Thanuja Terokai Keunikan Luar Biasa Dunia Dalam “UNSUNG PLACES”

Bermula 1 Disember, setiap hari Sabtu jam 7.30 malam, TV3 akan mempersembahkan sebuah program jurnal travelogue sebanyak 13 episod, membawa penonton menjelajah dan menerokai destinasi luar biasa penuh dengan tarikan tersembunyi yang menjanjikan pengalaman berbeza! Pengembaraan merentas garis sempadan ini membawa penonton mendekati karakter setiap lokasi yang dikategorikan sebagai ‘Unsung Places’.

Penjelajahan ‘Unsung Places’ bersama pengembara manis, Thanuja Ananthan, Ratu Cantik Malaysia 2009 akan menyusuri pelbagai lokasi unik di beberapa negara, antaranya, Sri Lanka, Jepun, India, China, Perancis, Sepanyol, Maghribi dan banyak lagi. Kelainan yang ditampilkan menerusi ‘Unsung Places’ ialah pemilihan destinasi yang jarang-jarang disebut dan diketahui umum, di mana kedudukan lokasi kurang popular di peta industri pelancongan. Sama ada ia sebuah negeri, bandar atau perkampungan tradisional, warna-warni setiap destinasi akan dikongsi menerusi pengalaman pengembara dalam mencari potensi dan keunikan ‘Unsung Places’.

Siri ‘Unsung Places’ memulakan pengembaraan ke sebuah negara pulau iaitu Sri Lanka, dahulu dikenali sebagai Ceylon dan pernah menjadi lokasi persinggahan pelayar ternama, Vasco Da Gama. Dalam episod pertama ini, penonton akan dibawa meninjau ke sebuah bandar industri dan komersil Sri Lanka iaitu Colombo yang terletak di bahagian Timur negara tersebut. Dari daerah yang mendapat jolokkan ‘mutiara lautan Hindi’, penonton dibawa pula ke sebuah zon pelancongan yang sedang pesat membangun, Semenanjung Kalpitiya dan seterusnya Anuradhapura, sebuah tapak warisan dunia yang berusia ribuan tahun dan daerah Ratnapura, kawasan perlombongan dan pusat dagang batu permata terbesar di Sri Lanka, termahal di dunia.

Selepas Sri Lanka, pengembaraan ‘Unsung Places’ menuju ke negara matahari terbit iaitu Jepun. Di sana, Thanuja akan ke pasar pagi tertua di Takayama untuk melihat bagaimana proses membuat makanan tradisional Miso dan Soba serta menyaksikan binaan bersejarah, sebuah istana yang dibina pada abad ke-16 di bandar Matsumoto. Tidak tamat di Takayama dan Matsumoto, penonton dibawa pula ke sebuah ladang wasabi terbaik di Jepun yang terletak di Nagano. Ladang yang mempunyai keluasan 15 hektar ini cukup sinonim kerana keindahan sungai dan kincir airnya.

Dari Timur Asia, ‘Unsung Places’ meneruskan perjalanan ke bahagian Selatan Asia iaitu India, negara yang mempunyai populasi kedua tertinggi di dunia dengan jumlah 1.2 billion. Perjalanan Thanuja di sana bermula di Gujarat, berkunjung ke rumah kelahiran pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi. Masih di Gujarat, penonton akan dibawa ke sebuah kawasan gurun yang dahulunya ialah dasar lautan namun kini antara lokasi memproses garam. Selain itu, di Gujarat juga penonton bakal melihat industri menternak kerbau dan penghasilan susu kerbau yang memberi hasil pendapatan utama serta proses tenunan produk Banjana.

Alami dan nikmati keunikan luar biasa ‘Unsung Places’ bersama pengembara, Thanuja merentasi beberapa negara lain pada setiap hari Sabtu jam 7.30 malam bermula 1 Disember ini di TV3. Penonton juga boleh menyaksikan siri ‘Unsung Places’ di www.tonton.com.my yang turut memuatkan sorotan sebalik tabir.

Check Also

ROSSA KEMBALI DENGAN KONSERT “HERE I AM” DI AXIATA ARENA

Penyanyi tersohor Indonesia, Rossa, bakal mengadakan konsert solo bertajuk “Here I Am” di Axiata Arena, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *