Berikutan kejayaan siri Oh My English (OME!) Musim Pertama, Musim Kedua, Oh My Ganu dan OME! Hello America, siri hiburan berpendidikan popular ini kembali dengan Oh My English! Musim Ketiga yang akan bersiaran pada setiap hari Ahad bermula dari 18 Mei 2014, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak dalam definisi tinggi (HD) di Astro Maya HD (saluran 135).
Musim terbaru ini bakal menyaksikan para pelajar kelas 3 Merah telah meningkat setahun dewasa tatkala mereka memulakan semester yang baru di dalam kelas 4 Merah. Watak-watak kegemaran anda seperti Jibam (Akhmal Nazri), See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani), Anusha (Kaameshaa a/p Ravindran) serta guru-guru kesayangan mereka Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) dan Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) akan kembali dalam musim ini dengan kisah serta jalan cerita yang lebih segar.
Para peminat siri ini pastinya teruja tatkala SMK Ayer Dalam akan menerima barisan pelajar, guru dan seorang pegawai keselamatan yang baru. OME! Musim Ketiga akan menampilkan barisan bakat baru dan juga veteran yang sangat berpengalaman dalam industri hiburan. Pelakon terkenal yang telah merangkul pelbagai anugerah, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra dengan panggilan Ogy akan bergandingan dengan seorang pelakon yang melonjakkan namanya menerusi lakonan mantap dalam drama ‘Adam & Hawa’ iaitu Nadiya Nisaa.
Seorang pelakon jelita tanah air yang berjaya mencipta nama menerusi lakonan beliau dalam beberapa siri drama Filipina iaitu Carmen Soo juga akan turut serta di dalam siri ini bersama pelakon komedi yang hebat iaitu Rahim R2. OME! Musim Ketiga juga akan memperkenalkan bakat-bakat baru yang semakin meningkat naik antaranya Amyra Rosli, Shafiq Kyle, Juzzthin dan juga Sherry Alhadad yang pastinya akan menyuntik kemeriahan dengan telatah dan gelagat mereka di samping mengetengahkan elemen pendidikan dan juga pengajaran nilai-nilai murni yang menjadi teras kepada rancangan ini.
Selain daripada barisan pelakon utama yang sedia ada, terdapat ramai selebriti popular tanah air yang akan turut membuat penampilan khas sepanjang musim baru ini antaranya Faizal Hussein, Hans Isaac, Rashidi Ishak, Waris dan Bront Palare yang pastinya akan menggamatkan lagi suasana. Pastikan anda terus menonton kesemua 23 episod untuk musim ketiga ini bagi mengetahui watak yang akan dibawa oleh barisan pelakon baru dan penampilan khas ini.
Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Perniagaan Astro berkata: “Kami di Astro begitu komited dalam memenuhi kehendak para penonton kami yang terdiri dari pelbagai golongan termasuklah golongan belia seperti para pelajar sekolah rendah dan menengah. Janji kami untuk membekalkan rangkaian program televisyen yang relevan dan menarik telah terbukti menerusi penyiaran siri Oh My English! yang bukan sahaja menghiburkan malah menjadi sebuah alat bantuan pembelajaran Bahasa Inggeris di luar bilik darjah yang berkesan. Oh My English diterbitkan dengan kaedah yang interaktif dan mudah difahami serta sesuai untuk tontonan ibu bapa, para pelajar dan seluruh ahli keluarga”.
Beliau menambah, “di samping menerima sokongan yang sangat memberangsangkan daripada orang ramai dan juga Kementerian Pendidikan, kami turut terharu atas ribuan pesanan positif yang diterima dari para peminat yang menginginkan siri Oh My English yang sudah sebati dengan mereka ini diteruskan. Jumlah tontonan bagi program ini juga adalah sangat menakjubkan di mana kami menerima lebih daripada 3.6 juta tontonan pada musim pertama, 5.2 juta pada musim kedua dan untuk dua buah telefilem istimewa Oh My Ganu dan Hello America yang masing-masing mencatatkan lebih daripada 2.7 juta dan 2.5 juta. Oh My English! juga terus merentasi populariti media sosial dengan mencatatkan 616,000 peminat di Facebook, 82,000 pengikut di Twitter dan 13 juta tontonan di YouTube. Berikutan penerimaan luar biasa sepanjang dua tahun yang lepas, kami dengan berbesar hati ingin mengumumkan Oh My English akan kembali ke kaca televisyen bagi menghiburkan anda”.
“Kami berharap agar para penonton akan terhibur dengan musim ketiga ini yang penuh dengan kejutan dan kelainan. Berbeza dengan musim-musim sebelumnya, musim terbaru ini bukan sahaja padat dengan elemen jenaka dan pendidikan, malah akan turut diselitkan dengan pelbagai nilai murni yang boleh dicontohi. Saya mewakili Astro dan pihak produksi Oh My English ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat semua peminat dan penaja kami yang bertungkus lumus dalam memberikan sokongan padu sehingga berjaya menerbitkan siri Oh My English! Musim Ketiga”, tambah Putri Yasmin lagi.
Kombinasi pelbagai watak baru, drama, jalan cerita yang lucu dan kandungan pengajian Bahasa Inggeris yang mantap pastinya akan menjanjikan pengalaman tontonan yang unik, berbeza serta menyeronokkan di kaca televisyen anda. Musim ini juga akan membawa topik-tpoik menarik yang selari dengan peristiwa dan situasi semasa seperti laman sosial, Instagram, Piala Dunia dan juga hari kemerdekaan Malaysia di mana dalam episod Merdeka ini mereka akan merentasi masa dan kembali ke tahun 1957 lantas bertindak seakan-akan masyarakat yang hidup di era tersebut.
Selain itu, para peminat boleh mendapatkan kandungan pengajian bahasa yang lebih mendalam meliputi pengajian kosa kata, tatabahasa, sebutan, peribahasa dan banyak lagi melalui variasi permainan dan aktiviti dengan melayari laman sesawang khusus (www.ohmyenglish.com.my). Para peminat juga akan berpeluang untuk berjumpa dengan watak-watak kegemaran mereka secara langsung melalui pelbagai aktiviti seperti jerayawara, sesi beramah mesra bersama peminat, ‘OME day out’ dan lain-lain lagi.
Bukan itu sahaja, Astro TVIQ juga akan menyiarkan sebuah episod istimewa “Di Sebalik Tabir” Oh My English Musim Ketiga pada 11 Mei 2014 (Ahad), jam 9.00 malam di Astro TVIQ (saluran 610) dan siaran serentak di Astro Maya HD (saluran 135)
Astro ternyata sangat berbesar hati dengan sokongan dan kerjasama padu yang diberikan oleh barisan penaja dalam menjayakan OME! Musim Ketiga ini.
Penaja utama:
Nestlé telah menyokong siri OME sejak dari mula lagi dan untuk musim ini, Nestle Crunch Wafer bertindak selaku penaja utama disertai dengan Nescafe UHT dan Nestle Mat Kool. Peluang untuk mempelajari Bahasa Inggeris dengan lebih baik harus diberikan pada semua dan Nestle sentiasa menyokong usaha dalam membantu belia Malaysia untuk menambah baik kemahiran bebahasa Inggeris mereka dengan cara yang menyeronokkan.