Walaupun jauh beribu batu, namun suara rintihan dan kesengsaraan hidup rakyat Palestin yang terus ditindas oleh rejim Zionis tidak pernah dipandang ringan oleh rakyat Malaysia. Susulan daripada pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad yang berlangsung di Karnival Jom Heboh Kuantan pada hari Sabtu lalu, TV3 dengan kerjasama Primeworks Studios bakal menerbitkan mini konsert amal ‘Untukmu Palestin’ pada 29 November 2012 (Khamis) yang akan disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam bermula jam 11.00 malam.
‘Untukmu Palestin’ yang akan bersiaran selama satu jam menampilkan barisan artis hebat seperti Faizal Tahir selaku teraju utama dan turut ditemani oleh Aizat, Kumpulan Raihan, Hafiz Hamidun, Noh Salleh (Hujan), Tomok dan Misha Omar. Bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad dan inisiatif murni untuk membantu ribuan mangsa serangan tentera Israel, mini konsert ini merupakan platform terbaik untuk menyeru dan mengajak orang ramai termasuklah badan-badan korporat untuk beramal melalui sumbangan terus kepada tabung khas ini.
Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad merupakan hasil kerjasama dengan Mercy Malaysia telah dilancarkan di Karnival Jom Heboh TV3 yang berlangsung di Kuantan, Pahang pada hari Sabtu yang lepas. Atas dasar keperihatinan dan rasa simpati para pengunjung, sebanyak RM 12,530.85 telah berjaya dikumpulkan sepanjang dua hari karnival itu berlangsung.
Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, “Sebagai tanda sokongan terhadap Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad, TV3 telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan mini konsert amal ‘Untukmu Palestin’ yang bertujuan meningkatkan kesedaran penonton TV3 tentang tabung tersebut dengan penglibatan artis-artis popular tanahair. “
“Lebih istimewa, Faizal Tahir yang pernah dilantik sebagai duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin oleh TV3 pada tahun 2010 akan mendermakan 3 trofi beliau yang pernah dimenangi sepanjang 6 tahun dalam arena seni yang akan dilelong khas kepada badan korporat yang berminat untuk membuat bidaan. Semua trofi ini merupakan koleksi sentimental yang tentu sahaja tidak boleh diukur dengan wang ringgit, namun, kami berharap ada pihak yang berminat untuk menawarkan harga tinggi trofi ini agar sumbangan dapat disalukan ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad.” Tambah Encik Izham.
Mini konsert amal Untukmu Palestin diterbitkan oleh Primeworks Studio dan diketuai oleh Muhamad Sufian Che Isa selaku penerbit eksekutif dan Nurhul Huda Haji Khalid sebagai penerbit. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Untukmu Palestin pada hari Khamis (29 November 2012) secara siaran langsung di TV3 pada jam 11.00 malam.
Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan pada malam itu ialah Zikir Terapi – Astaghfirullahal’azim, Untukmu Palestin, Kembara Di Tanah Gersang, Kau Yang Satu, Kembara, Erti Hari Ini, Anti Graviti dan Insyallah.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima Berhad, menerusi akaun Maybank 5642 7651 0331. Layari Facebook & Twitter TV3MALAYSIA untuk mendapatkan berita terkini.