“TAKDIR TERCIPTA” Hadiah HAFIZ Dan ADIRA Buat Peminat

Pasangan duet  popular ini pernah mencipta fenomena suatu masa dahulu menerusi lagu duet popular, “Ombak Rindu” yang menjadi runut bunyi filem dengan judul yang sama pada tahun 2011. Keserasian Hafiz Suip dan Adira Suhaimi menyampaikan alunan romantis lagu itu dengan baik telah berjaya meninggalkan kesan mendalam di hati peminat sehinggakan lagu tersebut kekal popular sampai kini. Kali terakhir pasangan ini muncul secara duet adalah pada tahun 2015 menerusi lagu “Untuk Cinta” yang menjadi lagu tema filem ‘Pilot Cafe’. Kejayaan kedua-dua lagu duet mereka mendominasi radio dan carta lagu di Malaysia menjadikan Hafiz dan Adira antara gandingan duo yang paling berjaya di persada muzik tempatan.

Selepas Hafiz dan Adira masing-masing menempa kejayaan luarbiasa menerusi lagu-lagu hit solo terkini mereka berjudul “Kisah Cinta Kita” dan “Pujaan Hati”, kini pasangan duet popular ini kembali bersatu menerusi single duet terbaharu mereka berjudul “Takdir Tercipta”. Lagu berentak balada ini turut  diangkat sebagai lagu runut bunyi drama bersiri ‘Lelakimu Yang Dulu’ lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose yang bakal bersiaran di slot Akasia TV3 mulai 19hb. September nanti.

“Takdir Tercipta” merupakan hasil gubahan komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali manakala lirik lagu pula ditulis oleh Ikhwan Fatanna bersama penerbit drama ‘Lelakimu Yang Dulu’ iaitu Arisz Ab Rahman. Lagu ini turut mendapat sentuhan magis komposer dan penerbit terkenal, Omar K sebagai penerbit rakaman. Lagu runut bunyi yang menepati plot drama ‘Lelakimu Yang Dulu’ ini berkisar tentang pasangan kekasih yang menggenggam kemas jodoh pertemuan mereka atas dasar mereka diciptakan untuk saling melengkapi dan ditakdirkan untuk hidup bersama. Persembahan Hafiz dan Adira yang penuh penghayatan dalam lagu “Takdir Tercipta” berjaya memberi jiwa kepada penceritaan lagu ini. Keserasian dan keharmonian vokal pasangan duet ini dalam saling melengkapi persembahan vokal mereka sekali lagi terserlah menerusi single terbaharu mereka ini.

Mengulas tentang lagu duet ketiga bersama Hafiz ini, Adira berkata, “Kembali merakamkan lagu dengan Hafiz adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan. Sudah lama kami tidak ditemukan dalam lagu. Bagi saya, Hafiz seorang yang sangat komited dan profesional dengan kerjanya. Kelunakan suaranya dan kemahiran seni vokalnya merupakan kekuatan dia. Senang bekerja dengan Hafiz dan kerana itulah kami cepat serasi dalam berduet untuk sesebuah lagu. Saya harapkan ‘Takdir Tercipta’ ini mendapat sambutan luar biasa dan sokongan tak berbelah bahagi daripada peminat. Semoga lagu ini sentiasa di dalam ingatan para peminat sebagaimana lagu ‘Ombak Rindu’ yang pernah menjadi fenomena suatu masa dahulu.

Single solo terkini Hafiz dan Adira iaitu “Kisah Cinta Kita” dan “Pujaan Hati” masih mendominasi corong-corong radio tempatan dan carta lagu Malaysia sehingga kini. Suatu fakta yang mungkin ramai tidak sedari ialah bahawa kedua-dua lagu solo mereka ini dicipta oleh penulis lagu yang sama untuk lagu duet “Takdir Tercipta”. Mengulas tentang ini, Hafiz berkata, “Sebenarnya tak dirancang pun untuk menggunakan penulis lagu yang sama untuk lagu duet ini.  Saya kira ini merupakan kebetulan saja kerana komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali sering bekerja rapat dengan pihak Nova Music. Secara peribadinya, saya memang suka dengan karya-karya ciptaan mereka. Alhamdulillah, kerjasama kami dalam ‘Kisah Cinta Kita’ menjadi dan mendapat sambutan luar biasa peminat. Begitu juga dengan sambutan luar biasa peminat untuk lagu ‘Pujaan Hati’ Adira. Harapnya bila kami semua bergabung dalam lagu “Takdir Tercipta”, ianya berjaya mencipta fenomena tersendiri. Sekurang-kurangnya mendapat sambutan yang baik macam lagu-lagu solo kami ini juga.

Lagipun sudah lama kami tidak berduet. Jadi saya harap penggemar muzik tempatan dapat menerima baik lagu duet ini dan usaha kami untuk kembali berduet atas permintaan peminat ini dihargai kerana lagu ini memang kami persembahkan khas buat peminat yang setia menyokong kami selama ini,” jelas Hafiz lagi yang turut menyatakan bahawa istimewanya gandingan mereka secara duet adalah kerana karya duet mereka hanya muncul empat tahun sekali saja.

“Takdir Tercipta” merupakan lagu duet pertama Hafiz dan Adira yang diterbitkan di bawah syarikat rakaman Nova Music (M) Sdn. Bhd.. Sejak dimuatnaik ke saluran YouTube Nova Music Videos pada 16 Ogos 2019 yang lalu, video teaser 45 saat “Takdir Tercipta” sudah pun mencapai lebih 70,000 tontonan dan membangkitkan keterujaan peminat untuk menantikan pelancaran penuh lagu duet ini. Tayangan perdana video lirik rasmi lagu “Takdir Tercipta” boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada 09.09.19 jam 3 petang di pautan ini. <sila masukkan pautan ke video lirik rasmi “Takdir Tercipta”>

“Takdir Tercipta”  merupakan single terbitan dan edaran Nova Music (M) Sdn Bhd. Single ini boleh didapati di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox , Deezer dan iTunes mulai 09.09.19.

Check Also

The Rock Emperor Penang Chapter Sukses Hiburkan 8,000 Penonton, Wings Bakal Bawa Konsert Ke Pantai Timur

Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang menjadi saksi 8,000 peminat rock pulang dengan senyuman selepas …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *