein, Farahdhiya, Razali Hussain, Shima Anuar, Amaris, Julia Ziegler, Sari Yanti, Shah Iskandar, Ryzal Jaafar, Zalif Sidek, Ika Nabila dan ramai lagi. HyppCarnival dibawakan oleh Huawei dan Pensonic, dan Paradigm Mall sebagai Rakan Lokasi Rasmi dan Star Radio Group yang terdiri daripada Suria FM, Red FM, Capital FM dan 988 FM sebagai Rakan Radio Rasmi. 

ruby-pack

HyppTV kini menawarkan kepada para pelanggannya sebanyak 124 saluran dengan 44 saluran dalam Definisi Tinggi (HD) – yang terdiri daripada 56 saluran premium, 22 saluran percuma, 8 saluran Radio, 16 saluran Video-On-Demand dan 22 saluran interaktif dalam pelbagai pakej nilai dan pilihan secara ala-carte. HyppTV dikuasakan oleh perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi TM, UniFi dan Streamyx 4Mbps dan 8Mbps yang tersedia untuk penonton tanpa mengira cuaca melalui pakej kediaman dan perniagaan bagi UniFi dan Streamyx. Pelanggan HyppTV juga boleh menikmati dunia hiburan yang telah dihimpunkan melalui HyppTV Everywhere. Setakat ini, HyppTV mempunyai lebih 800,000 pelanggan.

varnam-pack

Bertepatan dengan janjinya ‘Hidup Lebih Mudah’, pelanggan yang berada di luar rumah akan dapat menonton program-program dan kandungan VOD HyppTV pada peranti pintar mereka melalui aplikasi mudah alih HyppTV Everywhere. Aplikasi mudah alih ini kini membolehkan pendaftaran dalam aplikasi (in-app registration) melalui nombor telefon bimbit, alamat e-mel dan Facebook. Aplikasi ini boleh dimuat turun di Google Play untuk Android dan App Store untuk Apple.

 

Amyra Rosli Bercinta Dengan Shahz Jaszle?

Kristal Maya

Menyusuli Ramadan Jangan Pergi, slot Samarinda akan menayangkan siri drama terbaharunya, ‘KRISTAL MAYA’ pada setiap hari Rabu dan Khamis pukul 10.00 malam mulai 13 Ogos 2014. Drama bersiri 15 episod ini menampilkan gandingan pelakon popular tanah air seperti Amyra Rosli, Shahz Jaszle, Rahim Jailani, Elly Mazlein, Ika Nabella, Dilla Ahmad, Zarina Zainuddin, Shaharuddin Thamby, Ryzal Jaafar, Erry Putra, Amar Baharin, Hefny Saad dan Shakila Khoriri. 

Maya (Amyra Rosli) lulus dalam sesi temuduga di syarikat penerbitan Kristal yang dijalankan oleh Pengarah Syarikat tersebut sendiri iaitu Dato’ Efendi (Rahim Jailani) dan dibantu oleh Mona (Elly Mazlein), adik ipar Dato’ Efendi selaku Ketua Bahagian Penerbitan ‘Kristal’

Maya telah diterima berkerja sebagai Penolong Pengarah Kreatif. Pada hari pertama berkerja di ‘Kristal’, Maya rasa tertekan kerana Ezam (Shahz Jaszle), Pengarah Kreatif Kristal ialah seorang yang dingin dan sangat tegas.

Poster Kristal Maya

Maya tinggal bersama ibunya Aziah (Dilla Ahmad) dan adik lelakinya, Muadz (Ryzal Jaafar). Aziah ialah suri rumah sepenuh masa setelah kematian suaminya manakala Muadz masih menuntut di salah sebuah kolej swasta dan belajar di kolej yang sama dengan anak bongsu Dato’ Effendi, Shahrizan (Hefny Saad).

Syukri, (Amar Baharin) anak lelaki sulung Dato’ Efendi telah jatuh cinta pandang pertama dengan Maya ketika bersua secara tidak sengaja dengannya di pejabat. Syukri yang terkenal dengan perangai kasanovanya menggunakan kedudukannya selaku Penerbit Eksekutif Kristal untuk menggoda perempuan yang diminatinya.

Kristal Maya (2)

Sementara itu, Dato Efendi cuba membantu Maya menyesuaikan diri dengan persekitaran di ‘Kristal’. Beliau juga memberi amaran kepada Maya tentang anaknya Syukri yang suka mempermainkan hati wanita. Dia tidak mahu Maya menjadi salah seorang koleksi teman wanita Syukri.  Maya tidak memandang serius amaran tersebut kerana dia berpendapat dirinya seorang yang sukar untuk jatuh cinta dan dia hanya mahu membina kerjayanya buat masa ini.

Maya dapat merasakan sesuatu yang luar biasa pada perwatakan Ezam yang pendiam dan diingin. Ezam sebenarnya cuba menjauhkan diri dari Maya kerana dia menyimpan satu rahsia tentang dirinya yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Apabila mereka berdua menjadi semakin rapat, Maya semakin ingin mengetahui kisah sebenar Ezam. Ezam pula mula ragu-ragu dengan perasaannya terhadap Maya di antara profesionalisme dan bibit-bibit cinta di dalam hatinya.

Apakah yang akan terjadi seterusnya? Saksikan KRISTAL MAYA pada setiap hari Rabu dan Khamis pukul 10.00 malam di TV3. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.