Tag Archives: Zee Avi

‘Astro 25 Concert’ Membariskan Gandingan Artis Tempatan dan Antarabangsa Terhebat

Pelanggan Astro akan dihiburkan dengan konsert virtual, secara langsung yang dibarisi ramai nama-nama hebat tempatan dan antarabangsa termasuklah dari Korea, pada 25 September ini, jam 8:30 malam di televisyen Astro 25 (Saluran 100) dan platform Astro GO. ‘Astro 25 Concert’ ini merupakan tanda penghargaan di atas sokongan pelanggan yang selama ini setia bersama di sepanjang perjalanan Astro sehingga menjadikan ia sebagai destinasi hiburan #1 pilihan rakyat Malaysia.

 

Ella, Jaclyn Victor, Haqiem Rusli, Dayang Nurfaizah and Agnes Rozario

Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario, berkata, “Sebagai sebahagian dari usaha Astro untuk meraikan rakyat Malaysia selama 25 tahun kami berkhidmat ini, kami begitu teruja untuk membawakan ‘Astro 25 Concert’, yang akan menyaksikan persembahan terhebat dari artis-artis naungan Astro yang mana mereka akan turut digandingan bersama ramai lagi nama-nama hebat di rantau ini mahupun di peringkat antarabangsa. Seiring dengan tema sambutan Astro yang ke-25 tahun iaitu ‘Better Together’, kami percaya bahawa kita semua akan lebih baik jika terus kekal bersama. Konsert ini diadakan istimewa buat setiap pelanggan dan bakat-bakat tempatan dalam industri khususnya yang selama ini setia menyokong Astro dalam misi memastikan rakyat Malaysia sentiasa terhibur dan kekal berinformasi di kala kami berusaha melebarkan sayap menjangkaui TV dan radio. Bakal disiarkan di Saluran 100, semua pelanggan Astro boleh menikmati persembahan terhebat yang kami bawakan secara terus ke rumah anda, ditonton dengan selesa bersama keluarga tersayang.”

Dihoskan oleh artis popular tanah air, Nabil Ahmad dan personaliti radio, Ean, Arnold dan Aishah Sinclair, konsert berdurasi tiga (3) jam ini akan menampilkan persembahan hebat dari selebriti berikut: –

  • Bintang ‘Running Man’, Kim Jong Kook, yang turut dikenali dengan suara balada yang merdu dan penuh melankolik; beliau akan mempersembahkan salah satu lagu popular beliau. Running Man merupakan program variasi Korea pilihan nombor 1 rakyat Malaysia dan disiarkan di ONE HD (Astro Saluran 393) pada setiap hari Jumaat.
  • Kumpulan Gen Z yang kini begitu digilai ramai, TOMORROW X TOGETHER, merupakan kumpulan terbaharu dan popular dari Seoul kerana memilik suara yang merdu dan mampu menyampaikan persembahan yang cukup hebat. Muzik mereka dianggap cukup dekat dengan generasi hari ini kerana diinspirasikan dari kisah-kisah tauladan dan sesuai dengan remaja di seluruh dunia.
  • Pemenang anugerah Grammy sebanyak dua (2) kali, Jason Mraz, pemuzik dari Amerika, Pink Sweat$, penyanyi serta penulis lagu, Bazzi, dan alumni program The Voice UK, Jamie Miller.
  • Barisan penghibur tersohor negara termasuklah nama-nama legenda tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Ella, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Datuk M. Nasir, Datuk Syafinaz, Erra Fazira dan Anuar Zain ke Ernie Zakri, Datuk Hattan, Misha Omar, Mugen Rao, Syamel, Zee Avi, Shio Yee, Liza Hanim, Hael Husaini, Datuk Aznil Hj Nawawi dan Zynakal.
  • Kumpulan lelaki Cantopop Hong Kong sensasi, Mirror, bintang Hong Kong Ruco Chan, dan pemenang TVB Stars Academy yang baru sahaja berusia 15 tahun, Gigi Yim.
  • Kumpulan popular Indonesia, Dewa 19, yang turut merupakan kumpulan rock yang begitu disegani ramai khususnya di Indonesia, Once Mekel, bekas penyanyi utama kumpulan Dewa 19, Slam, kumpulan rock tanah air, dan pemenang Singapore Idol, Taufik Batisah.
  • Pelawak dan hos terkemuka negara, Harith Iskander, bersama pemain komedi, pelakon dan pengacara TV popular Singapura, Kumar.
  • Bintang-bintang dari program terbitan Astro seperti Amir Masdi, Siti Nordiana, Naqiu, Yoke Chen, Sarah Suhairi, Santesh, Nicole Lai, Azharina, Han Byul, Noryn Aziz, Vanessa, Vince Chong dan Aina Abdul.
  • Barisan artis sensasi tanah air seperti Lil J, Orga, TUJULOCA, MK K-Clique, Haqiem Rusli, Yonnyboii dan Abigail – figura generasi hari ini, yang mana popular dan menempa nama menerusi platform media sosial umumnya.

‘Astro 25 Concert’ akan bersiaran pada hari Sabtu, 25 September, pada jam 8:30 malam di Astro 25 (Saluran 100) dan boleh juga distrim menerusi Astro GO. Siaran ulangan atau ‘encore viewing’ juga boleh ditonton menerusi platform On Demand, selepas berakhirnya konsert. Untuk maklumat lanjut mengenai ‘Astro 25 Concert’, teruskan bersama kami di Facebook @Astro, Twitter @astroonline and Instagram @astromalaysia.

Vince Chong, Nicole Lai, Taufik Batisah dan Mugen Rao

Dalam pada itu, penonton Astro juga boleh menantikan tayangan perdana dua dokumentari istimewa, Tanah Tumpahnya Darah Kita dan We Are No Different, juga di Astro 25 (Saluran 100). Kedua-dua dokumentari ini berkisarkan tentang keindahan dan keharmonian kita hidup bersama sebagai rakyat Malaysia – dari seawal kisah sejarah bagaimana bekas perajurit kita berkorban untuk mempertahankan negara tanpa mengira bangsa, agama, bahasa dan budaya sehinggalah kepada kisah bagaimana ada di kalangan rakyat Malaysia yang mengambil dan membesarkan anak angkat tanpa membataskan bangsa masing-masing. Kisah-kisah ini bersama 150 program lain yang mengangkat pelbagai cerita dan filem Malaysia serta serantau terhebat, program-program sepanjang zaman kegemaran rakyat Malaysia dan rancangan realiti kini sedia menanti penonton di Astro 25, Saluran 100. Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan ke-25 Astro ini dan tawaran-tawaran menarik yang disusun khas buat anda semua, layari www.astro.com.my/bettertogether

Juga, mulai September ini, Astro akan membawakan banyak program-program baharu dan siri-siri popular serta rancangan realiti kembali menemui peminat seperti All Together Now Malaysia yang akan bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9:00 malam di Astro Ria, Astro Classic Golden Melody 2021 pada setiap hari Sabtu mulai 25 September, jam 8:30 malam di Astro AEC, musim terbaharu Big Boss, mulai 3 Oktober jam 10:00 malam di Star Vijay, program komedi kegemaran ramai, Sepahtu Reunion Live 2021, pada setiap hari Khamis, mulai 23 September, jam 10:00 malam di Astro Warna, drama bersiri Astro Originals, I Tanggang, pada setiap hari Isnin, mulai 13 September, jam 9:00 malam dan drama terbaharu The Hotel, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, mulai 15 September, jam 10:00 malam di Astro Ria. Jangan lepaskan peluang menonton sajian terbaik dan terkini dari kami di Astro!

‘ARENA CAHAYA’ Lagu Tema Filem OLABOLA

Selepas kejayaan filem The Journey pada tahun 2014, kini pengarahnya Chiu Keng Guan kembali dengan buah tangan terbarunya, OlaBola. Judulnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan penonton sedia maklum tentang intipati penceritaannya adalah sukan bola sepak. Bagi menambahkan sintimen emosi dalam filem ini, sebuah lagu telah dihasilkan untuk dijadi pelengkap. Istimewanya, penyanyi dan penulis lagu yang kini sedang menempah nama di negara Amerika Syarikat, Zee Avi telah diangkat sebagai penyanyi lagu tema utama filem OlaBola yang bertajuk ‘Arena Cahaya’.

Arena Cahaya telah dihasilkan oleh Zee bersama sahabat baiknya, Rendra Zawawi yang juga kini berada di Amerika Syarikat. Zee bukan sahaja menyanyikan lagu ini tetapi dia turut terbabit dalam susunan muzik.

Menurut Zee, beliau berasa teruja dan berbesar hati apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan pengarah berbakat besar, Chiu. “Sememangnya saya amat meminati hasil-hasil karya Chiu. Apabila Chiu menghubungi saya melalui laman sosial Facebook dan meminta saya untuk menghasilkan lagu tema utama filem beliau, saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang”.

“Lagu ini telah ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris bagi menggambarkan negara Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa. Saya berharap agar lagu ini mampu memupuk semangat dan mengembalikan sorak juang rakyat Malaysia,” tambah Zee lagi.

Pengarah filem OlaBola, Chiu Keng Guan berkata pemilihan Zee sebagai penyanyi lagu tema utama filem OlaBola adalah kerana bakatnya dalam menghasilkan lagu yang segar dan mengikuti trend semasa. Tambahan pula, kehadiran Zee dalam industri muzik tanah air sememangnya diterima oleh peminat di Malaysia. Chiu juga mengkagumi perjalanan karier Zee dalam industi muzik di mana Zee bermula hanya dengan video nyanyian menerusi laman YouTube sehingga berjaya menjadi artis Malaysia pertama yang menembusi carta US Billboard Hot 200 dan itu ternyata menjadi inspirasi buat semua.

Sewaktu sesi pembikinan lagu ini, Zee telah pulang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Chiu bagi menonton dan menghayati filem OlaBola. Meskipun hanya menyaksikan sedutan klip dari filem itu, Zee akui bahawa filem ini berjaya membuat hatinya tersentuh dengan jalan cerita serta lakonan mantap oleh setiap pelakon dan itu memberi dorongan buatnya untuk menulis sebuah lagu yang mampu menterjemahkan sentimen filem tersebut.

Pembikinan lagu Arena Cahaya ini mengambil tempoh masa satu bulan dan lagu ini dihasilkan dengan lirik yang penuh makna dan mampu menyentuh emosi. Menariknya, apabila kali pertama Chiu mendengar lagu ini setelah ia dihasilkan, Chiu terus berpuas hati tanpa ada perubah lirik serta alunan muzik dan merasakan lagu ini sememangnya sinonim dengan filemnya.

Zee Avi

Zee yang juga merupakan salah seorang peminat pasukan bola sepak negeri Sarawak, yakin bahawa filem OlaBola bakal menjadi sebuah filem terbaik dan mampu mencipta fenomenanya tersendiri. Dia juga berharap agar lagu Arena Cahaya akan diterima bukan sahaja oleh peminat filem ini malah semua seluruh rakyat Malaysia.

Lagu Arena Cahaya akan mula dimainkan di radio bermula pada hari ini menerusi radio ERA FM, Sinar FM, hitz FM, MIX fm, Lite FM, THR Gegar, THR Raaga, MY FM dan MELODY FM.

OlaBola yang diilhamkan dari peristiwa sebenar ini memaparkan semangat juang sebuah pasukan bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam kesungguhan untuk mengharumkan nama negara. Filem bergenre drama ini juga turut mengetengahkan nilai-nilai perpaduan yang mampu mendorong rakyat Malaysia sama-sama mencapai impian.

OlaBola bakal menemui penonton di layar perak pada awal tahun 2016. Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dan produksi oleh Woo Hoo Pictures. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.olabola.tv dan ikuti Instagram olabola.tv untuk berita dan informasi terkini.