Tag Archives: Tenxi

SUPER GT MALAYSIA FESTIVAL 2025 TAWARKAN GABUNGAN HEBAT PERLUMBAAN, HIBURAN DAN HADIAH MEWAH

SUPER GT kembali mewarnai bumi Malaysia selepas 12 tahun apabila Litar Antarabangsa Sepang Petronas bakal menjadi pentas kepada penganjuran berskala mega — SUPER GT Malaysia Festival 2025 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Jun ini. Bukan sekadar perlumbaan, acara ini menjanjikan pengalaman festival penuh warna-warni, menyatukan elemen kelajuan, budaya Jepun, muzik, dan ganjaran lumayan yang pastinya mencetus keterujaan.

Tahun ini, pembelian satu tiket sahaja bukan sekadar membawa peminat ke perlumbaan bertaraf dunia, malah melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah untuk memenangi sebuah Toyota GR Supra baharu bernilai RM650,000. Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara HARO Sports & Entertainment sebagai penganjur rasmi SUPER GT Malaysia dan Mastercard selaku Rakan Pembayaran dan Pengalaman Rasmi. Cabutan akan dijalankan secara langsung di pentas utama selepas perlumbaan semasa Konsert GT Live!, dan penyertaan terbuka kepada pembeli tiket terpilih yang menggunakan kad Mastercard dari 1 hingga 28 Jun 2025. Antara kategori tiket yang layak ialah Main Grandstand, GT Suite, GT Live! Rock Zone, GT Club Paddock serta pakej Experience, Ultimate dan Dream, manakala pembeli tiket K1 Grandstand tidak layak menyertai cabutan ini.

Festival ini turut menampilkan pelancaran rasmi GR86 Cup Malaysia Series, sebuah siri perlumbaan satu model yang mengetengahkan jentera Toyota GR86 baharu. Dianjurkan oleh HARO Sports & Entertainment, siri ini dirancang dalam tiga pusingan sepanjang tahun, bermula sebagai perlumbaan sokongan kepada SUPER GT dengan dua perlumbaan 10 pusingan. Setiap unit GR86 Cup direka khusus untuk litar dan mematuhi kategori SP1 Kejohanan Malaysia, ditawarkan dalam jumlah terhad sebanyak 30 unit pada harga RM208,315 seunit. Dengan enjin 228HP dan pelbagai komponen prestasi tinggi termasuk sistem brek Advics, ekzos Fujitsubo, suspensi KW, dan tayar Bridgestone Potenza RE-71RS, jentera ini menawarkan keseimbangan antara kuasa dan kendalian yang optimum.

Sementara peminat sukan permotoran menyaksikan deruman jentera GT500 dan GT300, mereka juga akan disajikan dengan kemunculan dua pelumba negara, Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva, yang bakal mewakili Malaysia dalam kelas GT300. Jazeman akan bergandingan dengan Kerong Li dari Amerika Syarikat dalam jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO, manakala Adrian akan memandu bersama juara Le Mans, Earl Bamber. Penyertaan ini menjadi detik penting dalam kerjaya Jazeman setelah perancangannya untuk menyertai perlumbaan ini pada tahun 2020 tertangguh.

Aspek hiburan tidak kurang hebatnya. Konsert GT Live! bakal berlangsung sebagai acara kemuncak pada malam perlumbaan, menampilkan barisan artis dari pelbagai negara yang kini sedang mencetuskan fenomena di media sosial. Trio Indonesia, Tenxi, Naykilla dan Jemsii (TNJ) akan mempersembahkan lagu viral “Garam & Madu (Sakit Dadaku)” yang mencatat lebih 100 juta tontonan di YouTube dan menjadi fenomena TikTok serantau. Turut bersama mereka ialah kumpulan J-Pop dan M-Pop terkenal KLP48, serta bintang muda Malaysia seperti FAREED dari K-Clique, Sabhi Saddi dan Kaka Azraff.

Festival ini juga akan menyaksikan penganjuran Pusingan 2 Toyota GAZOO Racing Vios Challenge Musim 8, perlumbaan satu model yang mempertemukan pelumba profesional, amatur dan bakat muda dalam jentera Toyota Vios yang disediakan secara identik. Dalam masa yang sama, pengunjung boleh menikmati pelbagai tarikan sampingan termasuk zon interaktif peminat, simulator perlumbaan, sesi uji pandu, pameran kenderaan GAZOO Racing, barangan eksklusif serta penampilan istimewa duta dan pelumba rasmi.

Bagi memeriahkan suasana, Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) turut mengambil bahagian dengan membuka gerai menjual barangan rasmi pasukan kebangsaan Samurai Blue, termasuk jersi replika, skaf tuala dan happi coat, dalam usaha mengukuhkan hubungan dengan peminat Asia yang menyokong bola sepak Jepun.

Penganjuran SUPER GT Malaysia Festival 2025 turut disokong oleh UMW Toyota Motor dan Toyota GAZOO Racing Malaysia selaku penaja utama, Mastercard sebagai rakan pembayaran, Bridgestone sebagai pembekal tayar rasmi GR86 Cup, serta CraftLab Asia sebagai rakan visual rasmi. Selangor FC juga terlibat sebagai rakan strategik dalam menjayakan kandungan kreatif yang menghubungkan sukan permotoran dan bola sepak.

Acara ini diadakan sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Selangor 2025, dengan sokongan padu daripada Tourism Malaysia dan Tourism Selangor. Orang ramai boleh mendapatkan tiket dan maklumat lanjut di laman web rasmi www.supergtmalaysia.com, atau kunjungi siri jelajah festival di Sungei Wang Plaza dari 29 Mei hingga 1 Jun dan 6 hingga 8 Jun, serta di Lot 10 pada 3 hingga 5 Jun, yang menawarkan pelbagai permainan interaktif dan hadiah menarik.

GT LIVE! KONSERT PASCA PERLUMBAAN BAKAL MENGHANGATKAN SUPER GT MALAYSIA FESTIVAL 2025

Bersiap sedia untuk letupan hiburan dengan GT Live! — konsert pasca perlumbaan yang menghimpunkan bintang muzik sensasi dari seluruh rantau ke atas pentas SUPER GT Malaysia Festival 2025.

Tiket Early Bird masih boleh didapati — terhad untuk masa tertentu!

UMW Toyota Motor dan Toyota GAZOO Racing Malaysia diumumkan sebagai Penaja Utama bagi SUPER GT Malaysia Festival 2025, manakala Bridgestone pula menjadi Pembekal Tayar Rasmi untuk penganjuran sulung GR86 Cup Malaysia Series.

Dengan hanya serendah RM80, pengunjung SUPER GT Malaysia Festival bakal menikmati kejutan epik! Acara ini akan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun di Litar Antarabangsa Sepang Petronas dan turut menampilkan GT Live! — konsert yang menyatukan muzik dan perlumbaan dalam satu pengalaman luar biasa.

Menurut pemegang hak dan penganjur, HARO Sports & Entertainment serta rakan penganjur Nihon Matsuri, acara ini bukan sekadar perlumbaan. Ia sebuah festival berskala besar yang turut menampilkan pameran makanan dan budaya Jepun.

“SUPER GT Malaysia Festival bukan sekadar perlumbaan, ia acara hiburan menyeluruh. Daripada pameran automotif hingga ke persembahan budaya Jepun, himpunan kereta JDM dan kemuncaknya — konsert GT Live! Apa pun minat anda, satu tiket membuka akses ke semua tarikan ini,” ujar Fahrizal Hasan, Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment.

Sebagai tarikan utama GT Live!, peminat bakal disajikan dengan persembahan daripada sensasi media sosial Indonesia — Tenxi, Naykilla dan Jemsii (gabungan trio dikenali sebagai TNJ), yang bakal mempersembahkan lagu viral mereka “Garam & Madu (Sakit Dadaku)” secara langsung di pentas utama.

Turut menyerikan pentas ialah kumpulan wanita terkenal J-Pop dan M-Pop, KLP48, serta barisan artis Malaysia seperti FAREED dari K-Clique, Sabhi Saddi dan Kaka Azraff.

“Garam & Madu” mencetuskan fenomena global! Lagu ini bukan sekadar muzik, ia ledakan budaya — gabungan unik hip-hop dan dangdut yang dipacu irama elektronik. Sejak dilancarkan, lagu ini telah mencatat lebih 114 juta tontonan di YouTube dan mendominasi carta di Indonesia termasuk Billboard Indonesia dan Carta Rasmi Indonesia.

Tiket GT Live! boleh didapati pada harga promosi awal serendah RM80. Peringkat tiket termasuk:

  • RM80 (harga biasa RM100) – K1 Grandstand
  • RM200 (harga biasa RM250) – Main Grandstand
  • RM350 – GT Suite
  • RM500 – GT Live! Rock Zone
  • RM2,000 – GT Club Paddock

Untuk maklumat lanjut, layari: www.supergtmalaysia.com

Sebagai Penaja Utama, UMW Toyota Motor dan Toyota GAZOO Racing Malaysia turut menganjurkan Pusingan 2 Toyota GAZOO Racing Vios Challenge 2025 – siri perlumbaan satu model paling popular Malaysia yang menggabungkan pelumba profesional, amatur dan bakat muda.

“Kerjasama ini menyatukan kehebatan perlumbaan GT Jepun dengan semangat sukan permotoran Malaysia – satu sambutan hebat kelajuan, budaya dan komuniti,” tambah Fahrizal.

Antara tarikan tambahan di Festival ini:

  • Pameran kereta perlumbaan & pratonton eksklusif kenderaan
  • Zon interaksi peminat & simulator
  • Penampilan pelumba & duta GAZOO Racing
  • Barangan rasmi & hadiah eksklusif

Bridgestone turut serta sebagai Pembekal Tayar Rasmi GR86 Cup Malaysia Series yang akan dilangsungkan bersama SUPER GT. Siri perlumbaan satu model ini menampilkan Toyota GR86 dan akan berlangsung sebanyak tiga pusingan di Sepang, bermula dengan dua perlumbaan 10 pusingan sempena SUPER GT 2025.

Selain itu, HARO Sports & Entertainment mengalu-alukan kerjasama strategik dengan Selangor FC yang bakal membuka ruang kolaborasi antara sukan permotoran dan bola sepak dalam meneroka kandungan kreatif dan peluang komersial baharu.

CraftLab Asia juga turut serta sebagai Rakan Visual Rasmi bagi kerja balutan kenderaan dalam jelajah promosi SUPER GT Malaysia.

SUPER GT Malaysia Festival 2025 diadakan sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Selangor 2025 dengan sokongan rasmi dari Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.supergtmalaysia.com