Tag Archives: Zizan

ZIZAN FEATURING SONAONE – CHENTAKU

Zizan Razak anak kelahiran Terengganu ini merupakan seorang pelawak, pengacara, pelakon dan juga rapper yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air Malaysia. Kariernya bermula apabila beliau menyertai program terbitan Astro iaitu Raja Lawak musim pertama pada tahun 2007 dan memperolehi kemenangan tempat kedua. Kemudian, beliau melebarkan bakatnya pula ke bidang lakonan di mana beliau telah membintangi beberapa buah filem dan drama antaranya Cicakman 3, Polis Evo, KL Gengster 2 dan Oh My Ganu. Bakatnya tidak terhenti disitu sahaja kerana beliau telah ditawarkan pula untuk menjadi pengacara bagi program Akademi Fantasia 2015, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH) 2015/2016, Anugerah MeleTOP Era 2015 dan banyak lagi.

Bakat Zizan kemudian mula dikupas satu persatu dimana beliau berkebolehan untuk ‘rapping’. Dari situ, Zizan telah berkolaborasi dalam beberapa buah lagu antaranya Cobaan, lagu runut bunyi bagi filem Abg Long Fadil, Bawaku Pergi (nyanyian bersama Kaka Azraff) dan juga Infiniti Cinta (feat. Kaka Azraff). Tidak hairanlah mengapa Zizan mempunyai ramai pengikut dan peminat di Instagram sehingga mencecah 4.1 juta followers kerana beliau merupakan seorang individu yang mempunyai bakat dan kebolehan yang luar biasa.

Mikael Adam Lozach atau lebih dikenali sebagai SonaOne, pula merupakan seorang penyanyi, komposer dan rapper generasi baru yang kini semakin mendapat tempat di hati para pendengar tempatan. Mula dikenali apabila beliau digandingkan bersama rapper terkenal Joe Flizzow dalam lagu “Havoc” dan “Apa Khabar” pada tahun 2014 hingga lagu tersebut dinobatkan sebagai Juara di Anugerah Juara Lagu ke-29. Beliau juga telah memecah rekod menerusi lagu ‘No More’ di mana lagu tersebut merupakan sebuah lagu Inggeris dan hip-hop pertama yang memenangi anugerah Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM-21).

Kini buat pertama kalinya, dua artist besar tanah air iaitu Zizan Razak dan SonaOne telah bergabung untuk berkolaborasi dalam single terbaru berjudul ‘Chentaku’. Sebuah gabungan yang mantap ini pastinya akan menarik ramai pendengar untuk mendengar lagu yang mempunyai rentak ‘fresh’ dan up beat ini. Memilih genre hip-hop kerana ia lebih menepati citarasa Zizan dan bersesuaian dengan aliran masa kini.

Lagu yang menceritakan seorang jejaka yang jatuh cinta pada pandangan pertama dan cuba untuk mengenali gadis ini, namun cinta itu hanya dari jauh dan apabila bertemu buat pertama kali perasaan malu itu menguasai diri masing-masing. ‘Chentaku’ ini merupakan sebuah lagu hasil ciptaan oleh SonaOne, manakala Joe Flizzow selaku eksekutif produser dan lirik pula oleh Joe Flizzow dan Zizan sendiri.

Teristimewa buat peminat Zizan dan SonaOne, lagu ‘Chentaku’ ini merupakan hasil usahasama Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd dan Warner Music (M) Sdn Bhd. Ia juga merupakan satu lagi edaran digital daripada Warner Music (M) Sdn Bhd dan boleh di strim disemua digital platform seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder dan KKBox mulai 19 Mei 2017!

Lawak Ke Der 2015

IBC_2935 copy‘Lawak Ke Der’ merupakan persembahan komedi yang telah diperkenalkan sejak tahun 2012 lagi. Lawak Ke Der 2015 adalah produksi keempat susulan daripada ‘Lawak Ke Der?’, ‘Lawak Ke Der 2’ dan ‘Lawak Ke Der 3’.

 

Seperti setiap siri Lawak Ke Der yang lalu, Lawak Ke Der 2015 juga akan mengekalkan mutu persembahan setiap pelawak yang ditampilkan. Ini akan dipastikan oleh pengarah persembahan iaitu pengarah dan pelakon terkenal, Hans Isaac.

Lawak Ke Der sememangnya dikenali sebagai persembahan komedi yang berkualiti. Antara pelawak yang pernah membuat persembahan dengan Lawak Ke Der setakat ini adalah Johan, Zizan, Kumpulan Osbon, Harun Salim Bachik, Ahmad Nabil, Kumpulan Jambu dan Kuah Jenhan.

Tahun ini, penonton pasti akan terhibur dengan persembahan yang akan disajikan oleh pelawak-pelawak terbaik negara :

Harith Iskander – Bakatnya dalam bidang komedi tidak dapat disangkal lagi, sehingga dia digelar sebagai The Godfather of Malaysian Stand-Up Comedy. Jika selalunya Harith dilihat membuat persembahan dalam Bahasa Inggeris, dengan Lawak Ke Der penonton akan dihiburkan dengan cerita-cerita lucunya yang disampaikan dalam Bahasa Malaysia.

Afdlin Shauki – Sebelum terkenal dengan persembahan komedi secara berkumpulan, Afdlin merupakan seorang stand-up comedian. Ramai yang mengenali Afdlin sebagai seorang pengarah, pelakon, penyanyi dan pemuzik. Lawak Ke Der 2015 menjemput anda semua untuk mengenali Afdlin Shauki sebagai seorang pelawak solo.

Douglas Lim – Ramai yang sering lupa bahawa Douglas Lim sudah mewarnai industri hiburan tanahair sejak tahun 1998 lagi menerusi sitkom ‘Kopitiam’. Sejak dari itu, Douglas membuktikan bakatnya yang pelbagai. Kini, Douglas bergelar pengarah, pelakon, pelakon muzikal, penyanyi, pencipta lagu, penulis dan pelawak sepenuh masa. Ini kali ke-3 Douglas akan menjayakan persembahan Lawak Ke Der.

Bocey – Kumpulan ini dianggotai Acey (Juara Bintang Mencari Bintang 2013) serta Fard & Abam (Naib Juara Bintang Mencari Bintang 2013). Walaupun mula berkecimpung dalam bidang komedi secara berasingan, mereka berjaya disatukan menjadi sebuah kumpulan komedi yang baik. Ini terbukti apabila mereka memenangi tempat ketiga dalam Maharaja Lawak Mega 2013 dan tempat kelima dalam Maharaja Lawak Mega 2014.

Selain daripada nama-nama besar di atas, Lawak Ke Der 2015 akan memperkenalkan seorang bakat baru yang bernama Rayza Mukmin. Namanya mungkin tidak anda kenali, namun selepas menonton Lawak Ke Der 2015, perhatian anda pasti akan beralih ke pelawak muda yang kaya dengan ide segar ini.

LAWAK KE DER 2015 akan bertemu anda di Istana Budaya pada 16 April sehingga 19 April(persembahan pada jam 8.30 malam pada setiap hari/persembahan jam 3 khusus untuk hari Sabtu dan Ahad sahaja). Harga tiket adalah RM56, RM86, RM126, RM156 dan RM176.

Sila layari www.ticket2u.biz untuk pembelian tiket atau hubungi 03 4253 2241.