Tag Archives: Wan Sharmila

Drama Dekatkan Jarak Kita capai 9 juta penonton

Drama bersiri ‘Dekatkan Jarak Kita’ yang telah bersiaran selama 15 episod di slot Samarinda terbukti mendapat tempat di hati penonton seluruh negara. Menurut Nielsen Malaysia, Dekatkan Jarak Kita yang membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Ayda Jebat, Syafiq Kyle, Wan Sharmila, Nadia Brian, Catriona Ross dan Azhan Rani telah meraih ratings terkumpul sebanyak 9 juta penonton sepanjang drama itu bersiaran.

Selain di hadapan kaca televisyen, drama Dekatkan Jarak Kita juga telah menjadi perbualan hangat di media sosial melalui tanda pagar #DekatkanJarakKita sehingga telah menjadi sohor kini (trending) nombor satu untuk setiap episod. Selain itu, Dekatkan Jarak Kita telah mencatatkan lebih 80,000 tontonan di portal video tonton dalam masa sebulan.

Dekatkan Jarak Kita adalah sebuah drama  bersiri 15 episod bertemakan kekeluargaan dan kasih sayang yang diterbitkan oleh JS Pictures Sdn. Bhd di bawah arahan saudara Azman Hj. Yahya @ Jinggo. Drama ini mengisahkan sepasang kembar tidak seiras, Tashriq dan Sofea yang tinggal bersama ibu mereka, Umi Khadijah setelah kematian ayah mereka akibat serangan sakit jantung. Tuan Kamil, sahabat lama keluarga itu muncul dalam kehidupan mereka dengan niat untuk membantu Umi Khadijah dalam menjalani kehidupannya. Tidak lama setelah kemunculannya itu, Umi Khadijah dan Tuan Kamil berkahwin. Walau bagaimanapun, Umi Khadijah tidak mengetahui bahawa Tuan Kamil mempunyai agendanya yang tersendiri iaitu untuk merampas harta Umi Khadijah kerana Tuan Kamil sebenarnya telah muflis. Namun, setelah kehilangan Sofea, keluarganya digemparkan apabila Alyssa, yang mirip dengan Sofea kembali untuk menuntut keadilan untuk Sofea dan memperbetul keadaan keluarga itu.

Dekatkan Jarak Kita telah bersiaran pada setiap Isnin hingga Rabu pada pukul 10 malam di TV3 dalam slot Samarinda daripada 21 November 2017 sehingga 25 Disember 2017. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan youtube TV3 iaitu @TV3Malaysia.                                                                                                                                                                   

Cinta Si Wedding Planner

Siapa sangka, Adi Putra yang sentiasa kelihatan serius, tegas dan sedikit ego berjaya dilembutkan dengan keayuan dan kesopanan pendatang baharu dalam bidang lakonan yang juga model pakaian muslimah iaitu Mira Filzah. Namun anda jangan salah sangka, Adi Putra hanya terpikat dengan Mira Filzah dalam drama terbaharu lakonan yang menggandingkan mereka berdua sebagai hero dan heroin untuk drama terbaharu slot Akasia bermula 30 Disember ini, iaitu Cinta Si Wedding Planner.

cswp 12

Cinta Si Wedding Planner yang diadaptasi daripada novel nukilan Dhiyana terbitan Karya Seni ini turut dilakonkan Fadlan Hazim, Shikin Kamal, Shima Anuar, Rosnah Johari, Dian P.Ramlee, Wan Sharmila, Idris Md. Diah dan ramai lagi. Drama 28 episod ini hasil terbitan Primeworks Studio, diarahkan oleh Along Kamaluddin manakala skrip ditulis oleh oleh Mufid Suhaimi.

cswp 19

Izara Batrisya (Zara), si wedding planner, tidak menduga cinta yang disulam bersama sepupunya, Bazli selama 4 tahun musnah kerana sebuah hakikat. Dalam hati Zara ketika itu, hanya ada Bazli, sepupunya sendiri. Walau terkadang Zara sering tertanya perasaan dihatinya itu benar-benar cinta atau hanya kasihkan Bazli sebagai seorang abang. Namun jodoh sememangnya bukan milik mereka. Satu hakikat yang selama ini dirahsiakan oleh Mak lang dan Pak Lang memudarkan rasa kasih di hati Zara.

cswp 9

Pertemuan Fariz dan Zara kerana berebutkan tempat parkir kereta telah mendatangkan satu perasaan kepada Fariz.Fariz Adryan (Fariz), bekas tentera laut pernah dicurangi Shirah, kekasih yang hampir menjadi tunangannya, sehingga tertutup pintu hati untuk sebarang wanita. Kerana itu juga, Fariz selalu sahaja bersikap tegas dan ego apabila berdepan dengan Zara. Berlaku pertemuan demi pertemuan yang tak disangka antara Zara dan Fariz. Pertemuan di kampung halaman Zara secara kebetulan membuka ruang yang lebih untuk Fariz mengenali Zara.

cswp 5

Meski Fariz selalu mengejek dan menguji Zara, hanya lelaki itu dapat membuatkan Zara melupakan Bazli. Dalam kerasnya hati lelaki itu, ada juga penyayangnya. Mereka saling mengenali dan berkahwin. Karakter Fariz yang panas baran telah berubah menjadi suami yang sangat baik dan begitu juga Zara yang menjadi isteri sempurna kepada Fariz. Sehinggalah, cinta pertama Fariz, Shirah muncul kembali dan menyebabkan rumahtangganya berantakan. Zara yang kecewa dengan perubahan sikat Fariz, menuntut cerai dan membawa diri ke bumi Auckland.

cswp 16

Apakah tindakan Fariz, dan adakah musnah rumah tangga mereka? Ikuti kesudahan drama lakonan Mira Filzah dan Adi Putra yang pasti mencuit hati anda dalam Cinta Si Wedding Planner, setiap Isnin hingga khamis, jam 6.58 malam di TV3. Jika anda ketinggalan untuk mengikuti drama ini sila layari www.tonton.com.my untuk siaran ulangannya.

https://www.youtube.com/watch?v=4ly4ZoUXSI0