Sejak dilancarkan pada Ogos 2023, HARTA, merujuk kepada HABIB: Action for the Revival of Traditions and Arts, terus komited untuk memperjuangkan pemeliharaan, pendidikan dan dialog terbuka mengenai warisan dan budaya Malaysia. Dari pameran berkala di galeri seni sehingga muzium barangan kemas warisan yang memukau, HARTA sering menganjurkan acara, sesi perkongsian (percuma untuk orang ramai), dan bengkel yang mengetengahkan tradisi-tradisi Malaysia, dengan kerjasama berterusan bersama sekolah-sekolah, universiti, dan institusi-institusi budaya untuk meningkatkan ilmu dan kesedaran di kalangan masyarakat.
Dalam pameran terbarunya, HARTA mempersembahkan Interwoven Realities, sebuah pameran kumpulan yang menampilkan 32 pelukis berbakat, masing-masing membawa perspektif unik yang mendasari kewujudan dalam seni yang kompleks. Pameran tersebut, bermula dari 18 April sehingga 11 Mei 2024 di HARTA, merupakan sebuah pameran yang mempersonakan dengan ungkapan seni yang mengkaji persimpangan realiti yang berbeza dan jaringan sempadannya.
Menghiasi dinding-dinding HARTA, Interwoven Realities menjemput pengunjung untuk meneroka pelbagai rupa dan gaya dunia yang dibentuk dan dihubungkan melalui lensa artistik. Selami karya seni dalam beraneka stail dan medium yang mencerminkan sifat kepelbagaian realiti yang dikongsi bersama sambil pengunjung melepasi batasan persepsi konvensional.
Interwoven Realities disusun atur oleh perunding seni, Sarah Abu Bakar, dengan gabungan 32 artis termasuk nama-nama terkenal seperti Anniketyni Madian, Nor Tijan Firdaus, Fazrin Abdul Rahman, Nini Marini, Agnes Lau, Alicia Lau, Cheong Tuck Wai, Anas Afandi, Cheong See Min, Ang Xia Yi dan Kimberly Boudville.
“Sejak dari awal, HARTA terus teguh dalam komitmennya sebagai platform yang meraikan warisan dan kesenian Malaysia, jadi kami sangat teruja untuk mempersembahkan Interwoven Realities, pameran terbesar kami setakat ini,” ujar Mirsham Meer, Pengarah HARTA. “Kami berharap pengunjung akan menyelami diri mereka dalam karya-karya yang menakjubkan ini bersama 32 bakat luar biasa dan memperoleh pandangan baru melalui pameran ini,” tambah Mirsham.
Interwoven Realities menceritakan tenunan yang kompleks dalam kewujudan melalui 7 naratif bertema yang diolah sendiri oleh setiap artis:
- Abstrak: Di mana sebuah bentuk melarut jadi intipati
- Seni Digital: Penumpuan teknologi dan kreativiti
- Figuratif: Kedalaman pengalaman manusia
- Garis Geometri: Keharmonian tradisi, materialiti, dan intropeksi
- Seni arca: Menzahirkan visi artistik dalam 3D
- Seni Berdasarkan Teks: Gabungan semantik dan grafik
- Tekstil, Serat dan Seni Alternatif: Penyusunan ekspresi emotif
Sehingga kini, HARTA telah menampilkan beberapa pameran seperti “OPEN HOUSE“, persembahan sulungnya yang menyelami sifat pelbagai segi tempat domestik; “There Will Be Dragons in My Future Dreams”, sebuah pameran oleh seniman digital, Chong Yan Chuah, yang mengubah ruang HARTA untuk menjadi pameran imersif melalui video, muzik, dan aroma. Yang terbaru, HARTA mempamerkan “Perjalanan 10 Tahun dalam Seni Kaligrafi Islam” oleh Seniman Kaligrafi Islam, Husin Hourmain.
Waktu Pembukaan:
Muzium, Galeri Seni dan Kafe HARTA
10 pagi – 5 petang (Selasa – Ahad)