BEIJING , 26 Mac 2025 – Universal Music Greater China (UMGC), cabang kepada Universal Music Group (UMG) yang merupakan peneraju global dalam hiburan berasaskan muzik, hari ini mengumumkan pelantikan eksekutif berpengalaman industri, Vivian Xu sebagai Ketua Pegawai Operasi, berkuat kuasa serta-merta. Berpengkalan di Beijing, Vivian akan melapor terus kepada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Greater China, Timothy Xu.
Dalam peranan baharunya ini, Vivian Xu akan bekerjasama rapat dengan Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan kepimpinan kanan untuk merangka dan melaksanakan strategi operasi, menyelia operasi harian syarikat, melaksanakan inisiatif strategik, serta mengenal pasti peluang-peluang baharu dalam pengembangan pasaran.

Vivian Xu membawa pengalaman luas dalam kepimpinan eksekutif merentasi industri muzik dan operasi korporat secara umum. Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di Columbia China, di mana beliau memacu kejayaan dalam pembangunan artis, perluasan kandungan tempatan, dan kerjasama strategik bersama rakan digital streaming platform (DSP) dan media. Terdahulu, Vivian juga memegang jawatan kanan dalam bidang kewangan dan operasi di Sony Music Entertainment China sejak Oktober 2015, dengan tanggungjawab merangkumi kewangan, perundangan, sumber manusia, teknologi maklumat, pentadbiran, dan rantaian bekalan. Dalam peranan tersebut, beliau berjaya memperkukuh tadbir urus kewangan, merasionalisasikan proses operasi, dan melaksanakan strategi pertumbuhan dengan cemerlang. Pengalaman awal beliau termasuk jawatan kepimpinan di Motorola Solutions, Sony Ericsson, dan Schneider Electric China, yang membuktikan lagi kepakaran kukuhnya dalam bidang kewangan dan operasi.
Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Pasaran Universal Music Group, Adam Granite berkata, “Kebijaksanaan strategik dan kepakaran mendalam Vivian dalam bidang operasi akan memperkukuh keupayaan kami untuk mengemudi pasaran yang kompleks dan mencapai pertumbuhan berterusan di rantau Greater China. Kami amat menantikan sumbangan besar beliau terhadap kejayaan kami yang berterusan.”
Sementara itu, Timothy Xu turut menyatakan, “Kami berbesar hati menyambut Vivian sebagai sebahagian daripada pasukan pengurusan UMGC. Vivian membawa rekod pencapaian yang mengagumkan serta gabungan istimewa antara kecekapan kewangan dan kepakaran perniagaan, yang meletakkan beliau dalam posisi terbaik untuk memacu objektif strategik kami. Pelantikan ini akan mempertingkatkan keupayaan kami dalam memperluaskan kehadiran tempatan serta mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai peneraju pasaran muzik di China.”
Vivian Xu pula berkata, “Saya berasa amat teruja dan berbesar hati untuk menyertai Universal Music Greater China pada waktu yang penting dalam industri ini. Lebih kurang sedekad lalu, Timothy yang pertama kali memperkenalkan saya kepada dunia muzik, dan saya amat menghargai bimbingannya. Kini, amat bermakna untuk kembali bekerjasama dengannya. Bersama Timothy dan pasukan berbakat UMGC, saya tidak sabar untuk membina kerjasama inovatif, menyerlahkan kemeriahan muzik China, dan menyumbang kepada pertumbuhan berterusan syarikat ini.”
Vivian Xu memiliki Ijazah MBA daripada Pacific States University dan Ijazah Sarjana dalam Kewangan Antarabangsa daripada University of International Business & Economics.