Tag Archives: Zarul Umbrella

FILEM BALAS BALIK BAWA PENONTON MENYELAMI DUNIA PENYIASATAN DAN DENDAM YANG MEMBARA

KUALA LUMPUR, 29 MEI 2025 – Sebuah kematian yang pada mulanya disangka biasa, rupanya menyimpan seribu rahsia dan dendam. Itulah premis utama filem penyiasatan jenayah terbaru bertajuk BALAS BALIK, arahan Feroz Kader dan terbitan Shaibha Vision Entertainment Sdn. Bhd., yang mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025.

Diterajui oleh pelakon versatil Shukri Yahaya sebagai Detektif Zul, Balas Balik mengisahkan penyiasatan terhadap kematian mengejut seorang CEO syarikat telekomunikasi ternama, Datuk Roslan (Tony Eusoff), yang pada awalnya dikatakan akibat serangan jantung. Namun, kepekaan Detektif Zul terhadap beberapa elemen mencurigakan membawanya kepada penemuan mengejutkan yang menyelak sisi gelap si mati, termasuk penyalahgunaan kuasa dan sejarah hitam yang membabitkan pekerja-pekerja serta ahli keluarga mangsa.

poster filem balas balik

“Cerita ini cuba menekankan bahawa tidak semua kematian adalah penamat. Ada kalanya ia adalah permulaan kepada satu kebenaran yang selama ini dipendam. Kami pilih genre penyiasatan kerana ia membuka ruang untuk emosi, teka-teki dan ketegangan yang lebih berlapis,” kata Feroz Kader, yang turut menjelaskan bahawa skrip filem ini mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan demi memastikan naratifnya benar-benar kukuh.

Filem ini juga mengambil inspirasi daripada isu sosial semasa, terutama polemik buli di tempat kerja dan kesannya terhadap mangsa dari segi psikologi dan emosi. Menurut penerbit Datin Sri Shaila V., filem ini diangkat untuk mencetuskan empati dan kesedaran bahawa trauma yang tidak dirawat boleh menjadi benih kepada tindakan luar jangka.

“Buli bukan perkara remeh. Ia boleh merosakkan manusia perlahan-lahan hingga sanggup melakukan perkara yang tidak diduga. Inilah yang ingin kami sampaikan melalui Balas Balik,” ujarnya.

Shukri Yahaya yang sering dikaitkan dengan watak romantis, antagonis dan aksi, tampil dengan sisi baharu sebagai penyiasat yang bergelut dengan dilema dan tekanan mental dalam membongkar kes ini. “Kalau sebelum ni orang tengok saya ‘redflag’ atau kaki belasah, kali ini saya kena nampak bijak dan buat orang percaya saya benar-benar Detektif Zul,” katanya berseloroh.

shukri yahaya sebagai detektif zul
Shukri Yahaya sebagai detektif zul

Antara pelakon lain yang menjayakan filem ini termasuk Marissa Yasmin (Angel), Adam Lee (Adam), Isyariana (Nadia), Zarul Umbrella (Tuan Kamal), Meor Mohd (Inspektor Jauhari), Razman Mahayuddin (Ikhwan), Josiah Lim (Danial) dan Maisara Sufia (Mimi). Setiap watak mempunyai latar belakang tersendiri, menjadikan siasatan Zul seperti menyusun puzzle yang kompleks dan penuh kejutan.

Menyempurnakan pengalaman sinematik adalah lagu tema bertajuk “Balas”, nyanyian Hariz Fayahet dan ciptaan Nurzaidi Abd Rahman, yang mengiringi filem ini dengan nada misteri dan emosi yang mendalam.

Showcase 25 Tahun UMBRELLA Dibatalkan Kerana COVID-19

Sejak tampil dengan single terbaharu berjudul ‘Hilang’ karier seni Umbrella kembali rancak dan bersinar. Video muzik single ini telah meraih lebih 300 ribu tontonan dalam masa satu bulan menggambarkan penerimaan peminat-peminat dengan kemunculan semula Umbrella. Namun dalam kesibukkan mempromosikan lagu terbaharu ini, perjalanan seni Umbrella diduga dengan gelombang kedua penularan wabak Covid-19 lantas melumpuhkan banyak perancangan yang telah mereka atur.

Menurut pengarah urusan Umbrella Music, Dato Rizal Shah, mengikut perancangan, Umbrella sepatutnya akan mengadakan sebuah sidang media bagi mengumumkan mengenai ‘Showcase 25 Tahun Umbrella’ yang bakal berlangsung pada bulan Disember nanti. Namun berikutan kenaikan kadar kes positif jangkitan Covid-19, Umbrella telah memutuskan untuk membatalkan sidang media dan showcase berkenaan. Dato Rizal Shah memberitahu keputusan yang diambil ini amat berat bagi pihak pengurusan dan Umbrella memandangkan banyak persiapan yang telah dibuat demi menaikkan semula populariti dan kerjaya seni Umbrella.

Biarpun sedih dengan pembatalan showcase sambutan ulangtahun ke dua puluh lima penubuhan Umbrella, Saiful, pemain drum Umbrella, menyifatkan ini adalah langkah terbaik buat semua pihak yang terlibat terutamanya buat peminat-peminat Umbrella yang sememangnya menantikan persembahan daripada mereka. Saiful merupakan orang yang bertanggungjawab menyatukan kesemua ahli asal Umbrella untuk kemunculan semula Umbrella dalam arena seni Hiburan tanah air. Selain Saiful, gitaris Umbrella bernama Hafiz turut menzahirkan kebimbangannya yang khuatir jika terdapat kluster baharu yang wujud dikalangan peminat-peminat yang hadir sekiranya showcase mereka tetap dianjurkan.

Bagi vokali Umbrella, Zarul, biarpun showcase dibatalkan, kesempatan yang ada sepanjang berlangsungnya perintah kawalan pergerakkan bersyarat di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya digunakan sebaik mungkin oleh setiap ahli Umbrella untuk berlatih bagi memperbaiki mutu persembahan mereka di masa hadapan. Selaku pemain bass Umbrella, Rizal berharap keadaan ekonomi akan kembali pulih apabila vaksin Covid-19 terhasil nanti. Tambah Rizal, dia menyeru agar penganjur-penganjur acara akan memberikan peluang kepada Umbrella untuk membuat persembahan bagi memeriahkan acara mereka.

Selain mengumumkan pembatalan ‘Showcase 25 Tahun Umbrella’, Dato Rizal Shah turut berkongsi berita baik buat peminat-peminat Umbrella dan kumpulan-kumpulan muzik zaman 90an, bahawa pihak Umbrella Music turut merancang mengadakan sebuah konsert ‘Umbrella & Friends’ pada tahun 2021 nanti. Menurut beliau persiapan untuk konsert tersebut masih lagi di peringkat perbincangan dan Umbrella Music bakal membuat pengumuman rasmi mengenainya pada awal tahun 2021 nanti. Saksikan video muzik Hilang daripada Umbrella, di: https://youtu.be/wijXnHd3V0o Dapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai Umbrella di akaun media sosial: Facebook: www.facebook.com/umbrellaband.my Instagram: www.instagram.com/umbrellaband.my

12 Peserta Bakal Berentap Di Gegar Vaganza Musim Ketiga

12 penyanyi tempatan yang bakal menjayakan Gegar Vaganza musim terbaharu terdiri daripada enam peserta lelaki iaitu Ameng Spring, G-Mie Screen, Razis Ismail, Rem, Shidi Data dan Zarul Umbrella. Manakala enam peserta wanita pula adalah Azharina, Elly Mazlein, Intan Sarafina, Nora, Siti Sarah dan Zur Eda.

Pengarah muzik terkenal Dato’ Haji Ramli MS dan penyanyi tersohor Dato’ Khadijah Ibrahim masih lagi dikekalkan sebagai juri tetap yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Manakala seorang lagi juri akan diundang khas sebagai juri jemputan secara bergilir-gillir pada setiap minggu.

Selain itu, Gegar Vaganza juga sekali lagi memberi kepercayaan kepada pasangan pengacara, pelakon dan pelawak popular iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse untuk mengemudikan program ini sebagai pengacara bagi tiga musim berturut-turut.

sam_2110

Siaran langsung konsert mingguan Gegar Vaganza Musim Ketiga bakal bersiaran dari Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam selama lapan minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 16 Oktober 2016 secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan siaran serentak di Ria HD (123).

Sama seperti musim sudah, nasib para peserta akan diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Juara Gegar Vaganza Musim Ketiga bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kemudian. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai RM50,000 dan trofi. Manakala pemenang tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan memenangi wang tunai RM30,000, RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi dan hadiah sampingan setiap seorang.

Selain itu, Gegar Vaganza  Musim Ketiga juga sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan Pamoga Vida Beauty Qu Puteh selaku Penaja Platinum dengan kerjasama Digi dan KFC sebagai Penaja Bersama.

Radio Sinar fm dan Aplikasi Raku dan juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi dan Radio Digital Rasmi serta Astro Gempak selaku Portal Rasmi.

RM300,000 Dan PROTON IRIZ Milik AZMIL Dan DAYANG NURFAIZAH Dalam MENTOR Legend

DEX_5514Program realiti nombor satu negara telah melabuhkan tirainya buat kali terakhir dengan penobatan mentor Dayang Nurfaizah dan protégé Azmil sebagai Juara Mentor Legend. Mereka merupakan pasangan yang berjaya membawa pulang wang tunai RM 300,000 dan dua buah Proton Iriz 1.6 Premium CVT serta Trofi Mentor Legend. Pasangan mentor Ella dan protégé Aina pula meraih tempat kedua dan berjaya membawa pulang wang tunai RM 200,000 serta Trofi. Manakala, pasangan Amy Search dan Sarah mendapat tempat ketiga dan membawa pulang RM100,000 serta Trofi.

Konsert Akhir Mentor Legend malam tadi masih mengekalkan juri profesional mingguan, saudara Azmeer dan Adlin Aman Ramli. Cuma, Mentor Legend menampilkan Chakra Khan sebagai juri jemputan menggantikan Datuk Ramli MS. Turut menjadi panel juri selaku juri awam adalah Falisha Crossley, Amaris, Zarul Umbrella, Arora Salwa, Nonnie dan ramai lagi.

DEX_4924

Menurut penerbit eksekutif Mentor Legend, Encik Sufian Isa, “Mentor Legend berjaya melabuhkan tirainya malam ini dengan jayanya. Selama 13 minggu, Alhamdulillah Mentor Legend telah berjalan dengan lancar dan disambut baik oleh penonton setia TV3. Mengenai persembahan protégé kita malam ini pula, mereka telah membuat persembahan yang paling hebat selama mereka berada dalam program ini. Pada saya, mereka semua adalah juara. Oleh itu, mereka semua berhak merakamkan sebuah ‘single’ dengan peruntukan yang telah disediakan oleh pihak produksi Mentor Legend ini. Dengan cara ini, bakat mereka tidak akan disia-siakan.

DEX_5046Berikut adalah senarai lagu yang telah dipersembahkan oleh ketiga-tiga protégé Mentor Legend, malam semalam.

Persembahan duet bersama Mentor ketiga-tiga protégé telah menampilkan lagu-lagu hebat seperti:

  • Sarah : Medley Isabella & Pawana
  • Azmil : Medley Aku Jatuh Cinta & Menceceh
  • Aina : Layar Impian

Selesai pusingan pertama itu, mereka telah mempersembahkan persembahan solo mereka dengan lagu-lagu seperti:

  • Sarah : Medley Dangerously In Love & Tanpa Kekasihku
  • Azmil : Menanti Sebuah Jawapan
  • Aina : Medley Menghitung Hari & Mencintaimu

Pertaruhan terakhir mereka telah berduet bersama artis jemputan dengan lagu-lagu seperti:

  • Sarah & Atilia : Medley Ikut Rentakku & Mercy
  • Azmil & Mimi O.N.E : Naluri Lelaki
  • Aina & Mila Jirin : Fallin’

Menerusi kesemua persembahan mereka itu, markah yang berjaya diperoleh mereka adalah seperti berikut:

PROTEGE JURI AWAM JURI TETAP SMS JUMLAH
SARAH 17 37 7 61
AZMIL 20 50 16 86
AINA 17 44 7 68

Berdasarkan jadual diatas, Azmil telah dinobatkan gelaran juara secara sebulat suara oleh ketiga-tiga kategori juri Mentor Legend. Azmil telah memberikan persembahan sebaik habis dalam ketiga-tiga persembahannya, terutamanya dalam persembahan solonya dengan lagu ‘Menanti Sebuah Jawapan’ yang dikatakan mencuri perhatian juri jemputan Mentor Legend, Chakra Khan.

DEX_4995

Menurut Chakra Khan selaku juri jemputan Konsert Akhir Mentor Legend, “Suara kami serupa, saya dan Azmil. Ianya satu anugerah dari Allah S.W.T dan saya amat gemar ketika Azmil menyanyikan Chorus lagu Menanti Sebuah Jawapan, kerana suaranya dan mesej lagu itu seiring dan saling melengkapi.”

Persembahan akhir para protégé pada malam itu diakhiri dengan sebuah lagu bonus. Di bawah bimbingan penasihat persembahan, Sazlan dan garapan tunjuk ajar penasihat vokal, Azmeer, tirai Konsert Akhir Mentor Legend malam tadi ditutup dengan persembahan lagu medley ‘Senyum & Malam ini Kita Punya’ nyanyian asal Aziz Harun dan Bunkface.

DEX_5448Program Mentor Legend yang mengandungi 13 episod ini diterajui oleh penerbit eksekutif Muhamad Sufian Isa dan dibantu oleh Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) selaku penerbit. Kali ini, Mentor Legend menampilkan Awal Ashaari sebagai pengacara program, Shiha Mentor sebagai pengacara Jurnal Mentor Legend. Selain itu, Michelle Wee akan bertindak sebagai pengacara bersama sewaktu konsert mingguan untuk mendapatkan kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas menggantikan Zuan Bikin Panas. Musim ini turut mempersembahkan Faizal Uzir (Lok U) sebagai Pengarah Muzik, Azmeer sebagai Penasihat Vokal, dan Sazlan Mat Adnan sebagai Penasihat Persembahan.

Program Mentor Legend ini pasti tidak akan berjaya tanpa penaja bersama Mentor Legend iaitu One City, Proton, dan K-Colly. Para protégé Mentor Legend ini telah menginap selama 13 minggu dan penginapan mereka ditaja sepenuhnya oleh One City, USJ 25. Hadiah Utama Mentor Legend pula, Proton telah menyumbangkan dua buah Proton Iriz 1.6 Premium CVT sebagai hadiah untuk Protégé dan Mentor bergelar Juara selain mendapat wang tunai RM300,000 dan Trofi dari pihak penganjur. Manakala kedua-dua protege dan Mentor naib juara telah membawa pulang wang tunai RM200,000 serta Trofi. Tempat ketiga pula, mentor dan protege telah membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 serta trofi.

DEX_5486

Pihak produksi Mentor Legend dan TV3 mengucapkan jutaan terima kasih untuk segala bentuk sokongan yang telah diberikan oleh penyokong setia TV3 serta pihak penaja. Namun Mentor Legend 2014 tidakk akan terhenti begitu sahaja, sebarang perkembangan protege Mentor Legend akan di muat naik dalam laman Facebook rasmi Mentor Legend (www.facebook.com/mentorlegend). Untuk menonton siaran ulangan setiap program Mentor Legend, boleh didapati melalui portal video Tonton (www.tonton.com.my).

*Kredit Photo – TV3 Malaysia