“Mereka Yang Tertewas” adalah sebuah adaptasi novel karya Hasanuddin MD Isa yang diadaptasi untuk filem.Filem ini disutradarakan oleh Dato’ Zulkeflie M. Osman.
Pelakon utama dalam filem ini adalah Zaidi Omar, Fiza Halim, Fad Anuar, Sherie Merlis, Adam Shariz, dan Mubarak Majid. Manakala penulis skrip adalah Rosman MD Shah.Filem ini dikeluarkan oleh syarikat produksi Tujuh Pelangi Maju Sdn Bhd dan ditayangkan pada 7 November 2024.
Filem ini mengetengahkan kisah seorang lelaki bernama Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa yang berhijrah dari kampung asalnya ke Kampung Bukit Setugal untuk menyebarkan ajaran Islam.Ia memaparkan bahawa usaha Lebai Pa untuk menyebarkan syiar Islam di Kampung Bukit Setugal ditentang oleh sebahagian penduduk kampung yang beranggapan bahawa beliau menyebarkan ajaran sesat dan ingin berkuasa. Namun, Lebai Pa yang banyak mencontohi sikap Rasulullah S.A.W. dalam menyebarkan agama tetap bersabar dan akhirnya dapat mengubah pemikiran penduduk kampung untuk menerima Islam.Ia mengetengahkan isu-isu yang berkait dengan penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat setempat.
Menariknya, filem Mereka Yang Tertewas telah berjaya mencuri perhatian di peringkat antarabangsa dengan pencalonan dalam beberapa festival filem terkenal, seperti Cannes World Film Festival, Amigo Blue Film Festival, dan Kuala Lumpur International Film Festival. Ini membuktikan bahawa karya Islamik dari Malaysia mampu memikat hati penonton global dan bersaing dengan karya-karya lain di pentas perfileman antarabangsa.
“Mereka Yang Tertewas telah menerima klasifikasi 13 tahun ke atas daripada pihak berkuasa, menjadikannya sesuai untuk tontonan remaja dan dewasa. Filem ini akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 7 November 2024 dengan MegaMovie sebagai pengedar rasmi.
Mengetengahkan tema Islamik yang mendalam serta kisah perjuangan moral yang disampaikan melalui lakonan mantap barisan pelakon terkenal, filem ini diharap dapat menjadi sumber inspirasi dan menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat. Mereka Yang Tertewas membuktikan kesungguhan penggiat seni tempatan dalam menghasilkan karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah mendidik. Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini di pawagam berdekatan anda!”
Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31, Kabir Bhatia kembali dengan sentuhan terbaru menerusi filem genre seram Talbis Iblis, terbitan oleh gabungan penerbit hebat tanah air, Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment bermula 20 Oktober ini di seluruh pawagam Malaysia. Terdahulu, karya ini menjadi filem kedua dari Malaysia yang mengadakan Tayangan Perdana Dunia dan di senarai pendek di Far East Film Festival Ke-24 di Udine, Itali pada April lalu. Selain itu, filem ini turut mengadakan tayangan perdana di Bucheon International Fantastic Film Festival 2022 ke-26 dan Neuchâtel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21.
‘Talbis Iblis’ yang membawa maksud tipu daya serta perangkap yang di buat oleh iblis untuk menyesatkan manusia, cukup tepat menggambarkan tentang subjek utama yang diangkat dalam filem ini. Ia mengisahkan tentang seorang gadis, Hajar yang dihantar ke satu tempat jauh dari ibu kota bagi melahirkan bayinya secara rahsia. Seorang bidan, Mak Ju telah menjaga Hajar sebelum dan selepas bersalin, namun hakikatnya mempunyai agenda tersendiri.
Hari ini berlangsungnya Sidang Media Filem Talbis Iblis bagi melancarkan treler, poster dan memperkenalkan barisan pelakon secara rasmi. Setiap adegan babak telah dijayakan oleh para pelakon hebat tempatan seperti Azira Shafinaz, Nasha Aziz, Zul Ariffin, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah. Ini juga merupakan kemunculan semula di layar perak oleh pelakon popular dan pemenang Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke 17 menerusi filem seram thriller saspens, Trauma (2004) iaitu Nasha Aziz.
Menurut Penerbit Eksekutif Filem & Wakil Infinitus Gold Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, “Filem Talbis Iblis mempunyai kekuatan tersendiri denganmenggabungkan semua aspek seperti pengarah yang hebat, pelakon yang cemerlang dan cerita yang berbeza. Seperti umum tahu, penonton tempatan sering dihidangkan dengan pelbagai filem seram dari barat, termasuklah dari negara Thailand, Indonesia dan Jepun. Jadi kami sebagai penerbit ingin mempersembahkan sesuatu yang unik dengan mengangkat budaya serta kepercayaan Melayu, termasuklah isu sosial yang amat dekat dengan masyarakat kita, di samping menonjolkan adegan serta makhluk seram ke dalam filem khusus buat peminat naskhah seram di luar sana.”
Penerbit Eksekutif & Wakil Jazzy Pictures (M) Sdn Bhd, Joanne Goh menyatakan, “Penglibatan Jazzy Pictures (M) dalam filem Talbis Iblis selaku penerbit merupakan satu pengalaman baik buat kami kerana berpeluang bekerjasama dengan tenaga kreatif, para pelakon serta kru produksi yang hebat. Tambah mengujakan filem ini telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa sebelum tayangan rasminya di Malaysia. Justeru, kami harap ia mampu menjadi pemangkin buat karya-karya tempatan lain untuk dipamerkan kepada dunia. Kami juga menjanjikan filem ini mampu memberi kepuasan kepada penonton semasa menontonnya di layar perak kelak.”
Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad mengulas tentang kerjasama menghasilkan filem ini, ia memberi ruang buat Astro Shaw untuk mengukuhkan lagi hubungan baik dengan penerbit-penerbit tempatan dengan bergabung idea untuk menghasilkan sebuah karya yang mantap. “Industri filem tempatan dilihat dalam prestasi dan momentum positif sekarang ini. Kehadiran Talbis Iblis pada Oktober hadapan adalah masa yang tepat untuk memeriahkan lagi pawagam dengan menawarkan genre berbeza berbanding filem-filem yang sedia ada di layar perak sekarang kepada penonton. Menariknya, Talbis Iblis membawakan subjek cerita yang amat dekat dengan penonton Malaysia serta diarahkan oleh pengarah cukup berkaliber yang sentiasa berjaya menyentuh perasaan penontonnya menerusi sentuhan magisnya. Jadi, nantikan kehadiran filem ini yang mampu memberikan nilai tontonan berbeza kepada penonton.”
A Next Star Production Sdn Bhd, Megan Fong berkata, “Kami rasa amat teruja filem Talbis Iblis kini bersedia untuk temui penonton tidak lama lagi. Meskipun proses pos produksi filem ini dilakukan ketika dalam fasa pandemik Covid-19, namun ia berjaya disempurnakan. Ia membuktikan gabungan usaha sama bakat-bakat kreatif tempatan mampu menghasilkan sebuah karya terbaik untuk industri filem Malaysia.”
General Manager of MM2 Entertainment, Cik Angelin Ong berkata “Menerusi filem seram Talbis Iblis, penonton Malaysia dapat menyaksikan sebuah lagi filem yang mampu menyentuh perasaan dengan elemen seram, drama, berdebar, sedih dan banyak lagi. Kami rasa berbesar hati berpeluang bekerjasama sekali lagi dengan pasukan yang jayakan filem Sangkar dan Kabir Bhatia.”
OST bagi filem Talbis Iblis bertajuk ‘Harapan Penyambung Mimpi’ nyanyian Indah Ruhaila, hasil lirik oleh Habsah Hassan dan komposer Heidi Moru dan Lo Shi Seng.
Nantikan filem seram Talbis Iblis di pawagam seluruh tanah air bermula 20 Oktober depan. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.
Khadijah, Idris, Ramlah dan Hasnah, empat adik-beradik membesar tanpa kasih sayang daripada kedua-dua orang tua yang melepaskan tanggungjawab mendidik dan menjadi teladan kepada anak – anak. Namun, mereka tidak mudah menyerah dan sentiasa berusaha untuk mencapai kebahagiaan.
Terbaharu di slot Samarinda, drama bersiri 15 episod adaptasi novel ‘Kau Cipta Kasih’ karya Azilah Wahab menemui penonton TV3 bermula 13 Januari 2022, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam.
Kau Cipta Kasih merupakan terbitan Ansar Creative Media Sdn Bhd, diarahkan oleh Nazir Jamaludin, nukilan skrip oleh Azlina Din dan Azilah Wahab serta menampilkan pelakon – pelakon popular Malaysia seperti Nazim Othman, Uyaina Arshad, Nafiz Muaz, Fify Azmi, Amanda Amry, Sherie Merlis, Sahronizam, Marissa Yasmin, Dilla Ahmad, Norlia Ghani, Mustapha Kamal, Ikhram Juhari, Nynaa Harizal dan Izuan Razali.
Ia mengisahkan Samad (Sahronizam) dan Sabariah (Sherie Merlis) yang disatukan atas paksaan keluarga mereka. Perkahwinan paksa ini telah memudaratkan hubungan Sabariah dengan Samad. Sabariah membenci anak-anaknya kerana dia tidak mencintai Samad yang sering mengasarinya.
Idris (Nafiz Muaz) dilahirkan dengan kecacatan di kaki. Dia dibenci dan tidak diakui sebagai anak oleh Samad dan Sabariah. Dia dibesarkan oleh Opah Piah dan Atuk Mat setelah dibuang oleh ibu bapa sendiri. Walaupun kaki tempang, Idris diajar berdikari dan bekerja sejak kecil. Dia seorang yang rajin bekerja, taat pada agama dan hormat kepada orang tua. Opah Piah telah menghadiahkan tanah ladang dan tapak rumah pusaka kepadanya.
Ramlah (Fify Azmi) seorang yang sangat bijak dan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara atas bantuan Idris. Dia amat menyayangi Khadijah, kakak sulung kepada empat beradik ini yang menjaganya sejak kecil. Ramlah tidak pernah berputus harapan untuk merasa bahagia bersama ibu, ayah serta adik-beradiknya.
Hasnah (Amanda Amry), anak bongsu kepada pasangan Sabariah dan Samad sangat naif dan percaya bahawa Samad menyayanginya. Hasnah juga manja dengan Khadijah dan menganggapnya sebagai ibu. Ketika di Tingkatan 5, Hasnah bercinta dengan rakan sekampungnya dan berkeras mahu berkahwin dengannya selepas SPM walaupun mendapat tentangan daripada Samad. Sabariah pula bersetuju dengan perkahwinan Hasnah kerana sudah tidak mahu menanggung anaknya itu.
Khadijah (Uyaina Arshad), anak sulung kepada Samad dan Sabariah sanggup berkorban dengan menggalas tanggungjawab menjaga adik-adiknya ketika usia masih muda. Khadijah sering menjadi mangsa kemarahan ibunya. Akibat satu kejadian, Khadijah telah dihalau keluar oleh ibunya walaupun Khadijah telah memberitahu apa yang sebenarnya telah berlaku. Khadijah melarikan diri dan terjumpa dengan Afiq (Nazim Othman), anak kepada seorang usahawan yang berjaya. Sejak itu, perjalanan hidup Khadijah mula berubah. Adakah Khadijah, Idris, Ramlah dan Hasnah dapat menemui kebahagiaan selepas dihujani dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam hidup mereka?
Jangan ketinggalan untuk terus menyaksikan Kau Cipta Kasih, satu kisah penuh emosi, sebuah realiti kehidupan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, 10.00 malam menerusi slot Samarinda di TV3.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layariwww.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.