Tayangan Perdana Antarabangsa JALAN PINTAS di Festival Filem Fantastik Antarabangsa Puchon ke 16

 

Filem drama kehidupan sosial, JALAN PINTAS telah dijemput untuk mengadakan tayangan perdana antarabangsanya bersempena dengan Festival Filem Fantastik Antarabangsa Puchon (PIFAN) ke 16 yang berprestij 19 hingga 29 Julai 2012.

PIFAN yang bermula pada 1997 menjadi simbol kepada bandar Bucheon yang dikenali sebagai pusat budaya yang menggabungkan animasi, kartun, permainan dan filem.JALAN PINTAS, ditulis Ayam Fared dan diarahkan oleh Nam Ron dipaparkan di dalam seksyen Vision Express.

Nam Ron berkata, “Inilah filem yang menampilkan kehidupan sebenar berdasarkan realisme. Projek filem ini menyerlahkan bakat bintang filem tempatan yang sukar untuk mereka perolehi di filem-filem arus perdana.”Sementara itu, Faisal Mustaffa selaku penerbit berkata, “Saya bersyukur kerana filem ini diterima di peringkat antarabangsa sungguhpun ia merupakan filem pertama terbitan saya dan Rumah Anak Teater. Saya juga berharap agar filem ini dapat diterima oleh penonton tempatan sekiranya ia ditayangkan di pawagam kelak.”

JALAN PINTAS merupakan sebuah cereka yang berkisar mengenai watak Bakar – seorang pemuda lepasan ijazah dalam jurusan kejuruteraan, juga seorang anak lelaki tertua dalam keluarga (yang tidak lagi berbapa), yang datang ke Kuala Lumpur dari kampung, untuk mencuba nasib demi menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga – ibu dan seorang adik perempuannya.

Melalui JALAN PINTAS, kita melihat watak seorang pemuda yang biasa, yang boleh kita temui di mana-mana, yang menjadi mangsa kepada janji-janji delusi Kuala Lumpur. Menelusuri perjalanan yang Bakar tempuhi dalam ruang waktu satu hari – dari pagi ke petang, hanya dengan tujuan untuk menghadiri sesi temuduga; kita sebenarnya tanpa sedar sedang melihat sebuah kehidupan seorang manusia, yang terperangkap antara harapan dan beban, hingga akhirnya, disebabkan kenyataan, angan-angan berubah menjadi dendam.

Bakar yang sentiasa membiarkan pilihan-pilihan hidup bermain di ruang ciptaan kotak fikirnya, tanpa sengaja telah menghasilkan justifikasi kebarangkalian serta risiko yang bakal dihadapinya untuk setiap pilihan yang bakal dibuat. Dan pada akhirnya, Bakar, juga kita, tetap keliru; apakah kita yang terlalu bodoh dan dungu, atau takdir hidup memang seharusnya begitu?

JALAN PINTAS dibintangi oleh Auf Razak, Sharifah Amani, Beto Kusyairy dan Bront Palarae.Filem ini juga bakal ditayangkan di Festival Filem Torino, Itali.

Check Also

Astro Persembahkan Drama ‘Berbahagi Suami’ – Menyingkap Realiti Poligami Dari Kaca Mata Isteri Kedua

Astro, peneraju utama hiburan di Malaysia, kembali dengan drama terbaharu berkisarkan konflik rumahtangga bertajuk ‘Berbahagi …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *