DAMANSARA DAMAI – Industri automotif Malaysia melakar satu lagi sejarah apabila PUSPAKOM AI pemeriksaan bawah kenderaan diperkenalkan sebagai teknologi pertama seumpamanya di negara ini. Inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu mampu mempercepat proses pemeriksaan bawah kenderaan sehingga hampir 90 peratus, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan membantu memperkukuh keselamatan jalan raya.
Teknologi baharu itu diperkenalkan sempena Jelajah Malaysia Digital 2026 sebagai sebahagian daripada usaha transformasi digital PUSPAKOM dalam memodenkan proses pemeriksaan berkanun. Sistem tersebut dibangunkan bagi memberikan pemeriksaan yang lebih pantas, konsisten dan telus tanpa menjejaskan integriti proses sedia ada.

PEMERIKSAAN LEBIH CEPAT DAN TEPAT DENGAN AI
Sistem pemeriksaan bawah kenderaan berkuasa AI menggunakan analisis imej pintar untuk mengenal pasti pelbagai komponen serta kecacatan pada bahagian bawah kenderaan.
Antara masalah yang boleh dikesan termasuk kakisan, kebocoran minyak, kerosakan sistem brek, kecacatan gandar dan kerosakan struktur.

Dengan teknologi ini, tempoh pemeriksaan dapat dipendekkan daripada sekitar 10 minit kepada kira-kira satu minit. Keupayaan itu bukan sahaja mengurangkan masa menunggu pelanggan, malah membolehkan lebih banyak kenderaan diperiksa dalam tempoh yang sama.
Bagi pengendali kenderaan komersial dan syarikat logistik, penjimatan masa ini memberi nilai tambah kerana kenderaan dapat kembali beroperasi dengan lebih pantas.
AI TINGKATKAN KUALITI PEMERIKSAAN
Walaupun AI memainkan peranan penting dalam proses pemeriksaan, keputusan akhir sama ada sesebuah kenderaan lulus atau gagal masih ditentukan oleh Pemeriksa Kenderaan PUSPAKOM yang bertauliah.
Sistem AI hanya bertindak sebagai alat sokongan pintar yang membantu mengenal pasti potensi anomali sebelum disahkan oleh pemeriksa.

Pendekatan ini meningkatkan ketepatan, konsistensi serta ketelusan pemeriksaan, selain menghasilkan rekod digital yang boleh digunakan untuk semakan sekiranya berlaku pertikaian pada masa hadapan.
PUSPAKOM TERUS PACU TRANSFORMASI DIGITAL
Selain pemeriksaan bawah kenderaan, PUSPAKOM turut membangunkan teknologi pemeriksaan bahagian atas kenderaan yang dikenali sebagai ASTRA menerusi kerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pada masa sama, syarikat itu merancang memperkenalkan teknologi pemeriksaan tayar berkuasa AI dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang ke arah sistem pemeriksaan kenderaan pintar.

Usaha berterusan ini dijangka membantu memperkukuhkan ekosistem pemeriksaan kenderaan negara dengan teknologi yang lebih moden, cekap dan diyakini pengguna.
Sempena Jelajah Malaysia Digital 2026, pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi secara langsung sistem pemeriksaan bawah kenderaan berkuasa AI serta mendapatkan penerangan mengenai inisiatif transformasi digital PUSPAKOM.
Orang ramai juga boleh menikmati 40 slot Pemeriksaan Kenderaan Persendirian (PVI) secara percuma melalui pra-pendaftaran, tertakluk kepada kekosongan yang disediakan.
Selebriti Online Portal Hiburan Dan Gaya Hidup Malaysia