NADIN AMIZAH BAWA ‘MALAM MENDENGAR’ DARI JAKARTA KE KUALA LUMPUR

Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal mengadakan persembahan eksklusif, ‘Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’, bagi memenuhi permintaan tinggi peminatnya di Malaysia.

Persembahan istimewa ini akan berlangsung pada 16 Mei 2025, jam 8 malam, di Zepp Kuala Lumpur. Setelah kejayaan besar acara ‘Malam Mendengar’ di Jakarta, kini Nadin membawa konsep unik ini ke pentas Malaysia, menjadikannya satu acara yang wajib dihadiri oleh para peminatnya.

Menurut Nadin, ‘Malam Mendengar’ bukan sekadar konsert biasa, tetapi sebuah pengalaman mendalam yang membolehkannya berhubung lebih dekat dengan peminat melalui muzik dan lirik yang penuh emosi serta makna.

“Saya sangat gembira dan terharu, tetapi pada masa yang sama berasa gementar untuk memenuhi ekspektasi peminat di Malaysia. Saya mahu memastikan pengalaman ini menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan,” kata Nadin.

Lebih istimewa, persembahan kali ini bakal menampilkan susunan muzik yang lebih segar dengan gubahan muzik orkestra buat pertama kalinya. Ini memberi sentuhan baru kepada lagu-lagu yang telah menjadi kegemaran ramai dan memperlihatkan evolusi Nadin sebagai seorang artis.

“Saya berharap peminat di Malaysia dapat meluangkan waktu untuk menyaksikan persembahan ini dan menjadi saksi kepada perkembangan saya sebagai pemuzik sejak kali pertama berkunjung ke Malaysia,” tambahnya.

Penganjur dari Renjana Idea, Siti Azlina, turut berkongsi keterujaan dalam membawa ‘Malam Mendengar’ ke Malaysia.

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu perjalanan emosi dan pengalaman muzik yang mendalam. Kami percaya susunan muzik baharu ini akan memberikan sesuatu yang lebih istimewa kepada penonton serta membolehkan mereka melihat sisi berbeza Nadin Amizah,” katanya.

Nadin Amizah sememangnya bukan nama asing di Malaysia. Lagu-lagunya yang puitis dan penuh emosi sering menjadi siulan peminat muzik indie dan alternatif. ‘Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ kali ini bukan sahaja membawa nostalgia tetapi juga memberikan dimensi baharu kepada karya-karyanya yang semakin matang.

Tiket untuk persembahan ini telah mula dijual sejak 12 Februari 2025 dan boleh didapati di www.golive-asia.com. Harga tiket adalah seperti berikut:

  • Tawa – RM658
  • Sorak Sorai – RM258
  • Sorai – RM238
  • Kekal – RM248
  • Bunga Tidur – RM178
  • Tambahan RM298 untuk sesi Meet & Greet

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam istimewa ini dan menyaksikan keunikan persembahan Nadin Amizah secara langsung di Kuala Lumpur!

Check Also

Lebih 200 artis dan pemuzik hadir ke Konvensyen Pemuzik Karyawan 2026 bagi membincangkan isu royalti, AI dan hala tuju industri muzik negara.

KONVENSYEN PEMUZIK KARYAWAN 2026 BINCANG ROYALTI ARTIS, AI DAN MASA DEPAN INDUSTRI MUZIK

Lebih 200 artis, pemuzik dan penggiat industri muzik negara berkumpul di Restoran Saloma Kuala Lumpur …

Luqman Podolski mempromosikan single Ayah sempena Hari Bapa 2026

SINGLE “AYAH” ANGKAT REALITI KEHIDUPAN DALAM KARYA TERBAHARU LUQMAN PODOLSKI

Bersempena sambutan Hari Bapa yang diraikan pada 21 Jun 2026, Luqman Podolski tampil dengan karya …

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *