Tag Archives: Sasqia

“Aku Pilih Kamu” Isi Slot Samarinda Bermula 3 Disember

“Aku Pilih Kamu” Isi Slot Samarinda Bermula 3 Disember | Di hari pernikahan, hatinya berkata, dengan nama Allah, dia tetap akan memilih Rizman, iaitu abang angkat yang terlalu membenci dirinya untuk menjadi imamnya. Demi Allah, Qasya tetap dengan pilihannya itu walaupun perlu berdepan dengan kebencian dari suaminya sendiri mahupun keluarga angkatnya.

Menyusuli “Dhia Sofea”, nantikan drama bersiri baharu “Aku Pilih Kamu” lakonan Hafidz Roshdi (Rizman), Dayana Roza (Qasya Azara), Fazreen Rafi (Adam), Ryzal Jaafar (Farouk), Elizad Sharifuddin (Nadiya), Sasqia (Isabel), Zila Bakarin (Datin Rosnaida), Arash Mohd. (Dato’ Mizal), dan Rahhim Omar (Tan Sri Zainal), setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam, bermula pada 3 Disember 2015. Drama bersiri 15 episod arahan oleh Zul Huzaimy Marzuki ini merupakan hasil nukilan skrip oleh Rozie Rashid.

Hidup Qasya Azara berubah dalam sekelip mata selepas ibu kandungnya meninggal dunia. Ayahnya, Zainal seorang pengusaha eksport import jarang berada di rumah kerana urusan perniagaan di luar negara. Qasya yang baru berumur 12 tahun terpaksa berpisah dengan kakaknya kerana Zainal tidak mampu menjaga kedua-duanya. Kakak Qasya telah dihantar ke kampung untuk dijaga oleh nenek mereka.

Selepas Zainal berkahwin semula, Qasya tinggal bersama ibu tiri dan adik tirinya yang selalu menderanya sehingga dia dihalau dari rumah oleh ibu tirinya. Qasya membuat keputusan untuk tidak balik ke rumahnya lagi.

Dia kemudian dijadikan anak angkat oleh Dato’ Mizal dan Datin Rosnaida. Walaupun dikasihi oleh Dato’ Mizal serta anak pertama mereka Adam, Qasya membesar dengan penuh kebencian daripada ibu angkatnya serta dua lagi abang angkatnya iaitu Farouk dan Rizman. Penghinaan, cercaan dan kekasaran daripada Datin Rosnaida, Farouk dan Rizman terhadap Qasya hampir berlaku setiap hari.

Namun kesakitan yang dirasai terubat dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Adam dan ayah angkatnya, yang mana perkara itu tidak ada di rumah ayah kandungnya. Layanan-layanan itu dihadapi oleh Qasya sehinggalah mereka meningkat dewasa.

Dato’ Mizal mengarahkan Qasya dan Rizman menikah dengan alasan supaya Qasya mampu merubah Rizman. Dengan modal harta dan jaminan untuk melepaskan Rizman yang ditangkap kerana dadah, keputusan Dato’ Mizal dituruti oleh ahli keluarganya. Dalam hati Qasya tetap berkata, itu jodohnya, dengan nama Allah dia berjanji suami yang membencinya itu akan tetap menjadi pilihannya.

Poster Aku Pilih Kamu

Perkahwinan itu membuatkan hati Adam terluka. Adam yang sememangnya memasang niat ingin bernikah dengan Qasya sangat kecewa dan membuat keputusan untuk meninggalkan rumah dan merantau mencari kekuatan diri. Rizman tetap tidak dapat menerima Qasya kerana firasatnya Qasya bernikah dengan Rizman supaya dengan mudah dapat menguasai harta Dato’ Mizal.

Perkenalan keluarga Dato’ Mizal dan Tan Sri Zainal membawa kepada pernikahan Farouk dengan Nadiya. Sejak itu, Isabel, anak tiri kepada Tan Sri Zainal mula rapat dengan Datin Rosnaida. Datin Rosnaida sangat sukakan Isabel berbanding Nadiya kerana Isabel mempunyai perangai yang mirip dengannya yang moden dan gilakan wang. Datin Rosnaida yang sememangnya membencikan Qasya mencari jalan untuk memutuskan hubungan Qasya dan Rizman. Dia telah berpakat dengan Isabel untuk memerangkap Rizman.

Qasya sedih melihat pernikahan suaminya dengan wanita lain. Hidup bermadu sangat menyakitkannya, diseksa perasaannya saban hari oleh Rizman dan Isabel. Sebenarnya Qasya maklum yang Tan Sri Zainal ialah ayah kandungnya, tetapi dia mendiamkan perkara itu kerana Tan Sri Zainal tidak pernah mencarinya.

Qasya terima sahaja setiap perlakuan Isabel dan Nadiya walaupun sentiasa menyakitinya kerana dia tahu mereka berdua ialah saudara kandung dan saudara tirinya. Dia tabah menghadapi semua dugaan demi janjinya dengan nama Allah supaya Rizman menjadi suami mithali tercapai. Demi Allah, Rizmanlah pilihan pertama hatinya. Bagaimanakah Qasya mengatasi rintangan dan cabaran yang hadir dalam hidupnya? Saksikan “Aku Pilih Kamu” menerusi slot Samarinda TV3 pada setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam bermula 3 Disember 2015.

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan drama bersiri ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Slot Samarinda TV3 – DHIA SOFEA

Slot Samarinda TV3 – DHIA SOFEA | Kepulangan Dhia Sofea disambut dengan majlis hari jadinya yang diaturkan oleh ibunya, Mak Yam. Dhia tidak sangka kejutan hadiah hari jadi yang diberikan oleh Mak Yam bakal mengubah hidupnya. Apakah dugaan yang bakal menghujani Dhia?

Menyusuli “Bukan Isteri Sempurna”, nantikan drama bersiri “Dhia Sofea” terbitan Rashbir Media Sdn Bhd lakonan Amyra Rosli, Fadlan Hazim, Syafiq Kyle, Sharifah Haslinda, Maria Farida, Dato’ Eizlan Yusof, Roy Azman, Raja Ema, Norlia Ghani dan Sasqia bermula 14 Oktober 2015, setiap hari Rabu dan Khamis, pukul 10.00 malam menerusi slot Samarinda TV3.

DhiaSofea(11)

Drama bersiri 15 episod arahan Rashid Sibir mengisahkan Dhia Sofea (Amyra Rosli) mula mencari siapakah ibu dan bapa kandungnya selepas mendapat tahu dia hanyalah anak angkat kepada Mak Yam (Norlia Ghani). 23 tahun yang lepas, Dhia diserahkan oleh pasangan muda yang tidak dikenali oleh Mak Yam. Wanita itu berkelubung dan tidak kelihatan wajahnya. Lelaki itu pula memberi RM500 kepada Mak Yam untuk menjaga bayi itu dan mereka berdua tidak pernah kembali selepas itu.

Mak Yam membesarkan Dhia seperti anak kandungnya. Din (Syafiq Kyle), seorang anak yatim paitu juga menumpang kasih Mak Yam. Din menyimpan perasaan terhadap Dhia tetapi dia tidak meluahkan isi hatinya apabila Dhia pulang ke kampung bersama teman lelakinya, JJ (Fadlan Hazim).

DhiaSofea(13)

Dhia hanya mempunyai seutas rantai berhuruf M yang dipakai sewaktu bayi dijadikan sebagai bukti sehinggalah dia terjumpa sekeping gambar lama di rumah JJ ketika hadir ke parti hari jadinya. Dhia terkejut apabila JJ memberitahunya bahawa wanita itu ialah ibunya, Lorena (Maria Farida).

Dhia meminta izin daripada Mak Yam untuk tinggal di rumah makciknya, Cik Non (Raja Ema) di Kuala Lumpur. Dhia mencari alasan untuk mendekati Lorena. Apabila Dhia mendapat peluang untuk bertanya Lorena tentang loket rantai itu, Lorena tidak mengaku. Dhia mula putus asa tetapi JJ memujuknya dan berjanji akan menolongnya. Dhia terharu dan terus mencari bukti-bukti.

DhiaSofea(8)

Lorena mula resah dan dia telah berjumpa dengan kawan baiknya, Dolly (Sharifah Haslinda). Lorena juga tidak mahu kerjaya suaminya, Mahadi (Dato’ Eizlan Yusof) tercalar. Dolly mula merancang sesuatu untuk menghapuskan Dhia supaya rahsia tersebut tidak terbongkar. Berjayakah Dhia menemui siapakah ibu bapa kandungnya? Apakah rahsia yang disimpan oleh Lorena dan Dolly? Saksikan kesudahannya menerusi slot Samarinda pada setiap hari Rabu dan Khamis pukul 10.00 malam di TV3.

Layari laman web www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Penonton yang terlepas menyaksikan drama bersiri ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.