Setelah berakhirnya musim filem blokbuster sempena musim panas, kemunculan filem seperti “Take Me Home Tonight” bakal menemui penggemar filem Barat. Filem komedi santai ini akan menemui para penonton di seluruh pawagam tanah air pada 21 Julai 2011. Walaupun tidak menampilkan nama-nama besar pelakon handalan Hollywood, filem ini masih mempunyai tarikan yang tersendiri menerusi jalan cerita yang agak santai.
Membariskan pelakon seperti Topher Grace, Anna Faris, Dan Fogler dan Teresa Palmer, filem ini berlatar belakang pada era kemunculan muzik hip-hop dan keagungan muzik rock pada ketika itu. Menyelitkan unsur-unsur romantik, persahabatan dan gila-gila zaman remaja, penonton dibawa untuk menghayati karakter-karakter melalui jalan cerita yang ringkas. Namun begitu,percakapan serta dialog yang ditonjolkan kurang sesuai untuk tontonan bagi mereka dibawah umur 18 tahun. Lakonan para pelakon dalam filem ini amat bersahaja dan santai, pelbagai karenah dan aksi lucu dapat dilihat dalam setiap karekter.
Filem ini mengisahkan seorang graduan MIT Universiti yang bekerja di sebuah kedai video iaitu Matt Franklin (Topher Grace), kakaknya Wendy Franklin (Anna Faris) dan kawan baiknya Barry Nathan (Dan Fogler) yang masih tercari-cari arah sebenar kehidupan mereka. Suatu hari, ketika Matt sedang bekerja, Tori Fredreking (Teresa Palmer) yang menjadi kegilaan jejaka ketika zaman kolej, datang secara tidak sengaja ke tempat Matt bekerja. Tori menjemput Matt menjadi temannya untuk menghadiri parti hujung minggu yang dianjurkan oleh teman lelaki kakak Matt. Matt, Barry dan Wendy hadir bersama-sama ke parti tersebut. Sebelum tiba ke parti, Barry telah mencuri sebuah kereta di tempat Barry bekerja sebagai tanda protes akibat dipecat majikannya. Plot cerita ini mula berkembang apabila Tori meluahkan bahawa dia amat benci dengan kariernya. Tori turut meluahkan bahawa majikannya mengambil Tori bekerja semata-mata untuk menatap tubuh Tori yang seksi. Setelah mendengar luahan Tori, Matt juga mula berterus-terang tentang dirinya.
Apakah yang terjadi kepada Matt? Adakah Tori dapat menerima kebenaran tentang diri Matt? Apakah yang akan dilakukan Matt untuk menawan hati Tori? Jom kita menonton di pawagam untuk mengetahui kisah selanjutnya.