Tag Archives: Zahirah MacWilson

Bulan Bintang Melancarkan Pertunjukan Fesyen “Sedekad Menyinar” Sempena Ulang Tahun Ke-10

Bulan Bintang telah menganjurkan pertunjukan fesyen bertema “Sedekad Menyinar” pada 2 Februari 2025 di KL Convention Center, Kuala Lumpur bagi meraikan ulang tahun ke-10 jenama fesyen tersebut. Pertunjukan ini menampilkan koleksi raya “ready-to-wear” (RTW) yang komprehensif untuk seisi keluarga.

Koleksi terbaru ini merangkumi baju melayu dengan tiga pilihan potongan – Slim Fit, Tailored Fit dan Traditional Fit – yang direka menggunakan kain yang lembut, ringan dan sejuk. Sebagai jenama yang mengutamakan inklusiviti, Bulan Bintang menawarkan saiz sehingga 8XL dengan pelbagai pilihan kurta. Untuk wanita dan kanak-kanak pula, koleksi pakaian raya sedondon ditawarkan dalam lebih 70 pilihan warna.

Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, menyatakan rasa syukur atas perkembangan pesat jenama tersebut selama sedekad dalam pasaran yang kompetitif. Beliau mengatakan bahawa kejayaan ini adalah hasil sokongan rakyat Malaysia dan komitmen syarikat dalam penambahbaikan kualiti serta khidmat pelanggan.

Pertunjukan fesyen ini diserikan dengan kehadiran barisan selebriti ternama seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Remy Ishak, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul Aiman, Johan Ghazali dan Hannah Delisha. Turut hadir sebagai duta istimewa ialah Zahiril Adzim, Ain Edruce, Zahirah MacWilson, Aiman Hakim Ridza, Mimi Lana, Dato’ Ramli MS, Dato’ Jalaluddin Hassan, Joey Daud, Zamarul Hisham, Sabri Yunus dan Angeline Tan.

Pandangan Para Duta Jenam

Datuk Rosyam Nor, sebagai selebriti kelas A, memilih Bulan Bintang kerana tertarik dengan perkembangan jenama ini selama 10 tahun. “Bulan Bintang bukan sekadar terkenal seluruh Malaysia, tapi saya tertarik dengan usaha penambahbaikan selama 10 tahun ini. Tahun ini pula, Bulan Bintang memperkenalkan koleksi baharu yang lebih berkualiti, design modern dan klasik yang tidak menjejaskan nilai baju melayu,” kata beliau.

Shukri Yahaya, yang telah berkhidmat sebagai Duta Senior selama 5 tahun, memuji idea-idea kreatif dan asli Bulan Bintang. Beliau menekankan komitmen jenama dalam perkhidmatan pelanggan yang beroperasi 24/7.

Datuk Remy Ishak, yang kini memasuki tahun kedua sebagai duta, berkongsi bahawa beliau amat selektif dalam pemilihan jenama yang diwakilinya. “Sebelum saya setuju dengan Bulan Bintang, team mereka perlu hantar semua sample produk untuk saya teliti dahulu kualitinya dan saya nak tahu apa inisiatif mereka untuk memasarkan baju melayu ni,” jelas beliau.

Nadhir dan Mierul, dua personaliti yang dipilih menjadi duta jenama, berkongsi pandangan unik mereka tentang kerjasama dengan Bulan Bintang. Menurut mereka, pemilihan untuk menjadi duta Bulan Bintang adalah keputusan yang tepat kerana jenama ini sentiasa menghasilkan karya yang unik dan berbeza setiap tahun. “Beza Bulan Bintang dengan jenama lain adalah pada karya yang unik setiap tahun. Taklah mengulang benda sama je setiap tahun. Fabric yang digunakan pun bertukar setiap tahun, pilihan warna, cutting, inklusiviti sentiasa ditambah baik setiap tahun. Karya Bulan Bintang ni fresh, modern, nafas baru tapi masih original baju melayu, tak merepek,” jelas mereka.

Syafiq Kyle, yang dikenali sebagai muka ‘rare’ dalam arena duta jenama fesyen, menyatakan kekagumannya terhadap skala kerja Bulan Bintang dan komitmen mereka kepada pembeli. “Takdelah orang cakap ‘founder je yang kaya beli kereta’ kan? Bulan Bintang bagi berpuluh buah kereta pada pembeli! Sampai RM10 juta dibelanjakan untuk hadiah tahun ni,” tambah beliau.

Johan Ghazali, sebagai satu-satunya fighter dalam barisan duta, menjelaskan kepentingan baju melayu dalam kerjayanya sebagai wakil Malaysia di arena antarabangsa. “Setiap kali saya ada fight, saya mewakili negara saya, Malaysia. Secara tak langsung, saya akan mempromosikan negara dan budaya orang Malaysia di luar sana sampai ke US,” ujar beliau.

Hannah Delisha, yang mewakili Bulan Bintang Sisters, memuji evolusi koleksi raya tahun ini yang lebih segar dan kontemporari. “Design Bulan Bintang Sisters tahun ini dibuat untuk tak limitkan untuk dipakai pada hari raya je, sesuai untuk pelbagai majlis. Selain itu, design yang sama akan ada juga pilihan untuk ‘kids’ atau kanak-kanak dan warna yang ditawarkan semuanya ada padanan warna untuk baju melayu,” jelasnya.

Hadiah dan Promosi Istimewa

Sempena ulang tahun ke-10, Bulan Bintang menawarkan hadiah-hadiah bernilai RM10 juta melalui kolaborasi dengan pelbagai jenama terkemuka. Antaranya termasuk 1kg jongkong emas dari GB Gold, tiket penerbangan percuma setahun dari AirAsia, wang tunai RM150,000 dari Hausboom, pakej haji dan umrah dari Tabung Haji dan Kahf, serta 120,000 voucher dari Tealive.

Turut diumumkan adalah pemenang pertandingan Bulan Bintang Next Top Model yang menampilkan finalis dalam lingkungan umur 40 hingga 70 tahun dari kalangan orang awam. Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 melalui undian juri dan penonton yang hadir.

Koleksi Raya Sedekad Menyinar boleh didapati di 15 butik rasmi Bulan Bintang seluruh negara dan platform TikTok sebagai rakan kerjasama strategik. Penghantaran seluruh Malaysia diuruskan oleh Ninjavan selaku rakan logistik rasmi. Azzim mensasarkan jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian untuk kempen kali ini.

Zahirah Macwilson Dianiayai Sharnaaz Ahmad?

Zahirah Macwilson Dianiayai Sharnaaz Ahmad? | Zahirah MacWilson, pelakon baharu yang masih hijau di dunia lakonan digosipkan telah melarikan diri ke luar negara kerana dikecewakan oleh Sharnaaz Ahmad. Sebenarnya apa yang terjadi antara mereka berdua hanyalah lakonan dalam drama bersiri baharu, “MENCINTAIMU” untuk slot Akasia TV3.

Drama bersiri 24 episod terbitan Global Station Sdn Bhd merupakan arahan oleh Raja Ahmad Alauddin, nukilan skrip oleh Shuhadatul Ain Zakaria bakal mengisi slot Akasia bermula 19 Ogos 2015, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.00 malam. Lebih istimewa, episod baharu MENCINTAIMU yang disiarkan seminggu lebih awal menerusi Tonton Premiere bermula 13 Ogos pada setiap hari Selasa hingga Jumaat pukul 7.00 malam boleh dilanggan dengan harga RM3 (setiap episod) dengan tontonan 48 jam.

Mengisahkan tentang perjalanan cinta antara Anissa (Zahirah MacWilson) dan Hisham Dato’ Hanafi (Sharnaaz Ahmad). Anissa seorang yang bercita-cita tinggi dan mahu sambung belajar di universiti. Oleh itu, dia telah bekerja selama dua tahun untuk mengumpul duit. Namun, ibunya, Juhara tidak sokong tindakannya kerana dia lebih suka jika Anissa berkahwin dengan lelaki pilihannya.

Akhirnya, Anissa berjaya memulakan hidup baharu sebagai seorang mahasiswi. Di sana, Anissa menyukai Hisham secara diam-diam. Anissa selalu memerhati Hisham dan mula meluat dengan perangai Hisham yang suka berfoya-foya, melepak, ponteng kelas dan banyak lagi. Perasaan suka terhadap Hisham semakin pudar. Oleh itu, Anissa telah menolak pelawaan Hisham mengajaknya keluar.

Sebenarnya, Hisham telah menyahut cabaran kawan baiknya, Helmi (Niezam Zaidi) untuk mengajak Anissa keluar. Malu dengan penolakan Anissa, Hisham mula merancang sesuatu untuk menyakitkan hati Anissa. Helmi memberi tempoh satu semester kepada Hisham untuk membuatkan Anissa jatuh cinta kepadanya.

Hisham mula berbaik-baik dengan Anissa. Anissa mudah lembut hati dan dia telah memaafkan Hisham yang kelihatan bersungguh-sungguh untuk berubah. Hisham dan Anissa semakin rapat. Hisham mula berubah selepas berkawan rapat dengan Anissa. Dia menjadi serius dalam pelajaran dan semakin rajin ke kelas. Kawan-kawannya sering mengejek Hisham bahawa dia telah terjatuh dalam perangkap Anissa.

Kerana ego, Hisham mengatakan bahawa rancangan tetap diteruskan untuk mengenakan Anissa walaupun dia sebenarnya mula menyukai Anissa. Akhirnya, permainan Hisham telah menyebabkan detik hitam berlaku dalam hidup Anissa.

Anissa dihujani dengan pelbagai dugaan. Dia telah dihalau oleh ibunya dan juga diberhentikan oleh pihak universiti. Anissa membuat keputusan untuk melarikan diri dan sambung belajar di luar negara atas pembiayaan biasiswa sebuah syarikat.

Selepas lima tahun, Anissa pulang ke tanah air. Anissa lebih matang dan lebih teliti dalam membuat keputusan. Hisham pula dibelenggu rasa bersalah selepas Anissa menghilangkan diri. Atas desakan keluarga, Hisham telah bertunang dengan Tengku Asyikin (Sarah Anne). Dia juga telah berubah menjadi seorang yang lebih baik dan bertanggungjawab. Apakah akan terjadi selepas Anissa bertemu dengan Hisham kembali?

Saksikan “Mencintaimu” lakonan Sharnaaz Ahmad dan Zahirah MacWilson menerusi slot Akasia TV3 pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7.00 malam bermula 19 Ogos 2015. Selain itu, anda juga dapat menyaksikan episod baharu “Mencintaimu” seminggu lebih awal di Tonton Premiere, mulai 13 Ogos 2015.