Paduan Dinamis CHAZYNASH & DANI KURAMA Menerusi ‘JIKA AKU PERGI’

Instafamous asal utara yang terkenal dengan video-video viralnya di media sosial, Chazynash, berkolaboratif secara muzikal dengan penyanyi-penulis lagu muda berbakat besar, Dani Kurama, dalam sebuah single balada pop berjudul ‘Jika Aku Pergi’ hasil idea mereka berdua, dan diterbitkan oleh Rocketfuel Indie Space Station.

“Mungkin ramai di luar sana lebih mengenali saya sebagai personaliti media sosial dengan video-video viral yang saya hasilkan bersama isteri, namun minat menyanyi itu sebenarnya telah lama wujud.

“Sebelum ini, saya ada menghasilkan beberapa buah lagu namun kebanyakannya berbentuk parodi. Sehinggalah saya bertemu Dani Kurama, dan kini saya yakin masanya sesuai untuk muncul dengan sesuatu yang lebih ‘serius’ menerusi platform yang disediakan oleh Rocketfuel Indie Space Station,” kata Chazy.

Bagi Dani Kurama yang sudah lama berkecimpung dalam bidang muzik sejak dibangku sekolah lagi, jiwa seni itu sentiasa ada di mana beliau sering menghasilkan lagu-lagu secara suka-suka di laman YouTube, dan pernah mendapat kritikan dari warganet yang pernah mempertikaikan bakatnya, sehinggalah single-nya sebelum ini mendapat sambutan luar jangkaan dan terus menjadi viral di laman media sosial. Menurut Dani:

“Muzik sememangnya sudah sebati dalam diri saya dan saya tak peduli dengan apa orang kata kerana yang penting niat saya ikhlas dalam menghasilkan sesuatu. Setiap karya yang saya ciptakan dekat di hati kerana ada kaitan dengan kisah peribadi.

“Single Jika Aku Pergi menceritakan tentang sepasang kekasih yang bercinta namun kecundang di tengah jalan kerana teman wanitanya tiba-tiba berubah hati dan beralih ke lelaki lain yang jauh lebih kaya dan berjaya dalam hidup. Namun, bekas teman lelakinya itu tetap mencintai dan merinduinya walaupun telah berpisah, dan hanya mampu berdoa dan mengharapkan yang terbaik dari jauh.

Single Jika Aku Pergi yang berdurasi selama 4:18 minit ini dimulai dengan tempo yang perlahan namun bertenaga dan kemudiannya beralih rancak dengan bunyian ‘trap’ moden yang menghiasi keseluruhan lagu tersebut.

“Saya dan Dani pernah menghasilkan sebuah single sebelum ini namun kurang mendapat sambutan, dan dengan adanya platform yang disediakan oleh Rocketfuel Indie Space Station ini, semoga ia dapat melonjakkan lagi nama kami berdua di persada industri muzik tempatan.

“Oleh kerana kami berdua pernah bekerjasama sebelum ini, proses rakaman berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah dan saya senang berkolaborasi dengan Dani. Beliau seorang yang sangat berbakat, punyai idea yang kreatif dan dedikasi yang ditunjukkan wajar dijadikan contoh,” jelas Chazy.

Selain bertindak sebagai penyanyi bersama, Chazy juga turut mencurahkan idea kreatifnya dengan mengarahkan video muzik (MV) single Jika Aku Pergi kerana pengalamannya dalam menghasilkan video-video sebelum ini.

“Jalan cerita MV ini adalah sebuah kisah cinta yang klise di mana sepasang kekasih yang bercinta kemudiannya berpisah secara tiba-tiba, dan muncul pula orang ketiga yang memisahkan mereka, maka terjadilah konflik di antara mereka. Si teman lelaki pasrah dengan perpisahan tersebut dan terpaksa melangkah berat namun masih menyimpan rasa sayang terhadap bekas teman wanitanya,” terang Dani.

Encik Jipie, selaku Ketua Label dan Penerbitan Rocketfuel Entertainment berkata, “Chazynash dan Dani Kurama adalah dua anak muda berbakat dan berpotensi dalam industri muzik. Meski masih baru, mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan idea-idea segar sesuai dengan selera jiwa anak muda masa kini.

“Semoga single Jika Aku Pergi gabungan mereka berdua mendapat tempat di hati penggemar muzik.

Akhiri Chazy: “Kami berharap agar orang ramai dapat menerima muzik yang kami bawakan dan terus memberikan sokongan terhadap single Jika Aku Pergi supaya menjadi hit dan terus viral di laman-laman media sosial.

Lagu Jika Aku Pergi boleh dimuat turun di iTunes Store bermula 27 November 2021 ini dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di YouTube Rocketfuel Network pada tarikh yang sama.

 

Check Also

“Mereka Yang Tertewas: Kisah Perjuangan Dakwah Lebai Pa”

“Mereka Yang Tertewas” adalah sebuah adaptasi novel karya Hasanuddin MD Isa yang diadaptasi untuk filem.Filem …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *