Penyanyi kegemaran rakyat Malaysia, Ila Damiaa yang terkenal dengan rentak Kontemporari R&B kini kembali lagi dengan lagu terbaru berjudul “Cuma Kamu”.
Ila yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada penghujung tahun lalu berkongsi perasaannya melalui lagu ini di mana ianya mengisahkan tentang cinta dan kesetiaan hubungan sepasang kekasih. “Saya telah bekerja keras untuk lagu ini dan saya amat teruja untuk berkongsi ‘Cuma Kamu’ dengan peminat saya”, kata penyanyi yang mempunyai suara serak-serak basah ini ketika ditanyakan tentang perasaannya mengenai perkara ini.
“Cuma Kamu” adalah hasil kerjasama antara Malaysia dan Indonesia di mana Ila telah berkolaborasi dengan tenaga kerja yang pernah menghasilkan banyak lagu-lagu hebat untuk salah satu penyanyi terunggul Indonesia, Raisa Andriana, seorang penyanyi, penulis lagu dan pelakon yang banyak memenangi anugerah. Penerbit dan Pengadun Muzik bagi lagu ini iaitu Ari Aru Renaldi merupakan penerbit muzik yang tersohor di Indonesia. Ari telah memenangi beberapa anugerah berprestij dari Anugerah Musik Indonesia (AMI) dan Anugerah Planet Muzik dan dia juga pernah bekerjasama dengan nama-nama besar seperti Dato’ Rossa, Ungu, Mocca, Tulus, Afgan dan ramai lagi. Selain daripada itu, susunan lagu itu juga telah digubah oleh salah seorang komposer terkenal di Indonesia iaitu Sindhu Bharata yang telah banyak menulis lirik lagu bagi nama-nama besar seperti Afgan, Vidi Aldiano, Petra Sihombing dan XO-IX.
Peminat boleh mendapatkan lagu “Cuma Kamu” menerusi iTunes dan juga semua aplikasi streaming muzik bermula 31 Mac 2017 dan ia dijangka akan membuatkan semua peminat jatuh cinta pada rentak dan iramanya.