‘Ariana Rose’ Menampilkan Barisan Pelakon Hebat Tanah Air

Antara barisan pelakon Ariana Rose

Bagi membuka tirai tahun 2014, slot popular Akasia menampilkan sebuah lagi drama siri terbaru berjudul ARIANA ROSE khas buat peminat dan penonton setia TV3 telah pun bermula 30 Disember 2013 yang lepas.

Drama yang diadaptasi dari novel ‘The Wedding Breaker’  terbitan Karya Seni ini merupakan sentuhan terbaru dari pengarah berkaliber, Raja Alauddin Shah dan nukilan skripnya pula oleh Sofia Rhyland. Drama bersiri 28 episod terbitan Pena Creative ini dibintangi pelakon-pelakon popular seperti Keith Foo (Tengku Adam), Nur Fathia (Ariana Rose), Hisyam Hamid (Harith), Nabila Huda (Liayana), Arja Lee (Ramzul), Tasha Shilla (Tengku Juwita), Dato’ Jalaluddin Hassan (Dato’ Wan Jusoh), Ziela Jalil (Datin Asra), Mustapha Kamal (Tengku Mukhriz), Liza Abdullah (Tengku Lisdania), Rahhim Omar (Tengku Sidin), Jasmin Hamid (Tengku Marsela), Syatilla Melvin (Sophie), Wan Sharmila (Linda), dan ramai lagi.

ARIANA ROSE mengisahkan tentang Ariana Rose yang telah menyamar sebagai kekasih Tengku Adam ketika di majlis pernikahan Tengku Adam dan Tengku Juwita. Ariana bersetuju untuk berlakon kononnya dia sedang mengandungkan anak Tengku Adam demi membantu sahabat baiknya, Tengku Juwita agar perkahwinan itu gagal  diteruskan. Tengku Juwita sememangnya tidak mahu bersama  dengan Tengku Adam yang terkenal dengan sikap kaki perempuan.Teraju utama drama Ariana Rose

Pengakuan palsu Ariana itu ternyata telah memporak-perandakan majlis itu dan perkahwinan Tengku Adam dan Tengku Juwita juga dibatalkan. Bukan reputasi Tengku Adam sahaja di pandang rendah malah maruah keluarga Tengku Adam turut tercalar. Tengku Adam berang dengan keadaan yang berlaku kerana dia memang tidak mengenali Ariana. Jadi, Tengku Adam mengupah pengintip upahan untuk menyiasat siapakah wanita yang telah melakukan pembohongan di majlisnya.

Setelah berjaya mendapat maklumat tentang Ariana, Adam nekad untuk menculik Ariana dan membawa gadis itu ke Cameron Highlands. Tengku Adam cuba untuk memerangkap Ariana dengan memaksa Ariana membuat pemeriksaan kehamilan. Namun, Ariana tetap bertegas dengan mengatakan Tengku Adam adalah bapa kepada anaknya kerana Ariana telah berjanji dengan Tengku Juwita untuk menyimpan rahsia mereka berdua walau apa pun terjadi.

Tengku Adam masih tidak berpuas hati. Kemudian dia terpaksa menggunakan cara kotor dengan meragut kesucian Ariana. Ariana menyesal dan akhirnya mengakui kebenarannya. Ariana mula membenci Tengku Adam dan sejak itu dia tidak pernah lagi bertemu lelaki yang telah memperkosanya.

Selepas 2 bulan kejadian itu berlaku, Ariana meneruskan kehidupannya dengan melakukan kerja-kerja amal. Tanpa disangka, Tengku Adam adalah penyumbang terbesar bagi dana kebajikan di mana tempat Ariana bekerja. Ketika majlis amal diadakan Ariana hadir bersama rakan sepejabatnya, Harith. Entah mengapa Tengku Adam cemburu melihat kemesraan mereka berdua.

Tengku Adam mula menyukai Ariana. Namun, perasaan benci Ariana pada Tengku Adam dituduh tidak pernah berubah. Cara Ariana melayan Tengku Adam juga ternyata berbeza jika dibandingkan dengan layanan yang diberikan kepada Harith yang jauh lebih mesra. Tengku Adam bertambah hilang pertimbangan apabila Ariana turut mesra dengan bekas sahabat baiknya, Ramzul.

Tengku Adam bermusuh dengan Ramzul kerana Tengku Adam tidak bertanggungjawab setelah mengandungkan adiknya, Liyana suatu ketika dahulu. Liyana juga kini kembali untuk mendapatkan cinta Tengku Adam semula. Liyana sanggup melakukan apa sahaja asalkan Tengku Adam hidup bersamanya. Liyana bertambah tidak keruan apabila cinta Tengku Adam pada Ariana makin mendalam.Tengku Adam pula rimas dengan kehadiran Liyana kerana baginya kewujudan Liyana membuatkan dia lebih jauh dari Ariana.

Sementara itu, Ariana pulang ke kampung setelah diminta oleh ibu bapanya. Ibu bapa Ariana telah merancang untuk menyatukan Ariana dengan pemuda pilihan mereka. Tengku Adam mendapat tahu Ariana akan disatukan mengikut pilihan keluarga. Tengku Adam tidak mahu kehilangan Ariana. Malah Tengku Adam yang selama ini penuh dengan sikap ego, sanggup melutut dan merayu kepada Ariana agar menerimanya sebagai suami. Apakah yang akan terjadi selepas itu? Adakah Ariana akur dengan pilihan orang tuanya atau dia sebenarnya mula menyimpan perasaan pada Tengku Adam yang sudah berubah menjadi lebih baik?

Segalanya bakal terjawab dalam ARIANA ROSE yang telah disiarkan pada 30 Disember 2013 yang lepas, setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 7.00 malam di TV3. Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini tentang Ariana Rose, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia. Selain itu, penonton yang terlepas menyaksikan program ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

 

Check Also

“Mereka Yang Tertewas: Kisah Perjuangan Dakwah Lebai Pa”

“Mereka Yang Tertewas” adalah sebuah adaptasi novel karya Hasanuddin MD Isa yang diadaptasi untuk filem.Filem …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *