KUALA LUMPUR, 25 JULAI 2025 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini memeterai kerjasama strategik menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkasa pembangunan bakat digital dan keusahawanan belia di Malaysia, selari dengan aspirasi ekonomi digital negara.
Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui program Next Gen TeenXChange, kesinambungan kepada Digital Ninja yang telah dimulakan sejak 2016 di bawah inisiatif MyDigitalMaker. Program ini menyasarkan pelajar berumur antara 15 hingga 20 tahun yang menunjukkan potensi tinggi dalam bidang teknologi digital, kepimpinan, dan kemahiran insaniah.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, menjelaskan bahawa program ini adalah pelaburan jangka panjang negara dalam melahirkan pemimpin digital masa hadapan. “Menjelang tahun 2025, ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang 25.5% kepada KDNK. Oleh itu, pembangunan bakat digital bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan,” katanya.

Manakala Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, berkata bahawa kerjasama ini adalah manifestasi komitmen BSN dalam meningkatkan pendidikan dan literasi kewangan golongan muda. “Kami percaya pelaburan dalam bakat digital adalah asas kepada pembangunan masyarakat celik teknologi dan ekonomi,” ujarnya.
Melalui kolaborasi ini, Next Gen TeenXChange akan diperluas kepada lebih ramai pelajar dari pelbagai latar belakang, menyediakan mereka dengan akses kepada pembelajaran teknologi terkini, kemahiran digital, serta kesedaran kewangan. Sehingga kini, lebih 675 pelajar telah dilatih di bawah program ini, termasuk 250 pelajar perempuan yang kini aktif dalam bidang inovasi di universiti dan industri.
Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh wakil BSN, Encik Suzaini bin Mukhtar, dan wakil MDEC, Ts Nik Naharudin Mohd Nasir, serta disaksikan oleh Encik Mujibburrahman Abd Rashid (BSN) dan Ir Wan Murdani Wan Mohamad (MDEC).