Hentikan penggabungan SME Bank, Bank Pembangunan dan Exim Bank – Veteran UMNO

Cadangan penggabungan SME Bank, Bank Pembangunan dan Exim Bank harus dihentikan kerana mandat serta fokus perniagaan yang berbeza dengan kumpulan sasaran yang berlainan.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapa Yaakob berkata, pelaksanaannya akan memberikan kesan langsung kepada Perusahaan Mikro Kecil & Sederhana (PMKS) dalam kategori ‘unserved’ dan ‘underserved’ di Malaysia susulan kurangnya fokus kepada mereka selepas proses penggabungan.

Selain itu jelasnya, penggabungan berkenaan bakal menyaksikan proses pengurangan kakitangan, yang mana lebih daripada 95 peratus kakitangan adalah terdiri daripada orang-orang Melayu dan Bumiputera.

“Sedangkan Bank Pembangunan berfokus kepada projek-projek berskala besar meliputi infrastruktur, maritim dan teknologi tinggi melibatkan pelaburan besar yang majoriti dilaksanakan oleh syarikat-syarikat bukan PMKS.

“EXIM Bank pula berfokus kepada PKS saiz sederhana yang ingin mengembangkan perniagaan ke pasaran eksport. Tiada pertindihan kumpulan sasaran kerana segmen PMKS yang difokuskan telah ditetapkan oleh pihak berkepentingan dan pemegang taruh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober lalu mengumumkan, institusi kewangan pembangunan (DFI) juga akan distruktur semula melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Bhd, SME Bank dan Exim Bank.

Mustapa turut melahirkan kebimbangan jika tiada bank yang akan melaksanakan peranan yang selama ini dimainkan oleh SME Bank dalam meningkatkan lagi keupayaan serta prestasi perniagaan PMKS Malaysia.

Beliau berkata, penubuhan SME Bank sejak tahun 2005 banyak membantu membangun dan mengembangkan perniagaan usahawan PMKS dengan memberikan akses pembiayaan dan seterusnya pembangunan kapasiti oleh subsidiarinya iaitu Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR).

“Pencapaian SME Bank sejak penubuhannya amat membanggakan di mana setakat ini, kira-kira 25,000 PMKS telah dibantu dengan kelulusan pembiayaan mencecah RM45 bilion.

“Dalam tempoh enam tahun iaitu dari 2018 sehingga 2023, sejumlah RM16 bilion pembiayaan telah diluluskan dan dianggarkan 75 peratus adalah kepada PMKS Bumiputera.

“Pada masa yang sama, CEDAR juga telah menunjukkan pencapaian memberangsangkan di mana sejak ditubuhkan pada tahun 2013, tidak kurang daripada 80,000 usahawan telah dilatih melalui lebih 3,000 sesi latihan dan bimbingan perniagaan,” katanya.

Check Also

RHM Design raikan ulang tahun ke-10

RHM DESIGN & CONSTRUCTION SAMBUT 10 TAHUN DENGAN TRANSFORMASI BESAR & PELANCARAN RHM LUXE

RHM Design & Construction (RHM) memasuki fasa baharu selepas genap 10 tahun beroperasi sebagai syarikat …

Terowong cahaya berwarna-warni Chromatic Christmas di Melawati Mall.

MELAWATI MALL HADIR DENGAN CHROMATIC CHRISTMAS PENUH WARNA

Melawati Mall kembali menceriakan musim perayaan dengan Chromatic Christmas yang sarat warna, cahaya dan kreativiti. …

Leave a Reply