USANITA Edar 10,000 Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan 2023

Usanita Sdn Bhd mengedarkan 10,000 Jalur Gemilang kepada pengunjung Starhill Bukit Bintang, hari ini, dalam program Kita Merdeka bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2023. Program yang berlangsung di perkarangan Starhill itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Prof. Dato Sri Dr. Hasan dan Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan (Hot FM, Kool 101 dan Digital), Shah Hayatudin yang bertindak sebagai rakan strategik.

Majlis yang bermula sekitar 9 pagi itu turut dimeriahkan oleh Perintis Usanita yang merupakan usahawan hebat di bawah kelolaan Usanita. Menurut Adzliana, tujuan utama program Kita Merdeka dibuat adalah untuk meningkatkan kesedaran dan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang. “Pertama sekali Usanita amat berterima kasih pada pihak Starhill kerana telah menaja lokasi program ini.

“Cadangan program ini tercetus sebaik tema sambutan Hari Kebangsaan 2023 diumumkan iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. “Jadi kami tampil dengan inisiatif mengedarkan 10,000 Jalur Gemilang kepada pengunjung di sekitar Starhill tanpa mengira kaum, agama atau bangsa sebagai langkah kecil untuk menanam rasa kecintaan kepada negara tercinta,” katanya.

Menurut Adzliana, inisiatif yang dibuat antara lain bertujuan untuk menyatupadukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. “Selain mengedarkan 10,000 Jalur Gemilang, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti cabutan bertuah, pemberian aiskrim Malaysia secara percuma serta program santai bersama rakyat Malaysia yang berada di perkarangan Starhill ini sempena menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66 esok,”katanya.

Menyentuh mengenai kolaborasi bersama stesen radio Kool 101, Adzliana berkata Kool 101 bertindak sebagai medium penting dalam menyampaikan peranan, inisiatif, misi dan visi Usanita kepada masyarakat. “Kerjasama bersama Kool 101 sudah berlangsung sepanjang tahun ini. Pihak kami begitu teruja dengan kolaborasi ini kerana Kool 101 bukan saja membantu dalam bidang keusahawanan tetapi bertindak dalam menyampaikan dasar atau inisiatif pihak kerajaan kepada rakyat Malaysia,”katanya.

Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-66 tahun ini, Adzliana melihat golongan wanita semakin berani dan mampu berdiri sendiri dengan bekerja serta membina pendapatan dalam membantu ekonomi keluarga. “Kemerdekaan bermaksud satu kebebasan yang mana negara sudah mencapai kemerdekaan dari aspek pembangunan, ekonomi dan perpaduan.

Malah golongan wanita hari ini juga sudah ‘merdeka’ apabila mampu berdiri di atas kaki sendiri. “Bagi saya, itu adalah satu kemerdekaan buat wanita apabila dapat membantu membangunkan ekonomi negara selain mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Hari ini wanita juga mampu berjaya, berdikari, berdedikasi dan gemilang,”katanya.

Check Also

Kahf Malaysia Ungguli Kategori Pelancaran Produk di Anugerah FMCG Asia 2024

Kahf Malaysia, jenama penjagaan diri lelaki yang sedang berkembang pesat, telah mencapai kejayaan membanggakan apabila …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *