Tag Archives: Yus Jambu

ACHEY Menemui RM10,000 Ketika Sesat

Merangkul kemenangannya yang ketiga, Achey sekali lagi dinobatkan juara mingguan dalam Konsert Kelapan Qu Puteh Bintang Bersama Bintang, malam semalam. Konsert yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam malam kelmarin, Titan, Bocik, Sumbu, dan Chilok telah menghidupkan zaman persekolahan kita sempena tema minggu kelapan ini, sekolah, kolej, dan IPT.

DEX_1843

Konsert Kelapan Qu Puteh Bintang Bersama Bintang (QPBBB) turut menampilkan Noh Salleh bersama Fauziah Ahmad Daud selaku juri jemputan dan Pengasas Vida Beauty, YBhg. Dato’ Seri Dr. Hajah Hasmiza Othman, selaku juri tetap. Peserta telah dinilai oleh para juri yang mewakili 50% markah keseluruhan, manakala lagi 50% markah adalah berdasarkan undian melalui SMS oleh penonton.

DEX_1662

Minggu yang bertemakan sekolah, kolej dan IPT ini, Achey mempersembahkan sebuah sketsa mengenai dua orang pengakap yang sedang berkhemah di hutan. Atu muncul dalam keadaan panik kerana sesat dalam hutan itu, Achey pula seorang pengakap yang handal dalam ilmu ‘survival’ yang akhirnya turut panik kerana tidak pandai menghidupkan api menggunakan kayu. Adegan lucu berlaku antara mereka sewaktu bertengkar tentang cara untuk terus hidup dalam hutan itu.

Menurut Achey, selaku juara mingguan malam semalam, “Cabaran terbesar yang saya hadapi minggu ini adalah mendapat artis jemputan yang perlu bergandingan dengan saya. Hal ini kerana, pada asalnya saya akan bergandingan dengan Dato AC Mizal, tetapi atas beberapa hal yang tidak dapat dielakkan, saya menggantikannya dengan Atu Zero pada saat akhir. Alhamdulillah kerana sememangnya Atu dan saya mempunyai keserasian, kami berjaya menghidupkan watak sebagai dua orang pengakap yang terperangkap di hutan.”

DEX_1893

Berikut adalah senarai artis jemputan yang telah berganding dengan peserta malam semalam.

KUMPULAN ARTIS JEMPUTAN
ACHEY Atu Zero
BOCIK Yus Jambu
TITAN Khir Rahman
SUMBU Anas Ridhwan
CHILOK Sharif Zero

Penonton QPBBB boleh mengundi peserta kegemaran mereka dengan menaip BBB untuk satu undian atau BBB5 untuk lima undian diikuti <JARAK> <NAMA PESERTA> dan hantar ke 33399. Setiap satu undian akan dikenakan caj sebanyak RM 0.50.

DEX_1776

QPBBB dihoskan oleh AG Hot FM dan Yana Samsudin dan juga Fizie Hot FM selaku pengacara di belakang tabir. QPBBB turut dimeriahkan lagi oleh penaja utama iaitu Pamoga Qu Puteh. Berlainan dengan program realiti lain, QPBBB menawarkan RM10,000 untuk dimenangi setiap minggu . Hadiah wang tunai RM10,000 ini juga menjadi pembakar semangat mereka untuk terus berentap hingga ke Super QPBBB bagi merebut hadiah utama berjumlah RM50,000!

Penonton juga boleh menilai persembahan para peserta melalui skala dalam talian di www.tv3.com.my/qpbbb. Selain itu, para penonton dialu-alukan untuk menyertai pertandingan ‘Teka-Teki Kelakar’ dengan memuat naik sebarang teka-teki lucu dalam bentuk teks bergambar di laman sosial Instagram beserta #QuBintang di ruang kapsyen. Pemenang mingguan akan diumumkan semasa konsert mingguan Qu Puteh Bintang Bersama Bintang dan diberi hadiah eksklusif TV3.

DEX_1756

Penglibatan tambahan penonton bermula minggu kelapan, adalah pertandingan Youtube yang dianjurkan oleh penaja utama Qu Puteh Bintang Bersama Bintang dan Pengasas Vida Beauty, YBhg. Dato’ Seri Dr. Hajah Hasmiza Othman, Dato’ Seri Vida. Pertandingan yang berlangsung sehingga Konsert Akhir QPBBB, kelima-lima peserta QPBBB hendaklah membuat sketsa promosi produk Vida Beauty selama 3 minit untuk dimuatnaik ke Youtube. Penonton setia QPBBB dialu-alukan untuk menonton sketsa tersebut di www.youtube.com/tv3 kerana sketsa peserta yang mendapat penoton paling ramai, akan memenangi wang tunai sehingga RM6,000 dari pihak penganjur pertandingan ini.

Selain itu, penglibatan tambahan lagi untuk para penonton setia kami. Sepasang tiket penerbangan Air Asia diletakkan sebagai rebutan bermula 1 Jun 2015. Sebuah pertandingan Cabaran Dubsmash QPBBB dianjurkan untuk para penonton yang masih tidak kering gusi berjenaka. Cara-cara penyertaan adalah seperti berikut:

  1. Memuatnaik video dubsmash anda di akaun instagram anda!
  2. Meletakkan hashtag #QuBintang dan tag @tv3malaysia
  3. Akaun Instagram anda haruslah ditetapkan sebagai umum!
  4. Pemenang pertandingan akan diumumkan pada 14 Jun dalam Super Qu Puteh Bintang Bersama Bintang.

Ikuti Konsert Mingguan QPBBB pada setiap hari Ahad pada jam 9.00 hingga 10.30 malam. Ikuti juga perkembangan persiapan mereka dalam Spy Qu Puteh Bintang Bersama Bintang pada setiap hari Ahad, jam 6.00 petang. Penonton juga boleh menonton siaran ulangan setiap Jumaat jam 10.00 pagi di TV3 dan portal video tonton.com.my (www.tonton.com.my).

Warna Super Spontan 2014

imageResize

Program realiti bercorak permainan yang menampilkan para selebriti bermain komedi secara improvisasi kini kembali dengan judul Warna Super Spontan 2014.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Encik Rostam Said, masih mengekalkan format yang asal Super Spontan memilih ‘wrestling’ bersesuaian dengan tema sukan yang diketengahkan oleh program tersebut sebelum ini.

“Kami pilih sukan wrestling kali ini memandangkan Super Spontan memang sinonim dengan tema sukan. Tahun lalu Super Spontan dengan tema sukan Bola Sepak, kali ini sukan gusti kerana negara juga  bakal menyaksikan jelajah siri sukan tersebut tidak lama lagi.

“Jadi saya rasa ianya bersesuaian dengan ‘mood’ penonton dan peserta. Nama juga dipilih mengikut kesesuaian tema dan dari segi pemilihan barisan peserta, mereka yang pernah menyertai Super Spontan sebelum ini layak untuk kembali menyertai di musim akan datang sekiranya mereka tidak pernah dinobatkan juara program Super Spontan,” jelas Rostam Said ketika majlis pelancaran program Warna Super Spontan di Damansara Perdana.

Dua penyampai radio Era FM, Ray dan Haniff bakal menjadi pengacara dan Afdlin Shauki buat pertama kali bakal bergandingan dengan Adlin Aman Ramli sebagai pengulas selain kemunculan Amir Raja Lawak seperti biasa untuk menghangatkan lagi suasana.

Mawas Berduri yang diuruskan oleh Rashid Salleh dan disertai oleh Yus Jambu, Rahim R2, Fad, Didie Alias, Jihan Muse, Johan Raja Lawak dan Syuk Balas. Manakala kumpulan Biawak Laser diketuai oleh Reza dan diwakili oleh Shuib Sepahtu, Taukeh Jambu, Shahrol Shiro, Michael Ang, Achey Bocey, Sharifah Sakinah dan Abam Bocey.

Nasib setiap kumpulan akan ditentukan oleh undian SMS daripada penonton di mana kumpulan yanf dapat markah terendah perlu menyingkirkan salah seorang peserta daripada kumpulan mereka dan kumpulan menerima markah tertinggi akan memenangi RM5,000 dan disalurkan ke badan kebajikan yang memerlukan.

Juara Warna Super Spontan akan membawa pulang wang tunai RM100,000. Layari facebook rasmi www.facebook.com/SuperSpontan dan laman web www.superspontan.com.my bermula 15 Ogos 2014.

Jangan lupa untuk menyaksikan Warna Super Spontan yang akan bersiaran secara langsung di Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) bermula 22 Ogos 2014, jam 10 malam!

*Sumber : Portal Murai

‘KELAS 601’ Bantu Persiapan Calon UPSR

Kelas 601_main cast

Bagi membantu persiapan calon-calon yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal mengunjung tiba, Astro Tutor TV UPSR dengan berbesar hati dan penuh rasa tanggungjawab akan membawakan sebuah program hiburan berpendidikan baru yang menekankan penggunaan Bahasa Melayu yang tepat berjudul Kelas 601, pada setiap hari Sabtu bermula dari 2 Ogos 2014, jam 5 petang secara ekslusif di Astro Tutor TV UPSR (Saluran 601). 

Kelas 601 bakal menampilkan gabungan barisan bakat baru dan juga selebriti berpengalaman dalam industri hiburan tanah air sebagai teraju utama. Pelakon muda yang sedang meningkat naik, Elfira Loy akan bergandingan dengan seorang pelawak yang cukup berbakat dalam bidang seni iaitu Yus dari kumpulan Jambu. Dua orang selebriti cilik yang dicungkil bakat menerusi program Ceria Popstar Musim Kedua iaitu Wafiy dan Trisha akan turut serta di dalam program ini bersama seorang ikon fesyen yang tidak asing lagi iaitu Wak Doyok.

Program hiburan berpendidikan ini bertujuan untuk memperkayakan kemahiran penggunaan bahasa kebangsaan dengan tepat melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan. Program yang berdurasi selama sepuluh minit setiap episod ini akan mempersiapkan calon-calon UPSR dengan pembetulan bagi setiap kesalahan lazim tatabahasa, tip-tip untuk menjawab soalan UPSR, nota poket yang ringkas dan padat serta formula bagi menghafal nota Bahasa Melayu mengikut kaedah peta minda.

Vickie Lai, Ketua Bahagian Pendidikan Astro berkata, “Seiring dengan peperiksaan UPSR yang semakin hampir, kami berasa terpanggil untuk menyediakan satu platform bagi calon-calon untuk mendapatkan tip-tip penting pada saat akhir. Kami juga sentiasa berusaha untuk menghasilkan sesuatu program dengan pembelajaran yang dapat difahami dan diingati dengan lebih mudah oleh para pelajar. Lantaran itu, kami mencetuskan idea untuk menggabungkan pembelajaran Bahasa Melayu UPSR dengan sedikit sentuhan elemen komedi. 

Melalui gabungan barisan selebriti yang mantap, kaedah penerangan dengan bantuan grafik menarik yang sangat mudah difahami dan jalan cerita dengan suntikan komedi pastinya akan membuatkan Kelas 601 menjadi sebuah alat bantuan pembelajaran yang berkesan untuk para pelajar bagi menambah baik kemahiran tatabahasa, kosa kata, serta mendalami keunikan seni Bahasa Melayu itu sendiri. Kami berharap agar inisiatif yang cuba kami usulkan ini akan mendapat maklum balas positif serta diterima baik oleh semua peringkat golongan khususnya barisan calon yang bakal menduduki peperiksaan UPSR”. 

Setiap episod bakal menampilkan beberapa kesalahan lazim penggunaan Bahasa Melayu di dalam penulisan dan juga perbualan harian oleh watak-watak utama iaitu Afiq (Wafiy), Sara (Trisya), Abang Bob (Yus Jambu) dan Abang Lokman (Wak Doyok) menerusi sisipan di dalam rangkaian jalan cerita yang menarik. Di sini, Kak Linda (Elfira Loy) bertindak sebagai tutor yang akan membetulkan setiap kesalahan dan memberikan kaedah penggunaan Bahasa Melayu yang tepat di samping memberikan tip-tip yang pastinya berguna semasa menjawab soalan UPSR nanti.

Oleh itu, jangan ketinggalan untuk menonton Kelas 601, pada setiap hari Sabtu bermula dari 2 Ogos 2014, jam 5 petang secara eksklusif hanya di Astro Tutor TV UPSR (Saluran 601). Kelas 601, membantu anda mahir dalam Bahasa Melayu.