Hazrul Nizam Putus Kemarau 21 Tahun Dengan Single ‘Rawan’

Penyanyi veteran Singapura, Hazrul Nizam, akhirnya memecah kesenyapan dengan pelancaran single terbaharu bertajuk ‘Rawan’ selepas hampir dua dekad tidak mengeluarkan lagu solo. Single yang dilancarkan pada 13 Oktober 2024 ini menandakan kemunculan semula beliau dalam industri muzik selepas kali terakhir membawakan lagu solo ‘Kaulah Segalanya’ pada 21 tahun yang lalu.

‘Rawan’, yang ditulis dan digubah oleh penyanyi terkenal Amylea Azizan, bukan sekadar lagu cinta biasa. Menurut Hazrul, lagu ini membawa maksud yang lebih mendalam tentang perasaan kehilangan yang boleh diinterpretasi dalam pelbagai cara.

“Lagu ini bukan sahaja untuk mereka yang patah hati dalam percintaan, tetapi juga untuk sesiapa yang mengalami kehilangan – sama ada kehilangan keluarga, kawan, atau bahkan kehilangan jati diri,” jelas Hazrul ketika ditemui baru-baru ini.

Muzik video ‘Rawan’ turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Dato’ Rahim Razali. Video yang diarahkan oleh Bobby Husaini dan diterbitkan oleh HMA Entertainment ini membawakan narrative yang berbeza daripada muzik video konvensional.

“Saya mahukan muzik video yang menceritakan sesuatu, bukan sekadar menampilkan saya menyanyi. Kami memilih untuk memaparkan tema kehilangan diri kerana ia memberikan dimensi yang berbeza daripada tema cinta yang sudah terlalu biasa,” tambah Hazrul.

Selain pelancaran single ini, ‘Rawan’ turut dipilih sebagai runut bunyi (OST) drama ‘Satu Hari Nanti’ yang dibintangi oleh Bella Astillah dan Ezaidi Aziz. Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.

Walaupun sibuk dengan perniagaan hartanah di Singapura, Hazrul tetap aktif dalam industri hiburan. Selepas penyertaannya dalam Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), beliau telah melancarkan dua lagu duet – ‘Sejuta Kata’ bersama Diana Nazyra dan ‘Berat Hati’ bersama Dina Nadzir.

Namun, peminat di Malaysia mungkin perlu bersabar untuk menyaksikan persembahan live Hazrul kerana beliau masih belum memperolehi permit PUSPAL (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara), menyebabkan beliau terpaksa menolak beberapa tawaran persembahan di Malaysia.

Peminat Hazrul boleh mengikuti perkembangan terkini beliau melalui platform media sosial rasminya di Instagram (@azruul), TikTok (Hazrul Nizam) dan saluran YouTube rasminya, Hazrul Nizam.

Check Also

Jovita Pearl lancar single Kau Yang Ku Puja

SINGLE KAU YANG KU PUJA ANGKAT NOSTALGIA SLOW ROCK BERSAMA JOVITA PEARL

Penyanyi berbakat, Jovita Pearl, tampil dengan karya terbaharu berjudul “Kau Yang Ku Puja”, sebuah lagu …

Malam Dari Kasih Ke Ehsan anjuran Global Ehsan Relief di Kuala Lumpur

MALAM DARI KASIH KE EHSAN SASAR KUTIPAN RM1 JUTA UNTUK MISI KEMANUSIAAN

Global Ehsan Relief bakal menganjurkan Malam Dari Kasih Ke Ehsan pada 14 Ogos 2026 di …

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *