Tag Archives: Wafiy

Drama Ulang Kaji Interaktif UPSR Pertama Di Malaysia

Astro dengan bangganya mempersembahkan GENG UPSR, drama ulang kaji interaktif UPSR pertama di Malaysia yang akan bersiaran secara eksklusif di Astro Tutor TV UPSR (Saluran 601), setiap Jumaat, jam 4.00 petang, mulai 12 Jun 2015.

Belajar, berinteraksi dan berhibur sambil mengikuti kisah Hud, seorang pelajar darjah 6 yang hilang ingatan akibat kemalangan yang tidak diduga pada saat tarikh peperiksaan UPSR semakin hampir. Mujurlah rakan-rakan sekolah Hud mengetepikan perbezaan antara mereka bagi memastikan Hud cukup bersedia menghadapi UPSR nanti.

Drama ini dibintangi pelakon-pelakon handalan seperti Sheikh Baseer, Wafiy, Erissa, Elyn Leong, Danish Zakwan dan Rafael El Arash. Mereka akan turut disertai oleh Daiyan Trisha, Ewal dan Qistina Raisah. Selebriti seperti Datuk Aznil Haji Nawawi dan Altimet tidak ketinggalan untuk membuat penampilan istimewa dalam siri ini.

SAM_8190

Drama ulang kaji interaktif UPSR sebanyak 10 episod ini dilengkapi dengan aplikasi i-Tutor. Ini membolehkan pembelajaran interaktif dilakukan terhadap kesemua subjek secara langsung semasa para pelajar menonton drama bersiri ini di televisyen. Kaedah ini juga meningkatkan pembelajaran menerusi nota ulang kaji dalam bentuk grafik dan menguji pemahaman mereka dalam subjek utama UPSR iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dengan mencuba pelbagai kuiz yang disediakan di aplikasi i-Tutor.

i-Tutor boleh diakses melalui PC, komputer riba, telefon bimbit atau komputer tablet. Versi Android dan iOS aplikasi ini boleh dimuat turun dengan percuma mulai 1 Jun 2015. Para pelajar yang mengambil bahagian dalam kuiz mingguan ketika menonton GENG UPSR berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik, termasuk iPad Mini 3. Untuk menyertainya, para pelajar boleh muat turun aplikasi i-Tutor atau melayari i-tutor.my.

Bukan itu sahaja, para pelajar juga berpeluang mendapatkan pengalaman sesi pembelajaran melalui aktiviti luaran iaitu Cabaran GENG UPSR yang mana mereka dikehendaki bekerjasama sesame sendiri dalam menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan UPSR untuk melepaskan diri dari bilik rahsia.

Pelancaran GENG UPSR ini merupakan komitmen Astro untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia kandungan yang mendidik, memberi maklumat dan memperkayakan kehidupan. Selain hiburan terbaik, Astro berbesar hati menjadi Rakan Strategik Kokurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia dan akan terus menyediakan kandungan yang berkualiti berlandaskan sukatan pelajaran akademik yang diluluskan oleh kementerian menerusi Astro Tutor TV.

Puan Loo Fui Lin, Penolong Naib Presiden Astro Tutor TV UPSR berkata, “GENG UPSR merupakan drama ulang kaji interaktif UPSR yang pertama di Malaysia. Drama 30 minit ini menggalakkan pelajar mengulang kaji pelbagai topik secara berkumpulan. Pada masa yang sama, ini boleh meningkatkan kemahiran sosial mereka. Apabila penonton mengikuti perjalanan Hud dan rakan-rakannya semasa menghadapi UPSR, mereka akan belajar pelbagai topik yang dikaitkan dengan jalan cerita supaya suasana pembelajaran menjadi lebih seronok dan menarik.”

Jangan lupa mengikuti kisah GENG UPSR di Astro Tutor TV UPSR (Saluran 601), setiap Jumaat, jam 4.00 petang, mulai 12 Jun 2015. Di samping bersiap sedia menghadapi peperiksaan UPSR, para pelajar boleh berhibur dengan drama ulang kaji interaktif UPSR yang pertama di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai GENG UPSR, i-Tutor dan Cabaran GENG UPSR, sila layari www.tutortv.com.my/upsr. Untuk melanggan ASTRO, sila hubungi 03-9543 3838 atau layari www.astro.com.my.

‘KELAS 601’ Bantu Persiapan Calon UPSR

Kelas 601_main cast

Bagi membantu persiapan calon-calon yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal mengunjung tiba, Astro Tutor TV UPSR dengan berbesar hati dan penuh rasa tanggungjawab akan membawakan sebuah program hiburan berpendidikan baru yang menekankan penggunaan Bahasa Melayu yang tepat berjudul Kelas 601, pada setiap hari Sabtu bermula dari 2 Ogos 2014, jam 5 petang secara ekslusif di Astro Tutor TV UPSR (Saluran 601). 

Kelas 601 bakal menampilkan gabungan barisan bakat baru dan juga selebriti berpengalaman dalam industri hiburan tanah air sebagai teraju utama. Pelakon muda yang sedang meningkat naik, Elfira Loy akan bergandingan dengan seorang pelawak yang cukup berbakat dalam bidang seni iaitu Yus dari kumpulan Jambu. Dua orang selebriti cilik yang dicungkil bakat menerusi program Ceria Popstar Musim Kedua iaitu Wafiy dan Trisha akan turut serta di dalam program ini bersama seorang ikon fesyen yang tidak asing lagi iaitu Wak Doyok.

Program hiburan berpendidikan ini bertujuan untuk memperkayakan kemahiran penggunaan bahasa kebangsaan dengan tepat melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan. Program yang berdurasi selama sepuluh minit setiap episod ini akan mempersiapkan calon-calon UPSR dengan pembetulan bagi setiap kesalahan lazim tatabahasa, tip-tip untuk menjawab soalan UPSR, nota poket yang ringkas dan padat serta formula bagi menghafal nota Bahasa Melayu mengikut kaedah peta minda.

Vickie Lai, Ketua Bahagian Pendidikan Astro berkata, “Seiring dengan peperiksaan UPSR yang semakin hampir, kami berasa terpanggil untuk menyediakan satu platform bagi calon-calon untuk mendapatkan tip-tip penting pada saat akhir. Kami juga sentiasa berusaha untuk menghasilkan sesuatu program dengan pembelajaran yang dapat difahami dan diingati dengan lebih mudah oleh para pelajar. Lantaran itu, kami mencetuskan idea untuk menggabungkan pembelajaran Bahasa Melayu UPSR dengan sedikit sentuhan elemen komedi. 

Melalui gabungan barisan selebriti yang mantap, kaedah penerangan dengan bantuan grafik menarik yang sangat mudah difahami dan jalan cerita dengan suntikan komedi pastinya akan membuatkan Kelas 601 menjadi sebuah alat bantuan pembelajaran yang berkesan untuk para pelajar bagi menambah baik kemahiran tatabahasa, kosa kata, serta mendalami keunikan seni Bahasa Melayu itu sendiri. Kami berharap agar inisiatif yang cuba kami usulkan ini akan mendapat maklum balas positif serta diterima baik oleh semua peringkat golongan khususnya barisan calon yang bakal menduduki peperiksaan UPSR”. 

Setiap episod bakal menampilkan beberapa kesalahan lazim penggunaan Bahasa Melayu di dalam penulisan dan juga perbualan harian oleh watak-watak utama iaitu Afiq (Wafiy), Sara (Trisya), Abang Bob (Yus Jambu) dan Abang Lokman (Wak Doyok) menerusi sisipan di dalam rangkaian jalan cerita yang menarik. Di sini, Kak Linda (Elfira Loy) bertindak sebagai tutor yang akan membetulkan setiap kesalahan dan memberikan kaedah penggunaan Bahasa Melayu yang tepat di samping memberikan tip-tip yang pastinya berguna semasa menjawab soalan UPSR nanti.

Oleh itu, jangan ketinggalan untuk menonton Kelas 601, pada setiap hari Sabtu bermula dari 2 Ogos 2014, jam 5 petang secara eksklusif hanya di Astro Tutor TV UPSR (Saluran 601). Kelas 601, membantu anda mahir dalam Bahasa Melayu.