Helloween Ubati Kemarau Panjang Peminat

Penantian selama lebih 30 tahun berbaloi apabila kumpulan Helloween yang di tubuhkan di Jerman dan mengibar panji power metal itu akhirnya beraksi di hadapan lebih 1500 peminat setia mereka di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 28 April lalu.

Ini adalah persembahan sulung kumpulan yang berasal dari Hamburg, Jerman itu, ianya di adakan bersempena siri konsert bergerak Pumpkins United Tour 2018 Live In Malaysia. Konsert anjuran RSVP Media dan Malaysia Autoshow ternyata memberi impak positif di kalangan pencinta muzik berat tempatan yang dahagakan persembahan bertenaga daripada band pujaan mereka.

Sekitar jam 6 petang lagi para peminat yang rata-rata mengenakan tshirt band ikonik mereka telah mula memenuhi lokasi yang menjadi medan pertemuan empat mata di antara mereka dan Helloween.  Tepat jam 8.30 malam atmosfera di Mega Star Arena mula berubah apabila Michael Kiske (penyanyi), Andi Deris (penyanyi), Michael Weikath (gitar), Markus Grosskopf (bass), Sascha Gerstner (gitar), Kai Hansen ( gitaris/vokalis ) dan Dani Loble (dram) mula menakluki pentas.

Tanpa banyak bicara 7 figura yang mula menakluki dunia melalui album pertama, Wall Of Jericho (1985) memulakan persembahan dengan lagu anthem mereka iaitu Helloween yang cukup untuk menaikkan semangat penonton yang telah lama menantikan kehadiran mereka. Dr. Stein sebuah lagu yang di petik daripada album “Keeper Of The Seventh Key” Part II menambahkan lagi aura serta gabungan vokal di antara peminat dan juga Helloween yang menjadikan ianya lebih harmoni.

“Terima kasih Malaysia, terima kasih semua kerana menjadikan konsert hari ini sebagai satu rialiti.  Kami cukup menghargainya, pertama kali kami berada di Malaysia ternyata kami cukup teruja dengan keindahannya dan apa yang penting sokongan padu yang anda berikan kepada kami”, ujar Andi Deris dan Micheal Kiske selaku duo vokalis kumpulan Helloween sewaktu siri jelajah Pumpkins United Tour 2018.

Usai memberi kata-kata hikmah, Helloween terus membawa peminat terbang bersama lagu I’m Alive yang dipetik daripada album “Keeper Of The Seventh Keys Part I’.  Apa yang boleh dirumuskan penyatuan serta komitmen yang komited di kalangan anggota baru dan lama memberikan lebih ritma serta aura demi menjayakan sesebuah konsert.  Buktinya tiada kompromi di dalam persembahan yang di dambakan.

Seakan tanpa rasa letih, Helloween terus melontarkan beberapa buah lagu lagi antaranya If I Could Fly, Are You Metal, Kids Of The Century, Waiting For A Thunder dan Perfect Gentleman.  Ternyata setiap lagu yang di lontarkan pasti akan disertai dengan lontaran vokal daripada peminat yang juga tiada istilah penat.  Sesuatu yang menarik untuk dikongsikan adalah mengenai video mapping yang melatari setiap lagu malah montaj animasi kartun yang cukup menarik di paparkan apabila sesebuah lagu berakhir.  Limpahan cahaya yang menghiasi pentas serta sistem bunyi yang cukup besar memberikan ‘kehidupan’ kepada konsert yang cukup hebat ini.

Penonton kemudiannya dihiburkan secara medley melalui lagu-lagu seperti Starlight, Ride The Sky, Judas dan Heavy Metal (Is The Law), dimana Kai Hansen telah dipertanggungjawabkan untuk menggalas tugas sebagai vokalis dan gitaris untuk segmen ini.

Andi Deris dan Micheal Kiske kemudiannya bergabung melalui lagu Forever and One (Neverland) yang di persembahkan secara santai.  Sebuah lagu yang cukup nuansa ballad namun ianya tidak keterlaluan. Duo mempunyai keunikan vokal tersendiri yang tidak perlu di pertikaikan.  Micheal Kiske kemudiannya mengalunkan sebuah lagu klasik yang berjudul A Tale That Wasn’t Right sebelum mereka kembali berduet melalui lagu Pumpkins United.

Dani Loble juga tidak perlu dipertikaikan kehebatan ketukan dan hentakan yang padu demi memberi impak yang besar terhadap sesebuah lagu.  Selama 3 jam corak permainan Dani tidak menghampakan. Livin Ain’t No Crime / A Little Time kemudiannya di persembahkan oleh Micheal Kiske.  Beberapa buah lagu lagi di persembahkan antaranya Why, Sole Survivor dan Power.

Suasana yang agak muram dengan rangkaian lagu-lagu yang tidak begitu di cerna oleh halwa telinga peminat akhirnya kembali berubah apabila Helloween tampil dengan lagu-lagu seperti How Many Tears, Eagle Fly Free dan Keeper Of The Seventh Key.

Kehebatan Michael Weikath (gitar), Markus Grosskopf (bass), Sascha Gerstner (gitar) selaku penghasil melodi power metal sudah tidak perlu di uji kehebatan mereka.  Setiap aksi mereka sentiasa menjadi tumpuan peminat.  Kehilangan seketika kelibat Helloween di atas pentas terus terubat apabila mereka tampil dengan lagu Future World.

Siri jelajah Pumpkins United Tour 2018 Live In Malaysia pastinya tidak akan lengkap tanpa lagu I Want Out sekaligus menamatkan keresahan, kehausan malah akan hadir rasa rindu untuk bertemu lagi dengan Helloween yang telah mengerah seluruh tenaga dan keringat demi memastikan konsert ini berjalan dengan baik.  Helloween juga membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk mereka tampil hebat malah mampu mencipta nama untuk terus kekal di persada muzik power metal antarabangsa.

Teks oleh Nazg

Photo oleh Papadin

Check Also

“Mereka Yang Tertewas: Kisah Perjuangan Dakwah Lebai Pa”

“Mereka Yang Tertewas” adalah sebuah adaptasi novel karya Hasanuddin MD Isa yang diadaptasi untuk filem.Filem …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *