Tanpa ada gosip yang bertiup kencang benarkah pelakon cantik Kilafairy khabarnya sudah menemui cinta sejatinya? Tetapi betulkah jejaka pilihannya itu berada jauh nun di negara India? Namun semua ini hakikatnya hanya berlaku dalam sebuah drama bersiri terbaharu bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Cinta Agra” di TV2.
Mengisi slot Galeri Famili mulai 17 Mac depan, setiap Isnin – Rabu, pukul 2.30 petang, drama konflik cinta tiga segi ini turut menampilkan pelakon Shah Iskandar, Narenth Rao, Ezzaty Abdullah, Hairi Safwan dan Raja Ema.
13 episod drama bersiri arahan Jamal Khan bertemakan Bollywood yang membabitkan lokasi di sekitar New Delhi dan Kashmir, India ini mengetengahkan watak gadis bernama Aleeya yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang serta kemewahan oleh ibu bapanya Dato Hafiz dan Datin Marlia. Oleh kerana terlalu sayang semua kehendak Aleeya diturutkan. Dato Hafiz adalah seorang ahli perniagaan yang menjalankan perniagaan pembinaan yang terkenal di Malaysia. Oleh kerana kesibukan Datin Marlia dengan perniagaannya menyebabkan Dato Hafiz mempunyai seorang kekasih yang bernama Iza tanpa pengetahuan orang lain.
Aleeya masih menuntut di sebuah kolej terkenal di Ibu Kota di dalam bidang Pengurusan Perniagaan bersahabat baik dengan dua orang teman baik di kolej iaitu Nadya dan Sem. Aleeya kerap berkunjung di rumah Nadya dan Sem begitu juga dengan Sem dan Nadya kerana kedua orang tua Nadya dan Sem juga sibuk dengan kerja.
Dato Hafiz mempunyai seorang rakan kongsi bernama Dato Zakuan yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Aril. Aril seorang yang suka berfoya-foya dan tidak mahu membantu di dalam menguruskan syarikat ayahnya. Selepas tamat pelajaran dari Amerika. Aril lebih suka menghabiskan masa dengan berhibur dan melepak dengan kawan-kawannya di kelab malam.
Ketika Dato Hafiz dan Dato Zakuan keluar untuk bermain golf, Dato Zakuan telah memberitahu masalahnya mengenai Aril kepada Dato Hafiz. Dato Hafiz mencadangkan agar Dato Zakuan membawa Aril ke syarikatnya dan membenarkan Aril bekerja di syarikatnya buat sementara waktu. Dato Zakuan bersetuju dan berharap dengan cara ini dapat mengubah perangai Aril.
Aril yang pada mulanya tidak berminat dengan tawaran itu akhirnya berubah fikiran setelah melihat Aleeya yang datang ke pejabat untuk berjumpa dengan ayahnya. Aril berpura-pura fokus terhadap kerjanya bila di depan Dato Hafiz. Dato Hafiz tidak perasan tindakan Aril adalah semata-mata hendak memikat Aleeya. Dato Hafiz dan Dato Zakuan amat gembira dengan perubahan Aril dan dalam diam mereka mula mengaturkan rancangan untuk menyatukan kedua-dua anak mereka iaitu Aril dan Aleeya. Selepas pulang dari pejabat tanpa pengetahuan Dato Zakuan. Aril kembali kepada perangai lamanya suka berpoya-poya dan menghabiskan masa dengan perempuan.
Aleeya terdengar perbualan antara Dato Hafiz dan Datin Marlia mengenai rancangan mereka untuk menyatukan Aleeya dan Aril. Aleeya mula memikirkan bagaimana cara untuk menghalang rancangan Dato Hafiz dan Datin Marlia. Aleeya telah meminta pendapat dengan Nadya dan Sem.
Cuti semester telah bermula. Aleeya, Nadya dan Sem telah membuat rancangan untuk pergi bercuti. Setelah lama berfikir mereka telah bersepakat untuk pergi ke India. Mereka begitu gembira apabila sampai di sana dan telah meminta pihak hotel untuk menyediakan seorang pemandu pelancong bagi membawa mereka pusing-pusing India.
Mereka diperkenalkan dengan seorang pemandu pelancong bernama Syameer yang berasal dari Malaysia. pelbagai insiden berlaku yang kemudiannya membuatkan berputik rasa cinta dalam diri Syameer terhadap Aleeya. Namun di sebalik itu dia menyedari kekurangan diri dan perbezaan agama dan taraf hidup mereka ibarat langit dengan bumi.
Hubungan mereka mendapat tentangan hebat daripada keluarga Aleeya. Sebaliknya mereka mengaturkan mahu mempercepatkan pernikahan Aleeya dengan Aril. Aril pula mula menunjukkan belangnya bila Aleeya terang-terangan menolak cintanya dan mahu mengambil kesempatan terhadap gadis itu.
Lalu berjayakah cinta Aleeya dan Syameer bersatu? Bagaimana pula dengan nasib Aril yang bersembunyi di sebalik kebaikan sedangkan hakikatnya dirinya tidak sebaik yang disangka.