“THE STEW OF LIFE” ~ Drama bersiri TVB baru di NTV7

The Stew of Life telah mula ditayangkan pada 7 Februari, setiap Isnin hingga Rabu jam 11.00 malam. Siri drama yang bakal membuat anda tersenyum ini mengisahkan tiga orang wanita yang mempunyai peranan yang berbeza-beza di dalam sebuah keluarga yang juga memaparkan kisah perhubungan dan isu kekeluargaan.

Membawa watak utama dalam drama bersiri menarik ini adalah pelakon wanita veteran Hong Kong, Louise Lee. Aktres yang pernah merangkul beberapa anugerah ini akan bergandingan bersama dua lagi pelakon wanita cantik dan berbakat – Fala Chen dan Christine Ng. Drama ini juga tidak meninggalkan nama besar lain seperti bintang lelakinya, Chung King Fai dan Evergreen Mak. Turut tampil dalam drama ini dalah anak lelaki pelakon hebat seni mempertahankan diri Sammo Hung iaitu Timmy Hung. Turut membantu dalam drama bersiri ini adalah Johnson Lee, Stephen Huynh, dan Yvonne Ho.

Louise memainkan watak sebagai “Ng Lo Tai” yang digambarkan seorang ibu yang hebat dan sempurna kerana sifatnya yang ceria, penyayang dan suka melindungi anaknya, Charlie Ng (lakonan Fala Chen) dan suaminya Ng Man Tak (Lakonan Cheung King Fai). Ng Lo Tai selalu terpaksa berhadapan dengan kerenah suaminya yang degil dan suka merapu. Ng Man Tak juga tidak tahu menunjukkan perasaannya kepada isteri dan anaknya namun dia sememangnya penyayang, pemurah dan sentiasa teramat menyayangi mereka.

Fala Chen pula bukan sahaja menjadi salah satu teraju utama drama ini, malah turut menyanyikan lagu tema drama tersebut. Ternyata percubaan Fala Chen tidak sia-sia kerana telah tercalon di dalam dua anugerah tahunan TVB. Wataknya sebagai Charlie dalam drama ini adalah seorang yang suka menyatakan pendiriannya dengan tegas dan seorang wartawan berani di sebuah agensi berita di mana dia menemui kekasihnya, Bil Lee (Johnson Lee) dan seorang lelaki yang menarik minatnya, Ryan Lau (Timmy Hung). Ryan adalah seorang jurugambar di agensi berita sama dan sering mendapat pujian orang atasan. Ini membuatkan Charlie curiga sejauh mana cara kerja Ryan. Para penonton nanti akan terhibur melihat gelagat kisah dua pasangan ini saat mereka bertengkar dan tatkala keserasian ,mereka dipamerkan dalam lakonan mereka nanti.

Antara pasangan lain yang perlu diberi perhatian juga adalah May Lo (lakonan Christine Ng) dan Yau Kai (lakonan Evergreen Mak). May adalah adik Ng Lo Tai yang baru sahaja berpisah dengan suaminya yang kaya raya. May juga adalah seorang yang mementingkan diri sendiri serta bersifat materialistik kerana terbiasa dengan gaya hidup mewah. Sehingga nanti dia bertemu Yau Kai yang bakal jatuh hati padanya. Seorang yang baik dan bertimbangrasa, Yau Kai juga seorang yang bertanggungjawab dan seorang lelaki yan komited. Jatuh hati pada May membuatkan dia sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi hatinya. Seperti biasa, lakonan Evergreen semestinya akan lebih menambah rasa kepada watak yang dimainkannya.

Sementara itu, selepas berlakunya beberapa insiden, Ng Man Tak telah diarahkan untuk bersara awal. Lantas dia bakal menghabiskan masanya di rumah tanpa banyak perkara yang perlu dilakukannya. Dalam masa yang sama, Ng Lo Tai pula telah diberi peluang untuk menjadi hos rancangan memasak di televisyen. Banyak perkara berubah semenjak itu yang bakal menguji Ng Lo Tai namun dia tetap terpaksa bersabar. Suaminya pula bagaikan kurang gembira dengan segala yang berlaku dan sering menunjukkan ketidakpuasan hatinya. Mereka sering bertelingkah sehingga Lo Tai tahu bagaimana cara untuk “menguruskan” suaminya itu.

Bukan sahaja pasangan di usia matang mengalami masalah rumah tangga namun pasangan di umur pertengahan, seperti May juga bakal terperangkap dengan cinta segitiga bekas suaminya dan Yau Kai. Pasangan muda, Charlie dan Ryan juga terpaksa bergelut dengan kisah cinta mereka apabila mereka mengambil keputusan tinggal bersama. Kisah masalah hubungan mereka yang semakin rumit pasti menarik untuk ditonton.

Bagaimana tiga orang wanita ini akan menguruskan kerjaya dan kisah cinta mereka? Saksikan kisah menarik ini yang bakal menceriakan lagi hari anda dalam The Stew Of Life, bermula 7 Februari, setiap Isnin hingga Rabu jam 11.00 malam, tentunya di ntv7, Saluran Ceria Anda.

 

 

 

 

Check Also

ATARASHII GAKKO! Umum Konsert Jelajah UK/EU Dan Asia Part I

ATARASHII GAKKO!, kumpulan vokal dan tarian berpusat di Jepun, akan menggegarkan dunia dengan pengumuman lawatan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *