Filem Harry Potter sememangnya dinantikan oleh semua peminat Harry Potter di seluruh dunia. Filem kali ini merupakan filem terakhir pengembaraan Harry Potter menentang anasir jahat dunia magik. Filem ini juga merupakan lanjutan daripada Harry Potter And The Deathly Hallows yang telah ditayangkan pada akhir tahun 2010. Filem ini menonjolkan pertarungan epik antara Harry Potter dan anasir jahat iaitu Lord Voldermort yang penuh dengan aksi di mana penentuan ditentukan menerusi pertarungan maut antara mereka. Hanya Harry Potter yang mampu untuk menewaskan Lord Voldermort.
Masih mengekalkan Daniel Radcliffe, Rupert Grint dan Emma Watson sebagai peneraju utama filem Harry Potter And The Deathly Hallows – Part 2 sebagai Harry Potter, Ron Weasley dan Hermione Granger. Turut membantu di dalam filem ini adalah Helena Bonham Carter, Robbie Coltrane, Warwick Davis, Tom Felton, Ralph Fiennes, Michael Gambon, Ciarán Hinds, John Hurt, Jason Isaacs, Matthew Lewis, Gary Oldman, Alan Rickman, Maggie Smith, David Thewlis, Julie Walters and Bonnie Wright. Filem kali ini digarap oleh pengarah yang tidak asing lagi iaitu David Yates yang turut mengarah filem Harry Potter sebelumnya seperti “Harry Potter and the Order of the Phoenix”, “Harry Potter and the Half-Blood Prince” dan “Harry Potter and the Deathly Hallows – Part 1”. David Heyman bertindak sebagai penerbit untuk kesemua francis filem Harry Potter bersama- sama dengan David Barron dan J.K. Rowling yang merupakan penulis buku siri pengembaraan Harry Potter.
Pengembaraan Harry Potter bersama Ron Weasley dan Hermione Grenger dimulakan dengan misi pencarian yang penuh misteri tiga objek yang digelar “Horcruxes”. Lord Voldermort amat terdesak memerlukan “Horcruxes” untuk melengkapkan ilmu magik hitam seterusnya kekal hidup selama-lamanya. Misi Harry Porter bersama rakan-rakannya diketahui oleh Lord Voldermort kerana sebahagian dari diri Lord Voldermort berada di dalam diri Harry Porter. Pelbagai halangan dan rintangan yang dilalui oleh mereka bertiga. Namun, mereka tetap tidak mudah untuk berputus asa kerana jika Lord Voldermort memperolehi “Horcruxes” tersebut, Hogwarts School Of Witchcraft And Wizardry menjadi sasaran Lord Voldermort untuk dimusnahkan.
Keseluruhan perjalanan cerita ini amat menarik. Aksi-aksi yang ditonjolkan juga semakin mantap. Lakonan ketiga-tiga teraju utama semakin matang. Dengan penggunaan teknologi 3D menonjolkan lagi segala aksi di dalam cerita ini. Walaupun permulaan cerita ini agak kelam, pengarah bijak bermain melalui aksi-aksi yang ditonjolkan. Bagi peminat Harry Potter, anda pasti berpuas hati dengan apa yang anda saksikan.
Nak tahu apakah rintangan dan halangan yang dilalui Harry Potter kali ini? Ingin tahu apakah kesudahan cerita ini? Dapatkah Harry Potter menewaskan Lord Voldermort? Jom ramai-ramai kita ke pawagam berhampiran untuk kita saksikan filem ini.