TUN MAHATHIR Perkenal IRIZ Dan PERSONA 2019 Di PAMERAN AUTO MALAYSIA

Proton Iriz dan Proton Persona 2019 akhirnya didedahkan, di mana kedua-dua model yang ditambahbaik itu telah membuat penampilan umum di Pameran Auto Malaysia di Serdang, hari ini. Kereta-kereta tersebut telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, diiringi Dato’ Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi PROTON serta Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Iriz dan Persona 2019 dengan reka bentuk baharu dan dilengkapi ciri-ciri pintar

Iriz dan Persona 2019 telah dipertontonkan kepada media pada Februari dan Mac yang lalu serta turut diperlihatkan kepada pelanggan terpilih semasa acara yang diadakan pada hujung minggu di cawangan-cawangan PROTON yang tertentu. Namun, pada hari ini, pelanggan-pelanggan yang datang berpeluang untuk melihat buat pertama kali model hatchback dan sedan keluarga ini dengan lebih dekat.

Kedua-dua kereta itu telah mendapat rekaan baharu, hasil dari kerjasama antara kumpulan Reka Bentuk PROTON dan pereka-pereka dari studio reka bentuk Geely lain di seluruh dunia. Ciri-ciri baharu lain termasuklah ethereal bow serta corak infinite weave yang telah dipadankan pada gril hadapan serta bampar hadapan dan belakang baharu dan reka bentuk rodanya.

Pada bahagian dalam, PROTON telah memasang unit stereo pintar bagi varian Premium 1.6AT, ciri pertama dalam kelasnya yang menggunakan kad eSIM untuk memastikan kereta tersebut kekal bersambung ke Internet. Turut ditawarkan adalah aplikasi bagi penstriman muzik, navigasi dan pengecaman suara serta turut boleh diakses melalui skrin sentuh 7-inci dengan paparan warna penuh dan memori dalaman sebanyak 16GB. Pengguna telefon pintar Android juga akan dapat menikmati fungsi pencerminan penuh melalui aplikasi sambungan yang mudah, membolehkan mereka mengakses data yang disimpan pada peranti mudah alih mereka.

Selain daripada perubahan pada gaya dan ciri-ciri pintar baharu, para jurutera pembangunan kenderaan di PROTON juga telah membuat pelbagai penambahbaikan kepada kedua-dua kereta yang mampu meningkatkan kualiti dan keseluruhan pengalaman pemilikan. Bagi Proton Iriz, sebanyak 367 penambahbaikan telah dilakukan, manakala untuk Proton Persona pula, sebanyak 303 penambahbaikan telah dibuat pada pelbagai bahagian kereta tersebut.

“PROTON amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerana berbesar hati memperkenalkan Proton Iriz dan Proton Persona 2019 ini di Pameran Auto Malaysia. Barisan jurutera dan pereka bentuk Syarikat telah bekerja keras selama 18 bulan untuk menambahbaik kedua-dua model ini dan kami yakin bahawa pembeli kereta Malaysia akan dapat melihat dan merasai sendiri hasil usaha mereka apabila mereka melangkah masuk ke dalam setiap satu daripada kereta ini. Setakat ini, lebih 8,000 tempahan telah diterima dan kami percaya bahawa angka ini akan bertambah sebaik sahaja kereta tersebut mula dijual,” kata Dr Li Chunrong.

PROTON mendahului pasaran SUV disebabkan Proton X70 yang popular

Tiga bulan pertama tahun 2019 telah terbukti menjadi permulaan yang cemerlang buat PROTON di mana Syarikat berjaya mendahului pasaran keseluruhan SUV dalam jualan, hasil dari populariti Proton X70 yang menjadi pilihan. Kombinasi ciri-ciri pintar, gaya kontemporari, kualiti produk yang terbaik dan harga yang menarik telah terbukti menjadi tarikan banyak pembeli SUV di Malaysia dan ini dapat dilihat apabila model Syarikat ini telah menerima lebih daripada 25,000 tempahan setakat ini.

PROTON juga telah menambahbaik rangkaian cawangannya dengan menggalakkan pengedar sedia ada dan pengedar-pengedar baharu melabur bagi cawangan 3S/4S, yang mana akan membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada para pelanggan. Inisiatif ini akan membantu menarik dan mengekalkan bukan sahaja pemilik Proton X70 tetapi pelanggan untuk model-model lain, seperti Proton Iriz dan Persona 2019.

Check Also

Wahdinii Dan Hotel Thistle Johor Bahru Jalin Kerjasama, Dikuasakan Oleh Impact Music Entertainment

Wahdinii, pemilik dan pengasas dari Singapura, Puan Faridah, yang suaminya meninggal dunia tahun lalu, bergabung …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *