Tag Archives: stadium malawati

Search dan Barbarik mahu yang terbaik untuk Konsert Double Trouble 2

KONSERT Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell dan Konsert Barbarik – Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur tahun lalu memberi impak kuat terhadap peminat muzik rock tanah air.

Hampir semua menyifatkan ia konsert rock terbaik tanah air sepanjang tahun lalu. Malah, lebih sebulan selepas kedua-dua konsert yang berlangsung pada Jun dan Disember itu, peminat masih memperkatakannya. Ramai yang terus berkongsi pendapat serta memuat naik video konsert berkenaan di media sosial masing-masing.

Jadi, bayangkan impaknya apabila Search dan Barbarik bergabung pula pada Konsert Double Trouble 2 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 5 Ogos ini.

Search yang dibarisi Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) bergabung pula dengan Barbarik yang dianggotai Joe Branko (gitar), Muss (penyanyi), Ainol (dram), Rozaimie (bass) dan Adi (keyboard) pastinya amat dinantikan peminat rock.

Konsert Double Trouble 2 dianjurkan Alpha Nation, manakala pengurusan produksi oleh Laskhar Entertainment & Playmad Sdn Bhd. Urusan promosi pula dilakukan Mewah Event Management (MEM).

Joe berkata, walaupun berdepan cabaran, mereka berjanji akan berikan yang terbaik untuk Konsert Double Trouble 2 nanti.

“Kedua-dua konsert Search dan Barbarik sebelum ini memang sukses. Inilah cabarannya buat kami untuk mengekalkan momentum konsert itu,” katanya.

Menurut Joe, kedua-dua band ini banyak berbincang, bertukar-tukar idea bagi memastikan konsert ini yang terbaik.

“Saya kerap berjumpa dan berbincang dengan Noordin dan Kid. Kami juga banyak mengadakan pertemuan dengan penganjur,” katanya.

Joe berkata, konsep mereka kali ini tidak banyak beza dengan konsert Double Trouble yang pernah dianjurkan sebelum ini.

Kemungkinan kedua-dua band akan menyampaikan 10 lagu dan mereka juga akan memainkan enam lagu bersama-sama.

“Mungkin ada enam lagu di mana Search dan Barbarik akan bersama-sama di atas pentas. Tapi ini bukan masing-masing nak tunjuk ‘terror’, bukan nak ‘battle’ apa semua, tapi kami akan main sama-sama.” katanya.

Penganjuran konsert ini berinspirasikan daripada album Double Trouble 2 yang menggabungkan Search dan Wings pada 1998.

Search ketika itu menampilkan Amy (penyanyi), Noordin (gitar), Kid (gitar), Fauzi (bass) dan Allahyarham Yazit (dram), manakala Wings pula dibarisi Muss (penyanyi), Joe (gitar), Eddie (bass) dan Black (dram).

Dalam pada itu, Noordin berkata, kelebihan Konsert Double Trouble 2 ini kerana ia menampilkan pemuzik generasi selepas mereka seperti Denden dan Minn dari Search serta Ainol, Adi dan Rozaimie dari Barbarik.

“Kali ini biar mereka pula buktikan. Saya, Kid, Yan, Joe dan Muss adalah orang lama dan semua peminat sudah tahu. Mereka pula pemuzik generasi selepas kami yang cukup berbakat,” katanya.

Noordin berkata, pastinya ada kejutan dalam konsert ini nanti dan mereka berjanji akan membuatkan peminat puas selepas menonton persembahan mereka.

Tiket-tiket berharga RM129, RM139, RM159, RM169, RM179, RM199 dan RM359 (VIP) yang boleh dibeli di www.ilassotickets.com atau WhatsApp di talian 011-13297822.

Konsert AWIE ROMANTIKA

Datuk Awie atau lebih dikenali sebagai Awie merupakan sebuah nama besar dalam industri seni tempatan. Pemilik nama sebenar Ahmad Azhar bin Othman ini bukan sahaja dikenali sebagai figura rock lagenda malah beliau turut berjaya memahat namanya dalam bidang lakonan, pengacaraan dan melawak, sekali gus menjadikannya antara bintang tanahair yang paling versatil. Namanya mungkin lebih sinonim dengan kumpulan rock lagenda Wings apabila memulakan kerjaya seninya sebagai penyanyi utama kumpulan itu. Namun, bintang Awie tidak pernah berhenti bersinar walaupun pernah mengundurkan diri seketika dari kumpulan lagenda itu pada tahun 1993.

Langkah beraninya bergerak secara solo menyaksikan Awie tampil dengan lima buah album studio solo dan satu album ‘live’. Bermula dengan album solo pertamanya ‘Awie’ pada tahun 1994, yang memuatkan lagu hits seperti Tragedi Oktober, Ukiran Jiwa, Permainan Duniawi dan Dibayang Awan, album itu mencecah jualan 220,000 unit menjadikan beliau masih memegang Rekod Album Solo Lelaki Paling Laris Di Malaysia sehingga kini. Disusuli dengan album seperti Awie – “Live” Unplugged (1995), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000) dan Santai (2005) berjaya mencipta fenomena tersendiri dan menjulang popularitinya sebagai artis lelaki popular. Walaupun kembali menyertai Wings pada tahun 2000 dan terlibat dalam beberapa projek khas bersama Wings , perjalanan seninya sebagai penyanyi solo tetap berlangsung dengan jayanya.

Berbekalkan kekuatannya yang tersendiri, kerjaya seninya semakin berkembang apabila beliau berjaya menakluk cabang seni lakonan, pengacaraan dan melawak menjadi sebahagian portfolio seninya. Awie merupakan antara artis yang mempunyai kerjaya solo yang sangat cemerlang dan puncak kegemilangannya di persada seni adalah ketika beliau menjalani kerjayanya secara solo. Walaupun bermula sebagai vokalis utama Wings, Awie berjaya membina sebuah jenama yang tersendiri. Tanpa memerlukan sedikit pun bayangan jenama Wings di pangkal namanya, nama Awie tetap tersohor di zaman kegemilangannya sehingga kini.

Bagi meraikan ulangtahun ke-25 perjalanan seninya sebagai artis solo, Awie bakal mempersembahkan sebuah konsert istimewa bertemakan cinta berjudul KONSERT AWIE ROMANTIKA. Konsert ini bakal dipersembahkan di Stadium Malawati Shah Alam pada 15 Februari 2020, Jam 8:00 malam.

Sekiranya sbelum ini Awie lazim muncul dalam konsert bersama Wings, konsert yang menggandingkannya bersama lagenda rock tempatan seperti Ella, atau konsertnya bersama band projeknya Dragon Malaya. Kali ini KONSERT AWIE ROMANTIKA bakal menyajikan kelainan apabila buat pertama kalinya selepas hampir 25 tahun, Awie tampil dengan konsert solo. Kali terakhir Awie tampil solo dalam sesebuah konsert adalah menerusi konsert solo perdananya, Konsert Awie Live Unplugged di Live Centre KL pada tahun 1995.

Dalam konsert anjuran bersama Atirox Ltd dan IK Global Berhad ini, Awie bakal mempersembahkan seleksi lagu dari katalog album-album solonya yang diberikan susunan muzik yang lebih segar. Persembahan Awie bakal diiringi oleh pemuzik-pemuzik handalan dibawah pimpinan pengarah muzik ……………

Mengulas tentang penganjuran konsert ini, Awie berkata, “Konsert ini diadakan atas dasar meraikan ulangtahun jubli perak saya dalam dunia nyanyian solo. Untuk konsert ini saya cuba tampilkan persembahan berkonsepkan konsert teatrikal/muzikal yang mengangkat tema romantika.”

Walaupun konsert ini dijadualkan untuk dipersembahkan sehari selepas Hari Kasih Sayang (Valentine’s Day), namun jauh sekali niat kami untuk menyambut hari tersebut. Konsep konsert bercorak romantika sudah lama saya rancang, Cuma secara kebetulan saja tarikh 15 Februari dipilih setelah mengambilkira jadual seni saya dan mereka yang bakal terlibat dalam konsert ini,” jelas Awie lagi mengenai tarikh yang dipilih untuk KONSERT AWIE ROMANTIKA turut menampilkan artis undangan istimewa yang bakal diumumkan kelak.

Peminat boleh menjangkakan mereka bakal dihiburkan dengan gabungan lagu hits malar segar Awie yang suatu masa dahulu pernah membawanya ke pentas berprestij Anugerah Lagu, memenangi anugerah berprestij di Anugerah Industri Muzik dan mengangkatnya sebagai antara vokalis lelaki terunggul di Malaysia. Lagu seperti Tragedi Oktober, Ukiran Jiwa, Di Bayang Awan, Ratuku, Dipenjara Janji, Alif Ba Ta Duniaku dan banyak lagi yang pastinya akan membawa peminat mengimbau kembali tahun-tahun mereka bersama Awie.

Dalam menyatakan harapannya tentang sambutan peminat terhadap konsert ini, Awie berkata, “Setelah hampir 25 tahun tidak muncul dengan konsert secara solo, saya berharap peminat saya berasa teruja dengan penganjuran konsert ini. Dapatlah kiranya semua yang pernah membesar dengan lagu-lagu saya hadir ke konsert ini. Selain daripada berhibur, pihak penganjur juga ada menyediakan hadiah-hadiah istimewa dalam cabutan nombor bertuah. Istimewanya konsert bertema romantika yang dibawakan secara muzikal/teatrikal ini, sedikit sebanyak bakal membawa penonton mengimbau kembali zaman mereka masih muda, zaman ketika mereka baru mengenal erti cinta, ketika mereka baru merasa sakitnya patah hati, kisah cinta sebelum dan selepas ikatan perkahwinan. Pastinya konsert ini menjanjikan suatu pengalaman yang berbeza.”

Tiket KONSERT ROMANTIKA dijual bermula dengan harga RM88, RM128, RM188, RM238, RM308 dan RM438. EARLY BIRD 20% daripada harga semua tiket bermula 1hb Oktober 2019 hingga 30hb November 2019 . Tiket boleh dibeli secara online di: https://myticket.asia

MAKLUMAT KONSERT

“KONSERT AWIE ROMANTIKA” dianjurkan oleh ATIROX LTD & IK GLOBAL BERHAD

Tarikh : 15 Februari 2020

Masa : 8.00 malam

Tempat : Stadium Malawati Shah Alam

Artis : Awie

Harga Tiket : Free Seating – RM88 (Green Zone)

RM128 (Purple Zone)

Numbered Seating – RM188 (Yellow Zone)

RM238 (Red Zone)

RM308 (Grey Zone)

RM438 (VIP Zone)