Bakal menemui penonton, 3 telefilem istimewa Aidil Adha ini bakal disiarkan pada 15 Oktober dan 16 Oktober 2013 (Selasa & Rabu), seperti Kampungku Dan Aidil Adha, Cinta Mat Samperit dan Pelita Tanpa Sumbu yang diwarnai oleh barisan pelakon handalan seperti Aeril Zafrel, Izara Aishah, Fasha Sandha, Roy Azman, Aidil Aziz, Shafiq Kyle, Zalif Sidek, Amyrah Rosli, Razak Ahmad, Rafidah Ibrahim, Faezah Elai, Wan Sharmila, Awal Ashari, Hairi Safwan, adik Puteri Shasha, Fauziah Nawi dan ramai lagi. Tambah istimewa lagi dengan penampilan pertama Fasha Shanda selepas lama tidak berlakon kerana cuti bersalin dalam telefilem Cinta Mat Semperit. Selain daripada menggamit emosi, hiburkan hati sambil bergelak ketawa dengan menghayati jalan cerita yang menarik dan bersesuaian dengan tema Hari Raya Haji kali ini.
Atas permintaan ramai dan juga kepada peminat setia TV3 yang ketinggalan menyaksikan telefilem semasa Aidil Fitri yang lalu, kami menyiarkan kembali 6 telefilem istimewa bermula 13 Oktober sehingga 16 Oktober 2013 iaitu Geng Kampung Pisang, Korban Haji, Tersalah Cinta, Adnan Sempit Balik Raya, Satu Hari Di Hari Raya dan Kalut Raya yang dibintangi oleh ramai lagi barisan artis-artis popular temasuklah Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Arash Mohd, Watie Elite, Azwan Kombos, Nad Zainal, Zila Bakarin, Zul Yahya, Nadia Mustafa, Fiza Halim, Khatijah Tan, Fazli Daniel Ali, Maisara Syazreen Johan Asa’ri, Zarina Zainoordin, Linda Onn, Shamsul Ghau Ghau, Emma Maembong, Aqasha, Neelofa, Rita Rudaini dan Nazim Othman.
Selain daripada sajian drama-drama hebat, pastikan temujanji anda untuk menonton program majalah dan dokumentari terbaik TV3 yang memaparkan kandungan menarik seperti Panggilan Terindah, Keajaiban Mekah, Malaysia Hari Ini (MHI) Edisi Aidil Adha, Nona – Istimewa Aidil Adha dan Wanita Hari Ini (WHI) Edisi Aidil Adha, terbitan Primeworks Studios.
Berikut ialah program-program istimewa “SALAM AIDIL ADHA” TV3:-
AHAD (13 OKTOBER 2013)
GENG KAMPUNG PISANG – 3.00 PETANG
Permusuhan di antara AG dengan Hairi bermula sejak mereka masih kecil dan berlarutan sehingga kedua-duanya dewasa. Kedua-duanya menjadi ketua bagi kumpulan masing-masing. Di sekolah, kedua-dua kumpulan ini dikenali sebagai geng buli. Kenakalan dua kanak-kanak ini memang memeningkan guru-guru. Murid-murid lain takut akan kumpulan ini terutama FBI, seorang kanak-kanak yang baik dan pendiam, tetapi kuat menangis. Kerana sifatnya ini, FBI selalu dibuli oleh kedua-duanya. Bagaimanapun, Sari Yanti selalu membela FBI dan menyelamatkannya. Bapa Sari Yanti, Cikgu Deraman, mengajar di sekolah tersebut. Disebabkan itu, Sari Yanti ada imuniti daripada diganggu geng buli tadi. Sari Yanti dan FBI menjadi sahabat baik. FBI jatuh cinta terhadap Sari Yanti dan berhasrat untuk berkahwin dengannya. Dengan berani, FBI berjumpa Cikgu Deraman untuk melamar Sari Yanti. Cikgu Deraman hanya ketawa mendengar lamaran kanak-kanak berusia sepuluh tahun. Tawa Cikgu Deraman menjadi cabaran kepada FBI untuk memiliki Sari Yanti suatu hari nanti.
Pelakon: Sari Yanti, Hairi Safwan, AG, Idzham Ismail, Heiri Aszmo
ISNIN (14 OKTOBER 2013)
TERSALAH CINTA – 9.30 PAGI
Rahimi bekerja sebagai seorang mutawif di sebuah agensi yang menguruskan umrah. Dia mempunyai isteri bernama Farhana yang kini sedang sarat mengandung anak pertama mereka. Rombongan ke umrah pada kali ini telah menguji keimanan Rahimi dimana dia telah digoda oleh Cinta yang menyertai rombongan tersebut setelah putus tunang. Turut serta dalam rombongan itu ialah Duwen dan Zahren. Ibu bapa Duwen menghantarnya mengerjakan umrah agar sikapnya yang nakal berubah. Manakala Zahren merupakan pelakon popular yang sombong mahu menjejakkan kaki ke Melah sekadar untuk bercuti. Sementara itu, Farhana tidak senang duduk di Malaysia apabila Rahimi secara jujurnya menceritakan dirinya sedang digoda oleh Cinta. Mampukah Rahimi meneguhkan keimanannya setelah digoda oleh gadis cantilk seperti Cinta?
Pelakon: Aqasha, Johan As’ari, Neelofa, Rita Rudaini, Nazim Othman
KORBAN HAJI – 3.00 PETANG
Zaimi dan ibu bapanya berjaya mendapat panggilan untuk menunaikan haji. Zaimi begitu teruja lantaran dia merupakan pemuda termuda di kampung itu yang bakal bergelar haji. Zaimi dan ibunya mahu mengerjakan haji dengan lebih selesa lalu membuat keputusan untuk mengambil pakej VIP. Namun dalam masa yang sama nenek Zaimi mengalami masalah kewangan dan menyebabkan dia terpaksa membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji. Semua wang simpananya habis dikeluarkan untuk menjamin anak lelaki bongsunya yang merupakan penagih dadah. Orang kampung mula menasihati Zaimi dan ibunya untuk membantu Wan Piah yang semakin uzur. Namun mereka tidak menghiraukan kata-kata orang sekeliling demi merealisasikan impian mereka. Adakah Wan Piah berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci?
Pelakon: Ryzal Jaafar, Rozita Che Wan, Norlia Ghani, Zuhairi Ibrahim, Tilla Malvin, Hairi Safwan
ADNAN SEMPIT BALIK RAYA – 9 MALAM
Adnan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya di rumah pakciknya, Pak Chah. Dia terkejut apabila kawan baiknya, Fatimah kini bertukar menjadi seorang yang kurus dan cantik setelah sekian lama mereka tidak berjumpa. Fatimah mahu Adnan mengahwininya tetapi Adnan menolak. Adnan sudah mempunyai calon isterinya iaitu Nadia. Konflik berlaku apabila Jibeng yang menyimpan perasaan terhadap Fatimah telah menuduh Adnan membakar motosikalnya. Berjayakah Adnan menyelesaikan masalah ini?
Pelakon: Shaheizy Sam, Intan Ladyana, Arash Mohd. Watie Elite, Azwan Kombos, Nad Zainal, Zila Bakarin
SELASA (15 OKTOBER 2013) – HARI RAYA AIDIL ADHA
SATU HARI DI HARI RAYA – 9.30 PAGI
Syafiq dan Dahlia merupakan pasangan suami isteri yang sering berselisih pendapat. Syafiq seorang yang garang dan mementingkan diri sendiri manakala Dahlia pula seorang yang keras kepala dan bersifat keanak-anakan. Tahun ini, buat kali pertamanya, mereka akan menyambut bulan Ramadan sebagai suami dan isteri. Apabila kedua-dua tidak bangun untuk bersahur, masing-masing menyalahkan pihak lain kerana tidak mengejutkannya. Auntie Mariani dan Uncle Usop datang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama mereka. Melihat kepada gelagat pasangan muda ini, Auntie Mariani dan Uncle Usop cuba menolong mereka untuk menyiapkan kerja-kerja rumah. Berjayakah Syafiq dan Dahlia mencari persefahaman antara mereka bagi menjaga keharmonian rumah tangga yang baru dibina?
Pelakon: Johan Asa’ri, Zarina Zainoordin, Linda Onn, Shamsul Ghau Ghau, Emma Maembong.
WANITA HARI INI (WHI) EDISI AIDIL ADHA – 12.00 TENGAHARI
WHI akan bersiaran secara langsung istimewa Hari Raya Haji dengan diskusi menarik “PENGORBANAN PENDERMA & PENERIMA ORGAN” dari Restoran Istana Bambu, Hulu Kelang, Selangor. Bersama-sama pakar daripada Institut Transplan Nasional dan juga penderma dan penerima organ yang sudi berkongsi kisah kehidupan mereka, bagaimana terbuka hati untuk menjadi penderma yang kita tahu tidak mudah untuk dilakukan. Turut mewarnai siaran, 30 orang tetamu yang juga terdiri daripada penderma & penerima organ ini. Selain itu, persembahan Nasyid & Qasidah mengalunkan lagu-lagu istimewa mereka dan demo masakan istimewa sempena Hari Raya Haji ini dari Istana Bambu.
Pengacara : Fiza Sabjahan & Nabihah Rosdi.
Kampungku Dan Aidil Adha, Cinta Mat Samperit,Pelita Tanpa Sumbu,Geng Kampung Pisang, Korban Haji, Tersalah Cinta, Adnan Sempit Balik Raya, Satu Hari Di Hari Raya,Kalut Raya,haheizy Sam, Intan Ladyana, Arash Mohd, Watie Elite, Azwan Kombos, Nad Zainal, Zila Bakarin, Zul Yahya, Nadia Mustafa, Fiza Halim, Khatijah Tan, Fazli Daniel Ali, Maisara Syazreen Johan Asa’ri, Zarina Zainoordin, Linda Onn, Shamsul Ghau Ghau, Emma Maembong, Aqasha, Neelofa, Rita Rudaini,tv3,Aidiladha,
KAMPUNGKU DAN AIDIL ADHA – 3.00 PETANG
Ketua kampung dan ketua belia kampung merancang untuk menganjurkan pertandingan nyanyian untuk mencari artis/duta kampung. Uji bakat dijalankan dan menerima sambutan hangat. Setelah ditapis, para panel sebulat suara memilih 5 orang yang layak menjalani latihan itu. Peserta lelaki terdiri daripada Arman, Bandi dan Ciko. Mereka terkenal sebagai pemuda yang nakal, suka merempit dan mengganggu penduduk kampung. Manakala peserta wanita pula terdiri Maya dan Aini. Pertandingan dimulakan, mereka berlima dikurung di surau lama yang dijaga oleh warden yang garang seperti komando 69 iaitu Pak Kaza. Hari pertama, mereka harus gotong-royong membersihkan kawasan masjid. Kesemua peserta hairan terutama Arman yang berasa tidak puas hati dengan ujian itu dan dia mempersoalkan kenapa perlunya peserta melakukan gotong-royong kerana ia tiada berkaitan langsung dengan bidang nyanyian. Dalam mereka bergotong royong, Arman cuba menggoda kembali kedua-dua bekas kekasih lamanya iaitu Maya dan Aini. Bandi dan Ciko juga tak lepas peluang ‘jual minyak’. Selain itu mereka turut diuji dengan sesi rohani dan ibadah. Mereka diuji dengan ujian Iman, Ikhsan dan Amal iaitu asas agama. Cara syahadah, istigfar, bacaan mandi wajib yang betul dan muhasabah diri. Mereka juga diperbetulkan cara wudhu dan solat. Bacaan solat dari A hingga Z diperbetulkan. Solat Jemaah diadakan bersama-sama. Mereka mula mempelajari erti sebenar kehidupan. Arman juga mula sedar dengan keangkuhan dirinya. Hubungan mereka akhirnya semakin erat dan menanti untuk diumumkan sebagai artis kampung. Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai duta kampung? Sama-sama kita saksikan telatah lucu anak-anak kampung ini.
Pelakon: Aidil Aziz, Shafiq Kyle, Zalif Sidek, Amyra Rosli, Razak Ahmad, Rafidah Ibrahim
PANGGILAN TERINDAH – 6 PETANG
Panggilan Terindah memaparkan kisah-kisah inspirasi insan-insan yang pernah menunaikan haji dan mempunyai latar kisah yang berbeza. Ia ibarat sebuah panggilan yang istimewa atas keizinanNya. Kisah pertama mengenai Haji Mazlan Nordin yang pernah mengendalikan pelayaran jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci ketika umurnya 20 tahun. Pelbagai ragam jemaah menguji kesabaran dan kekuatan mental. Kisah kedua pula menampilkan keunggulan Prof Ismawi Zen yang menjadi satu-satunya panel dari Asia dalam projek pembesaran Masjidilharam. Panggilan daripada kerajaan Arab Saudi untuk projek ini sememangnya satu rahmat dan anugerah yang amat indah. Kepakarannya dalam membantu keselesaan umat pasti meninggalkan jasa yang akan terus mengharum sehingga ke akhirat. Kisah ketiga pula memaparkan pengalaman sebuah keluarga seramai 11 orang yang pernah menunaikan haji pada tahun 1997. Menariknya, hampir separuh daripadanya ialah remaja dan kanak-kanak. Panggilan dan jemputan Allah itu tiada siapa yang boleh menafikannya. Usia bukan ukuran, asal kefahaman dan ilmu ada untuk melaksanakannya. Kisah terakhir pula menampilkan Haji Mat Lee atau Muhammad Lee Abdullah, seorang mualaf cacat penglihatan yang begitu Istiqamah melaksanakan tuntutan kehidupan sebagai seorang muslim. Isterinya juga cacat penglihatan. Walaupun dunianya gelap gelita, namun hatinya bersinar dengan cahaya iman. Jangan lupa menyaksikan kisah-kisah inspirasi ini, diterbitkan oleh Ahmad Fedtri Yahya
CINTA MAT SEMPERIT – 10.00 MALAM
Cinta Mat Semperit mengisahkan tentang Kak Lola yang handal membuat kuih semperit dan kelebihannya itu membuatkan dia dikenali sebagai pembuat kuih semperit terbaik di kampungnya. Namun, bakat Kak Lola itu dicemburui oleh Chef Kamus. Chef Kamus ingin mengetahui rahsia dan bahan-bahan yang digunakan oleh Kak Lola dalam membuat kuih semperit. Jadi, Chef Kamus meminta adik perempuannya, Ariani menjadi perisik untuknya bagi mendapatkan resipi kuih semperit Kak Lola. Chef Kamus mahu Ariani berkawan rapat dengan anak lelaki Kak Lola iaitu Ariel. Kebetulan pula ketika itu Ariel sememangnya meminati Ariani dalam diam. Jadi, ini memudahkan Ariani untuk berkawan rapat dengan Ariel.
Pada mulanya Ariani tidak mahu memenuhi permintaan abangnya namun Chef Kamus berjanji jika Ariani berjaya mendapatkan resipi kuih semperit Kak Lola, dia akan menghadiahkan sebuah motosikal kepada Ariani. Bagi mendapatkan motosikal idamanya, Ariani sanggup berkawan rapat dengan Ariel. Ariani mula menjalankan tugasnya dan meminta Ariel mendedahkan resepi kuih semperit Kak Lola kepadanya. Demi memenangi hati Ariani, Ariel sanggup belajar cara-cara untuk membuat kuih semperit dari Kak Lola. Pelbagai adegan lucu dan menarik yang terjadi sepanjang usaha kedua-dua pihak untuk mendapatkan resipi istimewa kuih semperit Kak Lola. Berjayakah Chef Kamus mendapatkan resepi kuih semperit Kak Lola? Bagaimana pula dengan kisah cinta Ariel dan Ariani?
Pelakon : Aeril Zafrel, Izara Aishah, Fasha Sandha, Roy Azman
RABU (16 OKTOBER 2013) – HARI RAYA AIDIL ADHA
KALUT RAYA – 9.30 PAGI
Anak-anak Sufian dan Niza sedar bahawa setiap tahun mereka beraya di kampung, Mak Lang Qarina akan menunjuk-nunjuk kemewahannya. Dengan itu, mereka mencari jalan untuk membantu ibu bapa mereka untuk berjimat demi persiapan Hari Raya. Salah seorang pelanggan Sufian, Fifi menawarkan peluang untuk menggayakan koleksi baju kepada mereka. Mereka bersetuju dan menerima sejumlah wang selepas menyelesaikan tugasan itu. Wang tersebut diserahkan kepada Sufian dan Niza bagi membuat persiapan Hari Raya. Apakah yang bakal menanti mereka di kampung semasa Hari Raya nanti?
Pelakon: Zul Yahya, Nadia Mustafa, Fiza Halim, Khatijah Tan, Fazli Daniel Ali, Maisara Syazreen
KEAJIABAN MEKAH – 5.00 PM
Istimewa Aidiladha ini TV3 menyediakan program khas bertajuk Keajaiban Mekah yang tercatat di dalam Al Quran dan bakal merungkai kehebatan kota Mekah dari sejarah kota Mekah sehingga ke kelebihannya yang telah dibuktikan secara saintifik. Dr Jamnul Azhar Mulkan bersama Ustaz Badli Shah mengupas dari sudut sains dan Dr Abd Basit Abdul Rahman bersama ustazah Norhafizah Musa, mengupas kehebatan Kota suci ini dari sejarah Islam. Antara keajibannya yang bakal dirungkaikan ialah kedudukan Kota Mekah yang betul-betul berada di tengah pusat graviti Bumi yang juga dikenali sebagai Golden Ratio. Ia telah tercatat dari kedudukan ayat Quran dari surah Al Maidah ayat 97 yang bermaksud “…Allah telah menjadikan Ka’bah, rumah suci itu sebagai pusat bagi manusia”. Golden ratio juga terbukti sebagai satu nisbah kestabilan bagi kejadian manusia dan apa sahaja yang dibina oleh manusia dan kehebatan kota Mekah juga ditambah dengan adanya 2 batu dari Syurga iaitu Hajarul Aswad dan Batu Tapak Kaki Nabi Ibrahim. Keajaiban Mekah mengajak penonton menginsafi kehadiran batu berwarna putih susu ini telah bertukar menjadi hitam atas dosa-dosa anak Cucu Adam- (Hadis sahih Al Tirmizi al hajj 877).
PELITA TANPA SUMBU – 9.00 MALAM
Fiza pergi ke Kuala Lumpur untuk bekerja setelah bercerai dengan suaminya Samad. Samad merupakan anak bekas Ketua Kampung yang malas bekerja, tidak memberi nafkah dan suka berfoya-foya. Fiza meninggalkan anaknya Nur Atirah atau panggilannya Tira untuk dipelihara oleh emaknya (Mak Yah / Opah). Fiza telah menjadi rapat dengan Megat yang merupakan bos merangkap rakan kongsi di tempat kerja Fiza. Megat mula tertarik dengan sikap Fiza yang tidak gedik, selamba dan berlainan dengan gadis yang biasa ditemuinya. Bermula dengan urusan kerja, hubungan mereka menjadi semakin intim. Namun perhubungan mereka dihalang oleh ibu Megat yang mahu menjodohkan dia dengan Zetty. Rupa-rupanya Zetty merupakan kawan baik Fiza ketika mereka di sekolah asrama. Sementara itu Tira merindui Fiza yang sudah lama tidak menjenguknya di kampung. Dia juga teringin untuk melakukan ibadah korban dengan mengorbankan lembu. Zetty selalu menghubungi Tiara dan menyamar sebagai Fiza kerana kasihankan Tira yang amat merindui ibunya. Fiza telah pulang ke kampung setelah sekian lama namun tragedi berdarah telah berlaku. Siapakah yang telah terkorban?
Pelakon: Faezah Elai, Wan Sharmila, Awal Ashaari, Hairi Safwan, Fauziah Nawi dan adik Puteri Shasha.
Jangan lupa untuk sama-sama menikmati kemeriahan Hari Raya Haji kali ini menerusi pelbagai rancangan menarik bertemakan SALAM AIDIL ADHA di samping keluarga, sanak saudara dan sahabat handai hanya di TV3. Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1434H dan selamat menonton! Penonton yang terlepas menyaksikan program-program istimewa Aidil Adha boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my dan juga layari Facebook, Instagram & Twitter TV3malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini.