Tag Archives: Shukri Yahaya

FILEM BALAS BALIK BAWA PENONTON MENYELAMI DUNIA PENYIASATAN DAN DENDAM YANG MEMBARA

KUALA LUMPUR, 29 MEI 2025 – Sebuah kematian yang pada mulanya disangka biasa, rupanya menyimpan seribu rahsia dan dendam. Itulah premis utama filem penyiasatan jenayah terbaru bertajuk BALAS BALIK, arahan Feroz Kader dan terbitan Shaibha Vision Entertainment Sdn. Bhd., yang mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025.

Diterajui oleh pelakon versatil Shukri Yahaya sebagai Detektif Zul, Balas Balik mengisahkan penyiasatan terhadap kematian mengejut seorang CEO syarikat telekomunikasi ternama, Datuk Roslan (Tony Eusoff), yang pada awalnya dikatakan akibat serangan jantung. Namun, kepekaan Detektif Zul terhadap beberapa elemen mencurigakan membawanya kepada penemuan mengejutkan yang menyelak sisi gelap si mati, termasuk penyalahgunaan kuasa dan sejarah hitam yang membabitkan pekerja-pekerja serta ahli keluarga mangsa.

poster filem balas balik

“Cerita ini cuba menekankan bahawa tidak semua kematian adalah penamat. Ada kalanya ia adalah permulaan kepada satu kebenaran yang selama ini dipendam. Kami pilih genre penyiasatan kerana ia membuka ruang untuk emosi, teka-teki dan ketegangan yang lebih berlapis,” kata Feroz Kader, yang turut menjelaskan bahawa skrip filem ini mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan demi memastikan naratifnya benar-benar kukuh.

Filem ini juga mengambil inspirasi daripada isu sosial semasa, terutama polemik buli di tempat kerja dan kesannya terhadap mangsa dari segi psikologi dan emosi. Menurut penerbit Datin Sri Shaila V., filem ini diangkat untuk mencetuskan empati dan kesedaran bahawa trauma yang tidak dirawat boleh menjadi benih kepada tindakan luar jangka.

“Buli bukan perkara remeh. Ia boleh merosakkan manusia perlahan-lahan hingga sanggup melakukan perkara yang tidak diduga. Inilah yang ingin kami sampaikan melalui Balas Balik,” ujarnya.

Shukri Yahaya yang sering dikaitkan dengan watak romantis, antagonis dan aksi, tampil dengan sisi baharu sebagai penyiasat yang bergelut dengan dilema dan tekanan mental dalam membongkar kes ini. “Kalau sebelum ni orang tengok saya ‘redflag’ atau kaki belasah, kali ini saya kena nampak bijak dan buat orang percaya saya benar-benar Detektif Zul,” katanya berseloroh.

shukri yahaya sebagai detektif zul
Shukri Yahaya sebagai detektif zul

Antara pelakon lain yang menjayakan filem ini termasuk Marissa Yasmin (Angel), Adam Lee (Adam), Isyariana (Nadia), Zarul Umbrella (Tuan Kamal), Meor Mohd (Inspektor Jauhari), Razman Mahayuddin (Ikhwan), Josiah Lim (Danial) dan Maisara Sufia (Mimi). Setiap watak mempunyai latar belakang tersendiri, menjadikan siasatan Zul seperti menyusun puzzle yang kompleks dan penuh kejutan.

Menyempurnakan pengalaman sinematik adalah lagu tema bertajuk “Balas”, nyanyian Hariz Fayahet dan ciptaan Nurzaidi Abd Rahman, yang mengiringi filem ini dengan nada misteri dan emosi yang mendalam.

Bulan Bintang Melancarkan Pertunjukan Fesyen “Sedekad Menyinar” Sempena Ulang Tahun Ke-10

Bulan Bintang telah menganjurkan pertunjukan fesyen bertema “Sedekad Menyinar” pada 2 Februari 2025 di KL Convention Center, Kuala Lumpur bagi meraikan ulang tahun ke-10 jenama fesyen tersebut. Pertunjukan ini menampilkan koleksi raya “ready-to-wear” (RTW) yang komprehensif untuk seisi keluarga.

Koleksi terbaru ini merangkumi baju melayu dengan tiga pilihan potongan – Slim Fit, Tailored Fit dan Traditional Fit – yang direka menggunakan kain yang lembut, ringan dan sejuk. Sebagai jenama yang mengutamakan inklusiviti, Bulan Bintang menawarkan saiz sehingga 8XL dengan pelbagai pilihan kurta. Untuk wanita dan kanak-kanak pula, koleksi pakaian raya sedondon ditawarkan dalam lebih 70 pilihan warna.

Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, menyatakan rasa syukur atas perkembangan pesat jenama tersebut selama sedekad dalam pasaran yang kompetitif. Beliau mengatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil sokongan rakyat Malaysia dan komitmen syarikat dalam penambahbaikan kualiti serta khidmat pelanggan.

Pertunjukan fesyen ini diserikan dengan kehadiran barisan selebriti ternama seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Johan Ghazali dan Hannah Delisha. Turut hadir sebagai duta istimewa ialah Zahiril Adzim, Ain Edruce, Zahirah MacWilson, Aiman Hakim Ridza, Mimi Lana, Dato’ Ramli MS, Dato’ Jalaluddin Hassan, Joey Daud, Zamarul Hisham, Sabri Yunus dan Angeline Tan.

Pandangan Para Duta Jenam

Datuk Rosyam Nor, sebagai selebriti kelas A, memilih Bulan Bintang kerana tertarik dengan perkembangan jenama ini selama 10 tahun. “Bulan Bintang bukan sekadar terkenal seluruh Malaysia, tapi saya tertarik dengan usaha penambahbaikan selama 10 tahun ini. Tahun ini pula, Bulan Bintang memperkenalkan koleksi baharu yang lebih berkualiti, design modern dan klasik yang tidak menjejaskan nilai baju melayu,” kata beliau.

Shukri Yahaya, yang telah berkhidmat sebagai Duta Senior selama 5 tahun, memuji idea-idea kreatif dan asli Bulan Bintang. Beliau menekankan komitmen jenama dalam perkhidmatan pelanggan yang beroperasi 24/7.

Datuk Remy Ishak, yang kini memasuki tahun kedua sebagai duta, berkongsi bahawa beliau amat selektif dalam pemilihan jenama yang diwakilinya. “Sebelum saya setuju dengan Bulan Bintang, team mereka perlu hantar semua sample produk untuk saya teliti dahulu kualitinya dan saya nak tahu apa inisiatif mereka untuk memasarkan baju melayu ni,” jelas beliau.

Nadhir dan Mierul, dua personaliti yang dipilih menjadi duta jenama, berkongsi pandangan unik mereka tentang kerjasama dengan Bulan Bintang. Menurut mereka, pemilihan untuk menjadi duta Bulan Bintang adalah keputusan yang tepat kerana jenama ini sentiasa menghasilkan karya yang unik dan berbeza setiap tahun. “Beza Bulan Bintang dengan jenama lain adalah pada karya yang unik setiap tahun. Taklah mengulang benda sama je setiap tahun. Fabric yang digunakan pun bertukar setiap tahun, pilihan warna, cutting, inklusiviti sentiasa ditambah baik setiap tahun. Karya Bulan Bintang ni fresh, modern, nafas baru tapi masih original baju melayu, tak merepek,” jelas mereka.

Syafiq Kyle, yang dikenali sebagai muka ‘rare’ dalam arena duta jenama fesyen, menyatakan kekagumannya terhadap skala kerja Bulan Bintang dan komitmen mereka kepada pembeli. “Takdelah orang cakap ‘founder je yang kaya beli kereta’ kan? Bulan Bintang bagi berpuluh buah kereta pada pembeli! Sampai RM10 juta dibelanjakan untuk hadiah tahun ni,” tambah beliau.

Johan Ghazali, sebagai satu-satunya fighter dalam barisan duta, menjelaskan kepentingan baju melayu dalam kerjayanya sebagai wakil Malaysia di arena antarabangsa. “Setiap kali saya ada fight, saya mewakili negara saya, Malaysia. Secara tak langsung, saya akan mempromosikan negara dan budaya orang Malaysia di luar sana sampai ke US,” ujar beliau.

Hannah Delisha, yang mewakili Bulan Bintang Sisters, memuji evolusi koleksi raya tahun ini yang lebih segar dan kontemporari. “Design Bulan Bintang Sisters tahun ini dibuat untuk tak limitkan untuk dipakai pada hari raya je, sesuai untuk pelbagai majlis. Selain itu, design yang sama akan ada juga pilihan untuk ‘kids’ atau kanak-kanak dan warna yang ditawarkan semuanya ada padanan warna untuk baju melayu,” jelasnya.

Hadiah dan Promosi Istimewa

Sempena ulang tahun ke-10, Bulan Bintang menawarkan hadiah-hadiah bernilai RM10 juta melalui kolaborasi dengan pelbagai jenama terkemuka. Antaranya termasuk 1kg jongkong emas dari GB Gold, tiket penerbangan percuma setahun dari AirAsia, wang tunai RM150,000 dari Hausboom, pakej haji dan umrah dari Tabung Haji dan Kahf, serta 120,000 voucher dari Tealive.

Turut diumumkan adalah pemenang pertandingan Bulan Bintang Next Top Model yang menampilkan finalis dalam lingkungan umur 40 hingga 70 tahun dari kalangan orang awam. Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 melalui undian juri dan penonton yang hadir.

Koleksi Raya Sedekad Menyinar boleh didapati di 15 butik rasmi Bulan Bintang seluruh negara dan platform TikTok sebagai rakan kerjasama strategik. Penghantaran seluruh Malaysia diuruskan oleh Ninjavan selaku rakan logistik rasmi. Azzim mensasarkan jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian untuk kempen kali ini.

Senarai Penuh Top 5 ABPBH 2014

Credit photo : NSTP
Credit photo : NSTP

Pencarian Bintang Popular untuk setiap 15 kategori yang dipertandingkan dan Bintang Paling Popular bermula dari 18 Februari hingga 25 Mac 2015. Borang undian pusingan kedua akan disiarkan di akhbar BH dan BH Ahad untuk pembaca memilih artis kesukaan mereka bagi setiap kategori.

Pemenang Bintang Popular dan Bintang Paling Popular dipilih berdasarkan kiraan undi tertinggi yang diterima oleh BH. Mekanisme yang sama juga digunakan untuk pemilihan pemenang kategori online yang turut bermula dari tarikh yang disebut tadi.

Undian boleh dibuat menerusi laman web ABPBH; www.abpbh.com.my. Selain dari siri jelajah yang diadakan di lokasi seperti Village Mall, Sungai Petani Kedah (6 & 7 Mac), Kompleks Pasir Gudang Johor (13 & 14 Mac) dan lokasi terakhir Berjaya Mega Mall, Kuantan Pahang (20 & 21 Mac), ABPBH tidak ketinggalan meneruskan Program Tanggungjawab Sosial pada tahun ini.

Beliau turut mengumumkan peraduan #abpbhcinta di laman sosial instagramnya bermula 2 Februari hingga 25 Mac depan.

Peraduan yang berlangsung selama empat minggu ini membawa empat tema yang berlainan iaitu minggu pertama, adalah ‘Cinta Alam’ yang bermula pada 2 hingga 11 Februari, minggu kedua ‘Cinta Fauna’ pada 16 hingga 25 Februari, seterusnya ‘Hubungan Akrab’ pada 2 hingga 11 Mac dan yang terakhir adalah ‘Gaya Hidup’ pada 16 hingga 25 Mac.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd pula menaja kereta Toyota Camry dan Vios bagi pemenang utama. Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) sebagai penyiar televisyen rasmi, HotFM sebagai radio rasmi dan TonTon sebagai platform digital rasmi.

Rakan penaja lain seperti Resorts World Genting yang menaja lokasi rasmi ABPBH 2014 dan Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur yang menaja lokasi sidang media rasmi serta HTC Malaysia Sdn Bhd dan The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd.

Anugerah ‘People’s Choice’ terunggul ini yang sudah memasuki edisi ke-28 akan bersiaran secara langsung dari Arena of Stars, Kota Keriangan Genting Highlands dan disiarkan secara langsung di stesen televisyen TV3 dan radio HotFM pada jam 9 malam, 5 April 2015.

Berikut ialah senarai pencalonan top 5 ABPBH 2014:

1 – Artis Baharu Lelaki Popular
Hafreez Adam
Hisyam Hamid
Nazrief Nazri
Shukri Yahaya
Syarul Ridzwan

2 – Artis Baharu Wanita Popular
Aisyah Aziz
Amyra Rosli
Ayda Jebat
Indah Ruhaila
Puteri Balqis

3 – Pengacara TV Lelaki Popular
AG
Awal Ashaari
Datuk AC Mizal
Datuk Aznil Nawawi
Zizan Razak

4 – Pengacara TV Wanita Popular
Fara Fauzana
Heliza Helmi
Jihan Muse
Neelofa
Scha Alyahya

5 – Penyanyi Lelaki Popular
Aizat Amdan
Akim
Asfan
Hafiz
Hazama

6 – Penyanyi Wanita Popular
Adira
Alyah
Dayang Nurfaizah
Fynn Jamal
Stacy

7 – Artis Duo/Berkumpulan Popular
6ixth Sense
Akim & The Magistrate
Azhael
Black & RJ
Hijjaz

8 – Pelakon TV Lelaki Popular
Aaron Aziz
Adi Putra
Amar Baharin
Shah Iskandar
Sharnaaz Ahmad

9 – Pelakon TV Wanita Popular

Atikah Suhaime
Ayda Jebat
Emma Maembong
Nad Zainal
Siti Saleha

10 – Pelakon Filem Lelaki Popular
Aaron Aziz
Adi Putra
Shaheizy Sam
Zizan Razak
Zul Ariffin

11 – Pelakon Filem Wanita Popular
Atikah Suhaime
Cristina Suzanne
Neelofa
Sara Ali
Siti Saleha

12 – Artis Komedi Lelaki Popular
Abam
Achey
Jep Sepahtu
Shuib Sepahtu
Zizan Razak

13 – Artis Komedi Wanita Popular

Didie Alias
Dottie
Enot
Ifa Raziah
Jihan Muse

14 – Penyampai Radio Lelaki Popular
AG (Hot)
Deen (Hot)
Ebby Halim (Klasik)
Johan (Era)
Salih Yaccob (Sinar)

15 – Penyampai Radio Wanita Popular
Abby Fana (Sinar)
Adibah Noor (Suria)
Anisma Azwati Ahmad (Klasik)
Dina Nadzir (Era)
Fara Fauzana (Hot)

Slot Akasia TV3 – Jika Itu Takdirku

Jika Itu Takdirku

Drama bersiri yang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 berjaya mencipta fenomena dengan meraih kadar tontonan mencecah 3 juta penonton dan juga hangat diperkatakan di laman sosial sepanjang siaran. Selepas ‘Ariana Rose’ yang melabuhkan tirai pada 13 Februari ini, nantikan drama bersiri terbaru yang berjudul JIKA ITU TAKDIRKU lakonan Intan Ladyana, Shah Iskandar, Shukri Yahaya, Nina Iskandar, Arash Mohd, Jasmin Hamid, Azwan Kombos bermula 17 Februari 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam.

Drama bersiri 24 episod terbitan MIG Production Sdn Bhd ini diarahkan oleh Eoon Shuhaini dengan nukilan skrip oleh panel MIG. JIKA ITU TAKDIRKU mengisahkan tentang Hakimi (Shah Iskandar) yang disahkan menghidap amnesia selepas kemalangan jalan raya pada enam tahun yang lepas. Hakimi sangat rapat dengan Dr. Hamza (Arash Mohd) yang merawatnya. Suatu hari, apabila Dr Hamza menjemput Hakimi makan malam di rumahnya, Hakimi tertarik dengan gambar anak Dr Hamza iaitu Umairah (Intan Ladyana) yang juga seorang doktor.

Walaupun Hakimi tidak mempunyai sebarang ingatan tentang Umairah, namun dia telah jatuh cinta dan bertindak untuk melamarnya sebagai isteri. Dr Hamza dan isterinya, Puan Zainah menerima baik lamaran Hakimi. Umairah bingung dengan tindakan Hakimi kerana hakikatnya mereka berdua mempunyai kisah silam yang telah meninggalkan sejarah hitam dalam hidup Umairah. Umairah tidak pasti jika Hakimi hanya mahu mempermainkannya atau mempunyai muslihat lain. Kisah silam itu juga telah menyebabkan Umairah menjadi seorang yang pendiam dan pintu hatinya sukar terbuka untuk mempercayai cinta lagi.

Akhirnya, Umairah bersetuju kerana dia masih menyayangi Hakimi dan mereka telah ditakdirkan bersama selepas musibah yang terjadi pada 7 tahun lepas. Umairah sering terganggu dengan kenangan pahit dan menjauhkan diri daripada Hakimi. Hakimi tidak pernah berputus asa untuk memikat hati Umairah dan memberi ruang kepada Umairah untuk menyesuaikan diri dan mencintainya seperti pasangan suami isterinya.

Hakimi terserempak dengan Azri (Shukri Yahaya), seorang kawan lama yang cuba memberitahu hubungan Hakimi dan Umairah pada masa lalu. Hakimi bertanya kepada Umairah. Umairah enggan memberikan sebarang jawapan sehingga Hakimi mula menggeledah barang-barang lama Umairah. Umairah bengang dengan tindakan Hakimi dan dia telah bertindak keluar dari rumah apabila Hakimi memaksanya menceritakan hal yang sebenar.

Hakimi merayu supaya Umairah memaafkannya dan memberikan peluang untuk menebus kembali penderitaan yang dialami oleh Umairah. Hakimi juga meminta bantuan Umairah supaya mengingatkan kisah silam mereka dan memulakan hidup baharu dengannya. Umairah terlalu takut untuk berterus terang kerana bimbang Hakimi akan berubah fikiran selepas mengetahui hal yang sebenar. Selepas melihat kesungguhan Hakimi, akhirnya Umairah mengalah dan bersetuju untuk memulakan hidup baharu bersama-sama Hakimi.

Selepas 2 bulan, Hakimi gembira apabila Umairah telah mengandung. Bekas teman wanita Hakimi, Qistina (Nina Iskandar) kembali menagih cinta dan berusaha untuk memerangkap Hakimi. Kali ini, hati Umairah dilukai lagi dan dia menjadi pasrah dengan Hakimi yang kembali dengan perangai lama yang suka berpoya-poya. Masih ada peluang buat Hakimi dan Umairah?

Segalanya bakal terjawab dalam JIKA ITU TAKDIRKU yang akan disiarkan mulai 17 Februari 2014, setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 7.00 malam di TV3. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang drama tersebut, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.