Tag Archives: Standing In The Eyes Of The World

Ratu Rock Negara Ajak Penonton Bersolidariti Untuk Rakyat Palestin, Berhibur Sambil Beramal

Bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang, disaksikan hampir 14,000 penonton yang hadir memenuhi segenap ruang dengan kedudukan pentas yang berada di tengah-tengah arena, konsert ‘JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA’ edisi Pulau Pinang yang dibawakan khas oleh penganjur acara terkenal, Hitman Solutions melalui kolaborasi bernas bersama syarikat pengurusan Ella, RockQueen telah pun melabuhkan tirainya pada malam tadi.

Malam dimulakan dengan penampilan ratu rock negara, dalam busana serba putih membawa bendera Palestin memberi simbolik solidariti terhadap rakyat negara itu yang sedang berdepan dengan kemelut kemanusiaan, dan dalam nada tenang penuh keprihatinan, Ella menyeru, “Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan berdoa buat saudara kita yang terkorban dan sedang bergelut dengan konflik peperangan di sana, ‘free Palestine’!”

Sebelum konsert beraksi, persembahan montaj 35 tahun penglibatan Ella sepanjang berada dalam bidang seni dipersembahkan melalui kesan audio visual yang menarik dengan diiringi lagu Ulek Mayang.

Lagu pertama yang dipersembahkan, Risau menggamit memori kesemua penonton dengan sorakan yang gemuruh diikuti dengan Belenggu, Tiada Tangis Lagi, Sujud, Prinsip, Anak Patung, Retak, nggakPengemis Cinta, Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Layar Impian, Kitalah Bintang, Permata Biru, Standing In The Eyes Of The World dan Gemilang dengan hampir 40 buah lagu kesemuanya.

Malam konsert turut diserikan dengan penampilan istimewa oleh Kaka Azraff yang merupakan anak saudara Ella menyanyikan lagu Bawaku Pergi bersama adik Ella sendiri, penyanyi era 90-an, Korie, dan kemudian kedua-duanya menyanyikan lagu Pergilah Sayang.

Selain ahli keluarga, suami tercinta Ella, Kapten Azhar Ghazali turut berduet romantis bersamanya melalui lagu Peace Love Rindu dan Mendung Tak Bererti Hujan.

Kejutan yang paling ditunggu-tunggu oleh semua, kemunculan khas Dato’ Awie berduet bersama Ella menyanyikan lagu Baldu Biru dan nyanyian solo oleh Dato’ Awie sendiri melalui lagu hitnya, Penjara Janji.

KENYATAAN DARI ELLA:

“Alhamdulillah, pertama sekali terima kasih kepada semua penonton yang sudi hadir ke konsert saya dan buat semua krew yang terlibat.

“Walaupun berdepan dengan masalah kesihatan sejak 2 minggu yang lalu oleh kerana jerebu, saya agak risau jika malam konsert terpaksa dibatalkan, tapi berbekalkan doa serta semangat dari semua, saya berjaya melunaskan tanggungjawab saya pada malam ini untuk orang-orang utara.

“Saya rasa terharu berbaur sedih kerana berpeluang dapat membuat persembahan di tempat asal kelahiran saya.

“Dan terima kasih buat semua yang ‘support’ solidariti saya terhadap Palestin melalui sumbangan kepada tabung Cinta Gaza Malaysia, salah satu cara kita dapat membantu secara fizikal dan sudah pastinya doa dari anda semua.

“Peace, love, rindu.

KENYATAAN DARI EN. ROHIT RAMPAL, CEO & PENGASAS HITMAN SOLUTIONS:

“Saya bangga dapat bekerjasama dengan Ella sekali lagi kini di lokasi yang ketiga selepas kejayaan konsert di Kuala Lumpur yang memecah tradisi dengan jualan tiket ‘sold-out’ dalam masa 24 jam, dan di atas permintaan ramai, disambung ke malam kedua.

“Impian kami (Hitman Solutions) adalah dengan terus meningkatkan penanda aras setiap konsert, memberikan sesuatu yang unik dan berlainan di setiap persembahan Ella.

“Nantikan konsert yang seterusnya pada suku pertama tahun hadapan yang akan diadakan di Sabah pula, jadi nantikan tarikhnya.

Album kompilasi “Ella #Throwback

ELLA #THROWBACK

Sebagai Ratu Rock Malaysia yang mempunyai pengikut yang ramai, Warner Music Malaysia kini menampilkan sebuah lagi album kompilasi Ella yang menggabungkan lagu-lagu terbaik Ella sepanjang beliau bergelar sebagai seorang penyanyi yang berjudul “Ella #Throwback”. Perkataan throwback dipilih sesuai dengan trend semasa yang sering diguna pakai oleh penggemar media sosial untuk mengimbau kenangan atau memori yang lepas. Lagu-lagu di dalam album ini juga pastinya akan menggamit semula kenangan kita semua terutama sekali kepada mereka yang membesar dengan lagu-lagu Ella.

Ella yang mula menempah nama di industri muzik tanah air sejak tahun 1990-an telah menghasilkan banyak lagu-lagu hits rock terbaik seperti ‘Permata Biru’, ‘Layar Impian’, ‘Kesal’, dan ‘Sembilu’. Memulakan karier nyanyiannya sejurus menamatkan alam persekolahan, Ella menyertai kumpulan The Boys dan merakamkan suara buat pertama kali pada tahun 1986, di saat kegemilangan muzik rock di Malaysia bermula. Selepas menghasilkan 2 buah album bersama The Boys, Ella mengambil langkah berani untuk muncul sebagai penyanyi solo pada tahun 1989 dan tampil dengan album hit pertama bertajuk “Pengemis Cinta” yang menampilkan lagu-lagu hit seperti ‘Pengemis Cinta’ dan ‘Permata Biru’.

Zaman kemuncak populariti Ella bermula pada tahun 1992, dimana Ella menerbitkan sebuah album bersama EMI yang berjudul “30110” dimana album tersebut telah berjaya mencipta sejarah sebagai album pertama yang mencapai jualan tertinggi dalam masa yang singkat. Pada tahun 1994 pula adalah tahun yang paling bermakna dalam karier Ella selepas hampir sedekad bergelar anak seni dimana beliau telah berjaya merakamkan sebuah album iaitu “Ella USA”. Album “Ella USA” adalah album yang dirakamkan penuh di Amerika Syarikat. Ia sekaligus telah menjadikan Ella sebagai penyanyi Malaysia pertama yang berjaya merakamkan album penuh di sana. Sepanjang kariernya juga, Ella pernah bergandingan bersama beberapa nama penyanyi besar seperti Datuk Ramli Sarip, Deddy Dores, Awie, Tam Spider, Slash dan ramai lagi. Bakat Ella bukan sahaja terpamer di pentas-pentas atau pun di corong-corong radio, bahkan Ella pernah mengembangkan sayap bakatnya di layar perak.

Salah satu kehebatan Ratu Rock Malaysia ini juga boleh dilihat pada tahun 1998 apabila Malaysia menjadi tuan rumah untuk acara Sukan Komanwel 1998 dan Ella telah dipilih untuk menyanyikan lagu tema untuk acara tersebut yang bertajuk ‘Standing In The Eyes Of The World’. Ella merupakan satu-satunya artis Malaysia yang dipilih untuk menjadi penyanyi bagi lagu tema tersebut.

Album kompilasi “Ella #Throwback” ini mengandungi lagu-lagu yang hebat seperti ‘Mendung Tak Bererti Hujan’ nyanyian bersama Deddy Dores, ‘Tiada Tangis Lagi’, ‘Gemilang’, ‘Terminal Cinta’ dan juga mempunyai hasil karya dari penulis lirik dan komposer yang termahsyur di tanah air seperti Ajai, Fauzi Marzuki, Datuk M Nasir, Habsah Hassan, dan ramai lagi.  Untuk lagu ‘Gemilang’ ia telah dikarang oleh Kyoji Yamamoto di mana Ella telah bergabung dengan komposer Jepun untuk menghasilkan lagu tersebut.

Tidak dinafikan bahawa terdapat banyak album kompilasi Ella yang sudah dipasarkan sebelum ini, namun atas permintaan yang amat memberangsangkan dan Ella sendiri mempunyai banyak lagu hits, pihak Warner Music Malaysia dengan berbesar hati menerbitkan satu lagi album kompilasi yang lain dari sebelum ini.

Album ini merupakan album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu hit Ella dengan menampilkan 32 buah lagu yang diambil daripada album pertama beliau sehinggalah single terbaru beliau yang telah dirakam pada tahun 2013 seperti ‘Mereka Di Depan Kita’, ‘Permaisuri’ nyanyian bersama Ajai dan ‘Chinta Dulu Kala’ nyanyian bersama Azlan Typewritter.

Album “Ella #Throwback” ini merupakan satu lagi edaran Warner Music (M) Sdn Bhd dan boleh didapati dengan harga RM29.90.

Senarai lagu CD 1

  1. Permata Biru
  2. Layar Impian
  3. Kesal
  4. Mereka Yang Di Depan Kita
  5. Hati Di Padu
  6. Dunia Kehidupan
  7. Kau Yang Pertama
  8. Sembilu
  9. Semarak Cinta
  10. Rama Rama
  11. Puteri Kota
  12. Aku Tetap Wanita
  13. Cinta Selembut Sutera
  14. Kembara Kita – Bersama Datuk Ramli Sarip
  15. Prinsip
  16. Anak Patung

Senarai Lagu CD 2

  1. Mendung Tak Bererti Hujan – Bersama Deddy Dores
  2. Cinta Dusta
  3. Tiada Tangis Lagi
  4. Ku Penanti Setia
  5. Di Percintaan Itu
  6. Gemilang
  7. Pengemis Cinta
  8. Terminal Cinta
  9. Standing In The Eyes Of The World
  10. Permaisuri – Bersama Ajai
  11. Cinta Mawar Putih
  12. Sepi Sekuntum Mawar Merah
  13. Chinta Dulu Kala – Bersama Azlan Typewriter
  14. Di Perlumbaan Ini
  15. Puteri Kota (Remix)
  16. Permata Biru (Remix)