Kisah cinta ‘Lara Aishah’ diadaptasi daripada siri telenovela Mexico popular ‘La Loba’

Setelah melakar kejayaan yang membanggakan menerusi penerbitan drama bersiri Memori Cinta Suraya (MCS), pihak Astro menerusi saluran Astro Prima dengan kerjasama produksi Global Station Sdn Bhd dan TV Azteca, Mexico dengan berbesar hati ingin mengajak para penonton untuk menyelami kisah cinta penuh iktibar, pergolakan keluarga, dendam dan pengorbanan yang terbina daripada wang ringgit dan kuasa menerusi drama bersiri Lara Aishah.

Drama bersiri 100 episod yang meruntun jiwa arahan Riza Baharudin ini telah diadaptasi daripada siri telenovela Mexico popular berjudul La Loba dan bakal menemui para penonton pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 29 Ogos 2016 secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan siaran serentak di saluran Maya HD (135).

All Cast

Kisah Lara Aishah menampilkan lakonan mantap barisan pelakon hebat tanah air selaku teraju utama seperti Fasha Sandha yang memegang watak sebagai Aishah, Nazim Othman sebagai Iskandar, Dian P Ramlee sebagai Cik Puan Marina, Dato’ Eizlan Yusof sebagai Dato’ Nazri dan Jasmin Hamid sebagai Zurin. Turut menjayakan drama ini termasuklah Shah Jaszle (Zack), Janet Khoo (Sharon), Sasqia Dahuri (Felisha), Zamarul Hisham (Hisham), Watie Elite (Dalila), Maria Farida (Dahlia), Dato’ Shah Reza (Farouq), Ainul Aisyah (Aimi), Dayana Roza (Wani), Liza Abdullah (Rohana), Afzan A Rahman (Azlan), Fadil Dani (Muiz), Mia Nasir (Anita), Mandy Chong (Carmen), Anne Abdullah (Wati), Dr Katalina (Adila) dan Aedy Ashraf (John).

Sebagai kelainan, kami juga turut menyediakan perkhidmatan sari kata dalam Bahasa Inggeris untuk memudahkan para penonton yang mungkin tidak begitu fasih berbahasa Melayu untuk memahami drama ini dengan lebih mendalam.

Tambah menarik lagi, sebuah lagu istimewa berjudul Dirgahayu dendangan istimewa penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir turut diangkat menjadi lagu runut bunyi untuk drama bersiri ini.

Main Cast

Drama bersiri Lara Aishah mengisahkan tentang dua wanita iaitu Aishah (lakonan Fasha Sandha) yang berjuang untuk menyelamatkan pasar tempatan dari dirobohkan oleh sebuah korporasi hanya untuk jatuh cinta dengan pewaris korporasi tersebut, dan kisah Zurin (lakonan Jasmin Hamid), seorang ibu yang dipenjarakan selama 27 tahun dan ingin mencari anak kandungnya yang telah diculik semasa kecil.

Zurin telah dituduh dan dipenjara di luar negara atas kesalahan yang tidak dilakukannya hasil konspirasi Cik Puan Marina (lakonan Dian P Ramlee), bekas ibu mertuanya sendiri yang marahkan anaknya Dato’ Nazri (lakonan Dato’ Eizlan Yusof) kerana telah berkahwin dengan wanita daripada keluarga miskin. Setelah 27 tahun Zurin bakal dilepaskan, dia mendapat tahu bahawa anaknya sebenarnya masih hidup. Bermulalah hidup Zurin mencari anak kandungnya dan membalas dendam kepada keluarga Dato’ Nazri atas dosa mereka.

Aishah ialah seorang gadis yang yang baik dan dibesarkan oleh Muiz (Fadil Dani), di persekitaran yang serba kekurangan. Dia bekerja di pasar dan terkenal dengan sifat panas baran. Pada suatu hari berita tentang tanah pasar yang bakal diambil semula oleh pemilik telah membuatkan Aishah bertekak lidah dengan Dato’ Nazri, anak kepada pemilik tanah tersebut.

With Director

Pertembungan mereka juga menemukan Aishah dengan Iskandar (lakonan Nazim Othman), waris keluarga Dato’ Nazri yang menipu Aishah, menyatakan yang dia hanya merupakan seorang mekanik yang miskin lalu membawa kepada hubungan romantik Aishah dan Iskandar. Dalam masa yang sama, Cik Puan Marina ingin Iskandar berkahwin dengan Felisha (lakonan Sasqia Dahuri) dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memusnahkan Aishah. Kehadiran Zack (lakonan Shah Jaszle) yang merupakan bekas kekasih Aishah juga merumitkan lagi keadaan.

Apakah kesudahan kisah Aishah dan Iskandar? Sama-sama kita saksikan.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton drama bersiri Lara Aishah yang akan ditayangkan menerusi saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 29 Ogos 2016. Selamat menonton!

Check Also

ROSSA KEMBALI DENGAN KONSERT “HERE I AM” DI AXIATA ARENA

Penyanyi tersohor Indonesia, Rossa, bakal mengadakan konsert solo bertajuk “Here I Am” di Axiata Arena, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *